Tuesday, November 20, 2018

Mental Health vs Siblings Support


Salam Maulidur Rasul 2018. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi kita yang dikasihi Nabi Muhammad SAW.

Saya ucapkan jutaan terima kasih pada yang bertanya khabar dan ziarah Irsyad di HUSM. Irsyad dah keluar wad pada 18/11/2018 dan masih dalam proses recovery, belum cergas sepenuhnya. Doktor-doktor dan staf-staf HUSM wad 6S (wad kanak-kanak), terima kasih tidak terhingga di atas penat lelah kalian. Irsyad dah ke sekolah semalam untuk ambil exam subjek yang terlepas. Terima kasih Cikgu Masnun, dalam kesibukan sebagai pengawas peperiksaan SPM masih berkesempatan ambil tahu hal Irsyad. Dan keramat hidup saya, Mak yang dikasihi, terima kasih Mak sokmo jadi penyelamat Akak. Datang naik bas untuk bantu jaga cucu di hospital ketika Akak bergelut dengan masa; suami yang tidak sihat di rumah, anak yang sakit di hospital dan ayah mertua yang uzur.

Selesai proses discharge Irsyad dari wad, saya terus bergegas ke rumah ayah mertua yang sudah sangat uzur keadaannya. Letihnya hanya Tuhan yang tahu. Tumit kaki sebelah kanan sudah mula terasa sengal, terlalu banyak memandu ke sana sini.

Abe Mie, MekNa dan Si Kenit sudah berada di rumah ayah semenjak sebelum Asar lagi. Abang sulong dan anak-beranak mereka bantu uruskan. Rupanya Abe Mie tantrum di rumah ayah, marah-marah dan jatuhkan barang. Tetapi abang yang sorang ini sabar benar dengan kerenah adik bongsunya. Mewarisi sikap ayah saya kira, yang sabar setiap 2 hari mendengar celoteh suami saya yang entah apa-apa selama berjam-jam di atas kerusi roda. Saya tidak dapat bayangkan keadaan suami jika ayah pergi suatu hari nanti. Attachment suami pada ayah sangat tinggi. Kami berhijrah tinggalkan kerjaya selesa di Kedah juga sudah dapat dinilai betapa tingginya kasih suami pada ayahnya.

Malam sebelum itu abang sulong, Abe Yo bawa suami melepak pekena kopi panas di kedai kopi berhampiran.

"Jom Mie kito gi minum di kedai pelayan tak pakai bra." Suka sungguh suami saya diusik sebegitu. Sampai pejam mata gelaknya. Amboi!

"Namo gapo hok tok pakai bra tu?" tanya Abe Mie lurus.

"Za namo dio. Zakri. Mat Zakri," jawab Abe Yo.

"Hmm...jatey (jantan)! Memey (memang) la," Abe Mie lurus membalas. Kecewa ke? 😜

Hampir pukul 1 pagi baru pulang 2 beradik itu. Suami saya gembira tak terkata. Seronok bercerita kepada saya dan anak-anak apa yang dimakan, apa yang dibualkan, bagaikan anak kecil.

Tak dak apa pun, sekadar berkongsi betapa pentingnya sokongan adik-beradik kepada pesakit dan keluarga penjaga pesakit dari segi kesihatan mental mereka jika tidak mampu memberi bantuan material. Tidak banyak pun, kalian sekadar perlu kekalkan momentum hubungan sepertimana sebelum mereka sakit. Jika emosi pesakit baik, insyaAllah proses kesembuhan fizikal juga akan cepat. Pada tahun lepas bulan Ogos, suami saya terlantar sepenuhnya (lebih kurang 6 bulan) dengan berat 32kg sahaja, berat terkini 42kg. Berkat usaha dan sokongan, Abe Mie sudah boleh berjalan dan uruskan diri di tandas walau kesihatan mental masih jauh.

Tempahan preorder buku REDAH SAJA, ALLAH ADA, pengeposan pada 1hb.Disember 2018:
Whatsapp hanya tekan link berikut...
www.wasap.my/601125459481/redahsaja_allahada
www.wasap.my/601125459481/redahsaja_allahada
www.wasap.my/601125459481/redahsaja_allahada

Terima kasih semua kerana tak jemu menyokong saya.

#redahsajaallahada

Tuesday, November 13, 2018

Children Are The Natural Mimics



Ruang kecil MekNa siapkan tempahan kek.
Abah dah 'tolong kemas' semula 😁.

Nanti MekNa balik mesti MekNa hangin tengok ruang baking dia dah jadi stor semula. Abe Mie susun semula semua benda di kedudukan asal 😁. Bilik ini asalnya stor dan bilik menggosok pakaian, MekNa kemaskan dan buat tempat siapkan tempahan kek. Sewaktu Abe Mie sihat, beliau seorang yang ringan tulang, rajin membantu di rumah. Sedih pun ado. Walau sedang sakit dengan mental agak huru-hara tetapi sikap positif ini tetap sebati dengan beliau. Abe Mie juga masih cuba membantu saya melipat kain walau tak nampak macam rupa dilipat, bergulung-gulung. 


Abe Mie mood kurang baik minggu ni. Entah kenapa. Hampir hari-hari tantrum. Marah-marah, tinggikan suara, campak barang dan pukul-pukul manja kami kat rumah ni. Nak pujuk makan ubat pun jenuh guna segala teknik dan jampi serapah. Dah lama tak macam ni. Mungkin sebab ayah mertua uzur benar dan terbaring saja. Tidak lagi dapat berbual-bual dengan beliau seperti biasa. Mungkin itu cara beliau menyampaikan rasa kecewa. Pakar Psikiatris juga pernah beritahu saya begitu, tantrum adalah antara cara pesakit strok berimpak mental menyatakan rasa hati.

Terharunya dengan insan bernama Hadzrami ini. Selang 2 hari mesti nak ziarah ayah. Masih sama sikapnya seperti waktu beliau sihat. Kasihnya pada ayah tak berbelah bagi. Ayah pun sabar sekali melayan anak bongsunya. Doakan ayah mertua saya kembali sihat. Saya ada hajat besar ayah untuk saya tunaikan. Ayah mertua saya, 86 tahun merupakan generasi keempat Almarhum Ulama Sufi Tok Pulai Chondong. Ayah mahu saya tulis kisah hidupnya sebagai rujukan dan pengajaran buat generasi baru. Perancangan saya ialah untuk menyiapkannya sebagai buku saya seterusnya setelah menghadiri Bengkel Kisah Hidup bersama Kak Sri Diah nanti. Saya harap saya sempat melakukannya ketika hayat ayah 😔. Timbul rasa menyesal sekarang kerana saya tidak mengambil serius permintaan ayah awal-awal dulu. Mohon doa semua buat ayah mertua saya, moga cepat sembuh.

Macam tulah ceritanya. Saya slow respond to phonecalls, whatsapp dan sebagainya lately. Pelan-pelan saya balas na. Banyak perkara berlaku semenjak minggu lepas. Saya tengah sort out one by one. 

Lagu mana pun Ibu rasa sebak tengok anak-anak Ibu begitu protective ke Abah bila ada yang cuba berkeras dengan Abah bila Abah tantrum. Moga Allah swt terus ikat kasih sayang kalian sebegini hingga ke syurga firdausi. Ibu nampak Abah pada diri kalian wahai anak-anak Ibu. Terima kasih Abang.

'Children are natural mimics, who act like their parents despite every efforts to teach them good manners." ~ Mark Twain

Irsyad masih di hospital. Keluarga saya jauh di Kedah. Mak dan Abah akan sampai petang ni. Beberapa hari ini saya bahagikan tugas menjaga Irsyad dan suami dengan anak-anak sahaja. Pada hujung minggu MekNa (15 tahun) dan Isyraf (11 tahun) menjaga Abahnya di rumah dan saya menjaga Irsyad di hospital. Pada hari sekolah MekNa yang baru selesai peperiksaan PT3 menjaga adiknya di hospital. Alhamdulillah, Allah swt kirim rahmatNya tak henti-henti walau Dia uji melalui anak-anak yang dapat membantu dan juga jiran serta rakan-rakan yang prihatin. Jiranku Da, terima kasih banyak dok hantar makanan ke rumah dan ziarah Cad. Juga Cikgu-cikgu kepada anak-anak saya yang prihatin dan memahami. 

Hanya Allah swt yang dapat balas kebaikan kalian semua kepada saya termasuk kalian rakan pembaca yang saya tak kenal pun. Siap kirim duit beli KFC ke Irsyad. Entah apa dah saya buat sampai begini kebaikan kalian hantar pada saya sekeluarga. 

Tempahan preorder  buku REDAH SAJA, ALLAH ADA, whatsapp hanya tekan link:
www.wasap.my/601125459481/redahsaja_allahada
www.wasap.my/601125459481/redahsaja_allahada
www.wasap.my/601125459481/redahsaja_allahada

Terima kasih semua kerana tak jemu menyokong saya.

Sayang semua ♡
Mek Zurots
www.mekzurots.com

#livelifezura
#redahsajaallahada

Monday, November 12, 2018

Do Good, Good Will Come To You

Almarhum MakTok meninggal dunia di Hospital Kepala Batas dan ianya pengalaman baru bagi saya memandikan jenazah dan mengkafankan jenazah di hospital serta mengikut prosedur hospital. Berbeza situasinya pengalaman lalu memandikan dan mengkafankan jenazah di rumah, lebih kepada tugas pembantu perkara-perkara mudah sahaja.

Ketika di hospital baru-baru ini hanya seorang staf ditugaskan untuk mengemudi proses memandikan dan mengkafankan jenazah. Yang lainnya adalah anak-anak dan cucu-cucu perempuan Almarhum MakTok. Kami anak-beranak benar-benar dapat menyantuni jenazah sepenuhnya buat kali terakhir dengan kasih sayang.

Ianya satu pengalaman mahal dan amat membumi buat saya. Di saat saya masih bergelut dengan tugas sebagai seorang penjaga pesakit dan kadang-kadang ada elemen angin lintang, Allah swt seakan-akan mahu ingatkan saya dengan keras bahawa pada akhirnya apa pun yang saya lakukan dan katakan, ianya tetap menuju kepada satu destinasi sahaja iaitu Tuhan.

Peluang yang saya ada di depan mata sebagai penjaga pesakit kepada suami ini tidak boleh disia-siakan. Walau perit dan mencabar hanya Tuhan yang tahu, ianya ibarat saya sudah diberi skema jawapan dan berpeluang membuat persediaan awal sebelum mengambil peperiksaan akhir.

Pandangan manusia tidak lagi penting kerana manusia yang memberi pandangan itu juga nantinya akan tiada daya apabila malaikat Izrail sudah melaksanakan tugasnya.

Semalam ada komen cakap saya brag to show I am strong. Yang komen tu baru saja kenal saya. Lucu pun ada. Suami saya kena strok pertama pada tahun 2010 kot. Jenuh jugak noh nak tunjuk strong masuk 9 tahun dah ni. Penat aih nak menunjuk pun 😁. Melabel orang ni mudah. Tapi satu sahaja, apabila kita label orang, tidak lain dan tidak bukan ianya hanya melambangkan karakter kita sendiri bukan orang yang kita label tersebut. Biaq pilah kat dia noh. Bila kita berkongsi ni kita bukan saja beri semangat pada orang tetapi pada diri sendiri sebenaqnya.

Jadinya lagu mana Mek Zurots lalui hari-hari Mek Zurots di celah tugasan pelbagai ini? Kadang-kadang terpeleot jugak. Tapi kita cuba the best ok.

Pertamanya sebelum tidoq pandang muka suami yang sakit itu. Tenung dalam-dalam. Pandang dengan kasih sayang. Kenang waktu suami sihat. Suami bukan mintak jadi lagu ni pun. Bukan saja dia nak mengamuk ka apa. Dia sakit. Ada impak mental. Mohon maaf pada suami walau dia tak faham pun.

Keduanya ucapkan syukur pada Allah swt atas perjalanan hari tersebut dan segala nikmat/hikmat yang diberi. Kurang-kurang suami masih ada depan mata kan? Luas terbentang ladang pahala.

Ketiganya azam nak terus buat kebaikan lagi hari esok dan bila berurusan dengan sesiapa pun takmo label orang tu ok.

Bangun ja pagi terus reset minda. Tiap-tiap hari kena reset. Kalau tidak hat serabut semalam tu kita bawak mai hari ni. Nak buat kebaikan tak jadi satgi. Kena bagi signal kebaikan awal-awal kat otak dan hantaq signal kebaikan jugak kat orang yang kita nak berurusan.

Dan setiap kebaikan yang kita lakukan pulak biasanya ada 4 fasa:
1) Buat kebaikan supaya orang buat baik kat kita.
2) Buat kebaikan supaya dihindari kejahatan.
3) Buat kebaikan supaya orang sayang kat kita.
4) Buat baik kerana Allah swt.

The best is for sure nombor 4 lah. Sebabnya hat nombor 4 ni kita tak harap penghargaan manusia dan secara tak langsung kita takkan melabel orang sebab kita tak kisah pun apa juga latar belakang orang tu. Kita nak buat kebaikan kerana Allah swt. InsyaAllah hat ni kita dah dok di fasa ikhlas dan redho. Prof Muhaya pun pernah share ni.

Do good, good will come to you.

Didoakan ada manfaatnya Mek Zurots beletiaq ni. Saya sebenaqnya menulis dari Hospital USM. Anakanda saya Irsyad kurang sihat. Hari ketiga dah di wad. Doakan kesembuhan Irsyad ya.

Tempahan (preorder) buku REDAH SAJA, ALLAH ADA (cetakan kedua) hanya tekan link:
www.wasap.my/601125459481/redahsaja_allahada
www.wasap.my/601125459481/redahsaja_allahada
www.wasap.my/601125459481/redahsaja_allahada

Terima kasih semua kerana tak jemu menyokong saya.

MekZurots
www.mekzurots.com

#gooddeeds
#livelifezura
#melas

Thursday, November 1, 2018

Test Is A Blessing, Blessing Is A Test





Semalam adalah malam yang panjang, hati tisu. Tatap wajah suami lama-lama lagi bertambah sentimental jadinya. Airmata jatuh laju tanpa sedar. Mek Zurots memang dah lagu tu. Walaupun ada baka angin lintang tetapi kalau dengan suami memang tak boleh, terusik sikit sahaja, lajulah turun hujan tak ikut musim ni.


“Abe, Irfan call tadi,” saya cuba memancing perhatian suami yang leka membelek tali pinggang di tangannya. Tiada reaksi.

“Abe, Irfan dapat Anugerah Dekan,” saya cuba memberitahu suami, beliau masih leka dengan tali pinggang di tangan. Tiada reaksi juga.

“Abe, Abe dengaq dak ni. Irfan dapat Anugerah Dekan periksa baru ni, 3.89 CGPA dia. Suami masih dengan tali pinggang di tangannya, kolam mata saya sudah tidak dapat bertahan. Sudah terasa panas.

“Abe, Irfan dapat result comey exam semester baru ni, Anugerah Dekan,” saya masih mencuba, kali ini saya menyentuh tangan beliau.

“Ya! Ya! Anugerah Dekan? Anugerah Dekan tu apa?” sambil ligat tangan beliau bermain dengan kepala tali pinggang. Akhirnya pecah juga kolam mata saya dan airmata mula turun dengan lajunya. Tak dapat dibendung lagi.

Abe, kalaulah Abe faham semua ini. Abelah orang yang paling bangga dengan Irfan, anak sulung kita yang ada tangan sebelah saja. Sewaktu Abe diserang strok, Irfan tengah bergelut nak ambil trial exam SPM. 3 bulan pertama keadaan Abe sangat mencabar. Zura jaga Abe di wad dan pesan pada Irfan untuk fokus pada exam, tetapi Irfan cakap dia ok dan Ibu tak perlu risaukan dia. Zura memang risau, tapi Irfan cakap Abah ada satu saja, SPM tak apa tak ada rezeki kali ini ada rezeki lain kali.

Abe tau dak, waktu hari pertama Abe masuk wad di Hospital USM, selepas selesai urusan Abe masuk wad, Irfan bawa adik-adiknya Irdina, Irsyad dan Si Kenit Isyraf berjalan kaki ke hotel bajet berdekatan. 4 beradik tu check in di situ, tak mau balik rumah di Pulai Chondong sebab takut jadi apa-apa dengan Abe, nak melawat Abe dua kali sehari, depa berjalan kaki hantar makanan untuk Zura dari hotel. Irfan dengan Dina bergilir jaga Abe di wad dengan Zura. Tak sia-siakan Abe, kita latih anak-anak kita untuk berdikari dari sekecil-kecil perkara seperti nak booking hotel, ambil duit di ATM, online banking dan sebagainya. Sekarang semua anak-anak kita boleh buat sendiri semua tu.

Zura harap sangat satu hari nanti Abe dapat baca tulisan ni. Abe ingat dak waktu Zura lahirkan Irfan, Abe teman Zura dalam bilik bersalin, Abe pegang tangan Zura dari mula sampai selesai. Terima kasih Abe. Waktu nurse tolak katil Zura untuk ke wad, Zura nampak Abe baring di atas sofa ruang rehat sambil tangan kiri Abe letak di atas dahi. Zura sangkakan Abe kecewa dengan Zura sebab hadiahkan anak pertama yang hanya ada tangan sebelah saja (tangan kiri hanya di paras siku). Rupanya Abe mabuk darah. Arwah Dr Hamid bagitau Zura. Lepas tu Irfan dipindahkan ke Bagan Speialist Hospital. Mak naik ambulans dengan Irfan dari Selasih Specialist Center di Kulim. Abe naik motor besaq Abe siap dengan jaket hijau Marshall. Mak cakap Abe yang lead ambulans sebab tak begitu dapat kerjasama pengguna jalan raya yang lain waktu tu. Mak bukan main bangga lagi dengan menantu dia. 

Waktu kita daftar Irfan darjah satu dulu, Abe ingat dak kerani tu suruh kita bagi Irfan masuk kelas khas, nanti besaq boleh buat bakul boleh jual dia kata (19 tahun dulu kesedaran tentang golongan OKU masih rendah). Hari pertama darjah satu depan-depan mata kita ada budak tendang Irfan sebab tak bagi Irfan beratur depan dia. Kita minta bantuan cikgu pantau Irfan. Alhamdulillah, cikgu-cikgu sayangkan Irfan, kita tak perlu risau lagi.

Perjalanan Irfan sebagai seorang OKU tak mudah. Banyak bermain dengan prasangka dan emosi, emosi kita sendiri dan juga emosi masyarakat. Tapi Abe tak pernah layan Irfan seperti anak OKU. Awal-awal dulu Zura sedih juga tengok Abe tegas sangat dengan Irfan, tapi sekarang, I am very proud of you Abe, I am very proud with what you have done to our kids.

Siapa sangka budak tangan sebelah saja boleh masuk tournament badminton, siapa sangka budak tangan sebelah masuk tournament Taekwondo fight dengan budak-budak dua tangan, siapa sangka budak tangan sebelah boleh tahan bab memancing, siapa sangka budak tangan sebelah boleh menunggang kuda dan panjang lagi listnya. Semua ni kredit untuk Abe. Walaupun Zura ni baka angin lintang, tapi kat dalam hati tisu. Abe lembut orangnya tapi tegas.

Abe tau dak, Irfan sebenarnya dapat tawaran ke UTM (Chemical Engineering) & UiTM (Accounting), tetapi Irfan tukar fikiran. Irfan cakap passion dia dah lain sejak Abah sakit, Irfan banyak study tentang penyakit Abe yang rare (Melas Syndromme) dan berharap dapat buat sesuatu untuk Abe dan masyarakat bila tamat pengajian nanti terutamanya berkaitan penyakit Abe. Irfan, anak kita yang tangan sebelah ni dapat Anugerah Dekan in Medical Science Abe. This is for you Abe, for your patience and caring.

Maaf semua, sentimental tak ketahuan hala hari ni. Lagi bertambah sentimental kejap tadi Abe Mie dok tanya dia tak cukup umur lagi ko saya tak benarkan dia pergi solat jumaat di masjid. Moga satu hari Allah swt kurniakan kesembuhan buat Abe.

Berkali-kali saya tulis dan delete. Saya tidak selesa sebenarnya mahu berkongsi hal result exam anak. Tetapi bak kata anak saya pada satu ketika, “Ibu, you are chosen by Allah swt as an author for a reason.” Ianya bukan tentang result peperiksaan, ianya tentang perit jerih, pengorbanan dan laluan sukar yang seorang anak OKU perlu tempuhi serta keyakinan ibubapa yang punya anak OKU. Doakan Irfan dapat kekalkan prestasinya dan menjadi inspirasi pada anak OKU lain bahawa mereka juga boleh memberi manfaat kepada agama, masyarakat dan alam.

TEST is a BLESSING,
BLESSING is a TEST.

Mek Zurots
www.mekzurots. com

Tempahan buku REDAH SAJA, ALLAH ADA, whatsapp hanya tekan link:
www.wasap.my/601125459481/redahsaja_allahada
www.wasap.my/601125459481/redahsaja_allahada
www.wasap.my/601125459481/redahsaja_allahada

Nota: InsyaAllah apabila selesai urusan cetakan kedua buku REDAH SAJA ALLAH ADA, saya akan fokus kepada penerbitan buku BERBEZA ITU OK (ANAKKU TANGAN SATU) pula.