Tuesday, March 31, 2020

Tanda Kiamat!...Sat dulu


Ibu sekarang bekerja dari bilik Isyraf Cheh Kenit. Bilik Ibu plug semua tak jadi. Dugaan sungguh time pkp ni. Susah pulak nak fokus buat kerja dari bilik budak kecik ni. Ada skuter kat tepi, ada waveboard kat kaki dan ada macam-macam .
Semalam saya cakap dengan Kenit yang dunia ni dah nak akhir zaman. Dah nak kiamat. Banyak dah tanda-tanda.
"Nanti sat dulu Ibu. Kami ni kawin pun dak lagi. Gewe pun tak dak."
Nak bagi tazkirah pun tak jadi.

Sunday, March 29, 2020

Terima kasih Majalah Keluarga


Terima kasih Majalah Keluarga kerana siarkan semula tulisan saya di laman web dan Facebook Page Majalah Keluarga.

Moga ada manfaatnya buat kalian.

Linknya di sini:

bit.ly/zurots_majalahkeluarga

Kerana Syurga Bukan Percuma



Assalamulaikum dan Selamat Pagi. Ini pandangan dari tingkap bilik tidur saya. Hari ke 11 perintah kawalan pergerakan dan Abe Mie masih belum jemu mengajak saya keluar. Setiap hari ayat yang sama. Mahu ke Kok Lanas dan mahu ke rumah abangnya. Adakalanya responnya tenang, adakalanya agak keras disusuli tantrum. Jemu di paras maksima barangkali. Biasanya seminggu sekali saya akan bawa Abe Mie keluar sarapan dan makan malam di luar. Kemudian saya akan bawa Abe Mie ke perkuburan di mana arwah ayah mertua, ibu mertua, dua orang kakak dan seorang abangnya disemadikan. Kami hanya duduk di dalam kereta di tepi tanah perkuburan. Abe Mie akan menadah tangan sambil tunduk khusyuk membaca doa. Apa agaknya doa Abe Mie. Adakalanya kelihatan butir-butir permata kecil terbit di hujung matanya. Betapa kasihnya beliau pada arwah ayah, arwah mek dan saudaranya. Perintah kawalan pergerakan amat mencabar buat kami seisi keluarga dengan keadaan mental disability Abe Mie sebegini. Beberapa hari lepas saya lupa kunci pintu bilik stor dan suis lampu bilik tersebut tak boleh dibuka. Jika dibuka akan short circuit bahagian lain di dalam rumah. Tak sempat panggil juruelektrik datang baiki dah kena perintah kawalan pergerakan. Saya beli lampu kalimantang dahulu gantikan lampu dapur dan lampu hall tengah yang rosak. Kipas di hall pun pakai kipas meja dahulu. Makan minum juga mencabar, serba tidak kena. Sejak sakit begini Abe Mie tak suka makan benda yang sama berulang. Jenuh juga nak masak setiap masa. Sebelum perintah kawalan pergerakan biasanya saya beli sahaja serba sebungkus untuk Abe Mie makanan berlainan seperti bihun goreng, mee goreng dan nasi serta kuih di waktu pagi selepas hantar anak-anak ke sekolah. Kemudian terus masukkan ke dalam peti sejuk dan panaskan di dalam microwave sahaja apabila beliau mahu makan. Inilah kaedah yang terbaik setelah try and error selama empat tahun. Saya hanya masak satu jenis lauk untuk saya dan anak-anak. Setiap hari saya berperang dengan masa. Bukan mudah untuk uruskan serba serbi sambil mencari rezeki dari rumah apabila segalanya di bahu kita. Perkara-perkara remeh seperti memasak dan mengemas ini mencuri banyak masa. Kalian sedang laluinya sekarang bagaimana rasanya bekerja sepenuh masa di rumah. Saya ada pakej tambahan lain sejak empat tahun yang lalu, bekerja sepenuh masa dari rumah sambil menjaga suami uzur serta tugas uruskan empat orang anak. Tempoh kawalan pergerakan bertambah meletihkan bagi mereka yang berada di dalam kasut yang sama seperti saya. Sekali keluar perlu harung berbagai urusan sekaligus. Ambil duit, buang sampah, beli groceries, temujanji hospital dan sebagainya. Dalam keadaan sekarang sebagai ketua keluarga mahu tidak mahu perlu uruskannya juga. Jika kalian masih ada pasangan yang boleh berkongsi rasa, berkongsi penat lelah apatah lagi dalam situasi seperti sekarang...itu sudah cukup hebat buat saya, nikmat besar, nikmat kasih sayang pasangan. Jika kalian tidak perlu bersekang mata dan lelah emosi setiap hari melayan kerenah pesakit, itu juga nikmat besar kalian ada, nikmat masa. Begitu juga saya, walaupun diuji dengan kesihatan suami, saya masih Allah swt beri rezeki makan pakai dan gelak tawa anak-anak di dalam rumah ini dengan melimpah ruah. Begitulah. Kuncinya dari kaca jendela bersih atau kelabu kita pandang aturan hidup kita. Sentiasa bersangka baik dengan Penulis Agung cerita hidup kita, Allah swt. Zurots Kerana syurga bukan percuma. #raredisease #melassyndrome #melasjourney #covid19