Thursday, September 5, 2019

Beri Luar Biasa, Dapat Luar Biasa




"Kakak, tu budak OKU kelas PDK sekolah adik tu. Adik sokmo dok cerita kat ibu dia selalu marah budak-budak yang suka buli budak OKU tu. Panggil dia Kakak."

Dina buka tingkap kereta dan memanggil adik OKU tersebut. Secara zahirnya kita dapat melihat dengan jelas kelainan upayanya.

Saya hulurkan sedikit wang untuk Dina beri pada adik OKU tersebut.

"Kenapa Makcik bagi duit kat ambo?" Jujur sekali soalannya.

"Takpo. Makcik belanja. Adik gi beli apa adik nok makey (makan) di pasar deh."

"Sebenarnya ambo mari cari duit ambo. Hilang sepuluh riyal."

"Laa...ya ka. Takpo. Adik gi bbeli deh."

"Terima kasih Makcik," senyum meleret sambil buat sign mini love pada Dina. Dina ketawa berdekah-dekah dapat mini love dari adik tu 😅. Lelaki adik tu.

"Ibu, awat Ibu dok bagi duit kat dia? Kan ibu pun tak dak duit. Kita baru ja hilang banyakkan baru ni. Cukuplah hat kita dok biasa bagi tu. Ubat Abah pun tak beli lagi."

"Takpalah Kakak. Sebab tak dak teruklah kita kena bagi jugak. Kali ni ibu harap Allah bantu kita dengan luar biasa Kakak."

"Moga Allah balas lebih dari yang hilang tu kat ibu." Saya senyum sahaja mendengar jawapan balas Dina.

Waktu ke Pasar Pagi Machang baru-baru ini saya tak sedar saya hilang tujuh ratus ringgit. Jatuh ke lagu mana saya tak perasan. Ambil duit pencen Abe Mie di mesin ATM Bank Islam Machang, lepas tu terus ke pasar pagi. Balik rumah baru sedar.

Murung sekejap saya. Bagi surirumah yang menjaga suami uzur seperti saya tujuh ratus tu besar nilainya, dah lepas kos beli bekalan ubat sebulan yang dipreskripsi doktor untuk suami saya (L-Arginine & Co-Enzyme Q10). Ubat ni saya kena beli atas kos sendiri. HUSM tiada bekalan dan tidak dapat claim dari Perkeso juga kerana jatuh di bawah kategori suplemen katanya. Entahlah. Tetapi dua jenis ubat ini memang preskripsi wajib kebanyakan pesakit Sindrom Melas di luar negara juga. Biasanya saya habis lebih kurang enam ratus sebulan untuk ubat ini. Itu belum masuk kos susu Nutrien Diabetik beliau setiap bulan yang harganya antara lapan puluh lima hingga sembilan puluh enam ringgit setin.

Selesai dengan adik OKU tadi kami bergegas pulang ke rumah. Anak saudara saya datang menghantar ubat Abe Mie yang saya nyatakan di atas. Saya minta tolong abang ipar belikan di Kota Bharu. Jadual saya sangat padat sekarang dengan tusyen Irsyad dan Isyraf. Saya hantar mesej kepada abang ipar dan bertanyakan harga serta minta beliau berikan nombor akaun untuk saya bayar. Beliau menolak. Belanja Mie katanya 😢. Empat ratus lebih juga nilai yang dibeli.

Dua hari lepas pula saya terima kiriman susu Nutrien Diabetik dari sahabat di Kuala Lumpur sebanyak lapan tin yang nilainya menghampiri lapan ratus ringgit 😢. Suami beliau yang juga seorang stroke survivor tidak lagi minum susu jenis ini. Saya sudah lama stop beli susu ini untuk suami kerana saya prioritikan ubat beliau dahulu.

Sebelah petangnya pula abang Pos Laju hantar portable video player. Ada sahabat Facebook hadiahkan 😢. Saya dah pernah beli satu untuk Abe Mie portable video player ni. Radio mini pula 3 buah dah saya beli. TV juga masuk yang ketiga dah di rumah ni sepanjang Abe Mie sakit. Saya tak larat dah nak beli baru selepas semuanya rosak akibat Abe Mie kerap tantrum dan baling barang pada tahun pertama beliau diserang strok. Banyak lagi perkara prioriti dari segi kewangan.

Terduduk saya apabila Allah swt ganti kesedihan saya bertubi-tubi begini, lebih dari nilai wang saya yang hilang.

Betullah Mak saya sokmo dok pesan dulu. Kita ni nak perhatian luar biasa dari Tuhan. Tapi kita sendiri beri yang biasa-biasa saja kepada Tuhan. Tak logik sangat tu kata Mak. Kita nak tagih kasih-sayang manusia pun macam-macam kita laburkan. Apatah lagi ini Tuhan. Mahu yang luar biasa dari Tuhan, perlu beri yang luar biasa juga. Terima kasih Mak. Akak takkan lupa pesan Mak.

Memberi ketika kita sendiri tersepit adalah sangat perit tetapi sangat mahal. Di situlah luar biasanya.

Tak dak apa. Saja beletiaq. Tak beletiaq tak best. MekZurots energi banyak. 😁

Nota:
Video: Saat pertama Abe Mie lihat portable video player hadiah rakan FB saya. Siap download ayat Al-Quran dan cerita P.Ramlee dah untuk Abe Mie.

#melas
#melasjourney
#abe
#kamimestikuat