Sunday, June 30, 2019

Mukjizat A-Quran


Ada seorang ahli bahasa di zaman nabi dulu, Al-Walid Bin Al-Mughirah bila Abu Jahal tanya tentang susun kata Al-Quran, antara yang dijawabnya ialah,

"Demi Allah! Apa yang diucapkan oleh Muhammad itu tidak dapat diserupakan dengan sebarang syair pun. Demi Allah! Kata-kata ini manis didengar, indah diucapkan, puncaknya menimbulkan buah, dasarnya memancarkan kesuburan."

Al-Walid tidak masuk Islam, tetapi inti kebenaran dalam keistimewaan Al-Quran tidak dapat dibantah dan diputar-belit.

Al-Quran juga mempengaruhi orang yang memusuhinya sebagaimana mereka yang beriman. Al-Quran adalah senjata yang tidak dapat diatasi.

Sebab itu di zaman tersebut ada di antara musuh Rasulullah saw akan menggalakkan sesama mereka untuk berbuat bising jika Rasullullah saw membaca Al-Quran.

Sampai macam tu sekali mukjizat Al-Quran. Rugi benar jika kita tidak manfaatkannya ketika masih ada nikmat kesihatan dan masa. Apatah lagi golongan ibu merangkap 'caregiver' (penjaga pesakit) seperti saya yang melalui rutin mencabar dan melelahkan setiap hari.

Beberapa lembaran Al-Quran setiap hari, insyaAllah, itulah penawarnya untuk melembutkan hati dan minda serta sentiasa tenang. Seterusnya memberi impak positif kepada pasangan dan anak-anak. Tidak mudah marah dan melatah. Sentiasa dapat memandang kehidupan dengan hikmah.

Sama-sama kita. InsyaAllah.

MekZurots 
Tafsir Al-Azhar karya Professor Dr.Hamka

Children Learn From What We Are Than What We Teach


Petang tadi dua orang abang ipar datang menziarah suami sebelum mereka bertolak balik ke Kuala Lumpur. Gembira sungguh Abe Mie menerima kunjungan abang-abangnya.


Beria benar Abe Mie mahu berkongsi buah asam yang sedang dimakan dengan abang-abangnya. Bangga sungguh beliau bercerita yang buah asam tersebut dibeli oleh Si Kenit Isyraf di sekolah.


Setiap hari apabila Isyraf pulang sahaja dari sekolah, suami saya yang mempunyai impak mental akibat strok akan sangat teruja menanti buah tangan dari Isyraf. Adakalanya gula-gula, roti, air kotak dan apa yang sempat dibelinya di kantin atau kedai berhampiran sekolah untuk abahnya.


Apabila saya pandang gelagat dua beranak ini, sayu pula jadinya. Ianya seolah-olah lakonan semula babak-babak yang sama beberapa tahun yang lalu ketika Isyraf masih kecil, ketika suami masih sihat. Abe Mie tidak pernah lupa buah tangan untuk anak-anak apabila pulang dari pejabat atau tugasan di luar, walau hanya sebiji gula-gula tetap takkan beliau lupa. Dari jauh Isyraf, abang dan kakaknya akan menerpa, bersalam, memeluk dan menanti buah tangan dari suami.


Rindu.


Children learn from what we are than what we teach.

#caf
#livelifezura

Berbaloi Ke Pakai Dryer?


Ramai yang minat nak tahu bab dryer pakaian rupanya selepas saya share cerita Kenit dan dryer. Ini saya summarykan soalan kalian. Hangpa semua memang cute tau. Dryer pun jadi cerita. Ha ni dia...

Berbaloi ke pakai dryer?

Pada saya ianya sangat berbaloi. Sebagai seorang ibu yang memegang pelbagai topi di kepala, apatah lagi sekarang saya menjaga suami yang sakit, saya dapat membeli masa untuk diri sendiri dan keluarga. Kurang satu kerja rumah dari to-do-list saya setiap hari. Orang perempuan selalunya tertekan disebabkan tugasan di rumah yang kelihatan remeh, tetapi jika tidak diselesaikan kita pula jadi serabut. Akhirnya kita jadi sensitif dengan pasangan dan anak-anak, nak lepaskan tekanan.

Kurang satu kerja rumah? Macam mana tu?

Saya tidak perlu kelam-kabut lagi sidai kain dan kutip kain dari ampaian. Tiada lagi masalah pakaian berbau akibat lambat angkat dari ampaian. Kini anak-anak saya urus sepenuhnya hal pakaian dari mencuci, mengering, menggosok, dan melipat. Masing-masing perlu bertanggungjawab hal pakaian sendiri. Menggosok baju sekolah pun sudah minima kerana anak-anak akan gantung terus pakaian sekolah sewaktu baju masih panas @ baru dikeluarkan dari dryer, tak berkedut waktu ni.

Sebagai penjaga pesakit saya perlu kerap mencuci cadar dan alas katil. Dryer sangat membantu. Di musim tengkujuh di Kelantan ini lagilah pening dibuatnya sebelum ada dryer. Saya terpaksa keringkan di dalam rumah dengan memasang kipas 24 jam. Dahulu rumah kotak saya dah macam pasar malam ketika musim hujan. Adakalanya saya ke kedai dobi.

Mahal tak bil letrik?

Untuk kegunaan di rumah saya yang mempunyai 6 orang ahli keluarga, bil letrik ada kenaikan lebih kurang RM50 sebulan berbanding sebelum guna dryer. Saya suspect Si Kenit hok buat bil tinggi 😂. Stokin 2 pasang pun basuh pakai washing machine dan keringkan guna dryer. Yang terbaru akai dia hok status sebelum ni lah.

Summary dia pada saya berdasarkan situasi saya sekarang, clothes dryer ni dah jatuh barang keperluan untuk memudahkan urusan rumahtangga, beri balik masa pada saya dan seterusnya kurangkan tekanan akibat tugasan pelbagai yang dipikul. Tiap-tiap bulan antara kita ada yang spend untuk berbagai barang kehendak seperti alat solek dan sebagainya, jadinya untuk dryer tak payah fikir banyak kali aih.

Gitu 😁.

Jangan tanya pasaipa lesung batu dok tang tu.

MekZurots
Duta Pengering Pakaian Kebangsaan

Dryer



Pengawas SK Pulai Chondong ni akhirnya kena tangkap dengan Ibu. Ada teknik baru rupanya.

Patutlah lately tak nampak dok iron baju sekolah dah. Rupanya pagi-pagi sebelum masuk bilik air, baju sekolah akan dicampak ke dalam dryer. Set timer dryer ngam-ngam siap mandi dalam 10 minit. Habis mandi terus ambil baju dari dalam dryer dan pakai.

"Ibu tak tau nikmat dia bila kita sejuk ketaq pagi-pagi lepaih mandi, teruih pakai baju yang dok suam-suam lagi. Ibu cuba try tengok."

🙃
Spek mata tu spek mata eksyen ajo. Tak dak power pun. Nak lindung telinga katanya 😂.

Gigih beli RM5 kat kedai buku.

Jarak Kita Dengan Al-Quran Melambangkan Jarak Kita Dengan Tuhan



Ini suami saya Abe Mie yang hilang ingatan akibat strok kali kelima pada Ogos 2017 (link di atas). Enam bulan terlantar di katil. Pemulihan fizikal berperingkat hingga kepada keadaan dalam video ni. Hidup dalam dunia sendiri. Kadang cakap sorang-sorang.

Sekali pandang rasa kasihan pada beliau. 10 kali pandang saya kasihan pada diri saya sendiri yang sibuk dengan segala macam urusan dunia.

Walaupun beliau hidup dalam dunia sendiri, ayat Al-Quran adalah halwa telinga beliau siang dan malam. Penglihatan beliau terjejas teruk. Jadinya semenjak beliau boleh duduk selepas 6 bulan terlantar, saya cuba ajar Abe Mie perlahan-lahan menggunakan radio kecil sendiri dengan meraba dan menyentuh radio tersebut. Waktu terlantar memang saya pasang 24 jam dalam bilik tempat beliau berbaring.

Short term memory Abe Mie memang ke laut. Kalau suruh solat sokmo cakap solat dah sebab memori lama beliau masih kuat. Jadi beliau dok ingat yang tahun bila beliau dah solat tu. Jenuh bergaduh. Tapi jika beliau mula solat, alhamdulillah aturan solat beliau betul dan bacaan pun betul. Solat jamak pun betul aturannya.

Azam MekZurots yang masih elok ingatan dan penglihatan pada tahun ni ialah perlu gigih membudayakan Al-Quran di rumah. Tak boleh ikut mood dan kelapangan masa lagi. Perlu jadikan habit seperti Abe Mie.

Never stop learning because life never stops teaching.

Dengan Abe Mie yang tak sihat macam tu pun Allah swt kirim pengajaran. Baiknya Allah swt. Sayangnya Allah swt pada kita.

Terima kasih pada yang hadiahkan radio mini ini pada Abe Mie. Rakan FB, dah lupa namanya. Gigih beliau datang ke hotel saya menginap di Kuala Terengganu pada awal tahun lepas untuk beri radio tersebut pada Abe Mie. Hanya Allah swt yang dapat membalasnya.

Majlis Perasmian Pusat Latihan Asnaf NGO HATI, Pulai Chondong, Kelantan

Alhamdulillah majlis perasmian Pusat Latihan Asnaf NGO HATI yang terletak di Pulai Chondong berjalan lancar dengan sokongan semua.



Agak grand majlisnya untuk sebuah NGO kampung yang para aktivisnya sendiri pun struggle dengan kehidupan terutama MekZurots. Hehehe. Itu namanya rezeki kan. Tak rancang nak rasmi hingga kapasiti sebegini. Walaubagaimanapun ianya satu approach yang baik dari pihak penaja kerana pihak kami dapat beramah mesra secara terus dengan ahli masyarakat sekitar Pulai Chondong melalui majlis ini. Dari YB, Tok Penghulu, Tok Imam, Ketua Balai Polis dan penduduk semua pakat hadir memberi sokongan. 200 tempat duduk yang disediakan penuh. Alhamdulillah. Program untuk masyarakat tanpa sokongan mereka yang memainkan peranan penting dalam masyarakat tidak akan ke mana. Kena benar dengan tagline NGO HATI iaitu "Dari HATI ke hati."


Terima kasih tidak terhingga kepada Perbadanan Kemajuan Ihtisad Negeri Kelantan (PKINK) yang menjadi proud partner NGO HATI dalam merealisasikan fasa pertama misi menaikkan ekonomi ummah khasnya asnaf di Kelantan dengan rasminya Pusat Latihan Asnaf NGO HATI di Pulai Chondong pada 31hb.Disember 2018 baru-baru melalui penganugerahan geran ubahsuai dan peralatan. Tidak lupa kepada mantan YB Pulai Chondong, Uztaz Zulkefli Mamat yang mengizinkan pihak kami menggunakan stor yang asalnya kosong tanpa mengenakan apa-apa bayaran asalkan digunakan untuk manfaat asnaf. Terima kasih.

Terima kasih Kak Lah (YB Hajah Siti Zailah - Rantau Panjang) di atas kesudian melapangkan masa merasmikan pusat latihan ini. YB Azhar Salleh (Pulai Chondong), Ketua Pegawai Eksekutif PKINK Tuan Haji Ab.Aziz, Penaung NGO HATI Dato' Wan Zawawi, ketua-ketua jabatan, pemimpin-pemimpin masyarakat dan juga pihak media yang hadir memeriahkan majlis kami.


Antara perkara yang amat membanggakan saya ialah melalui majlis ini juga dapat dilihat bagaimana beberapa NGO di Kelantan ini turut berganding bahu memberi sokongan. Aktivis-aktivis dari NGO Wargakilang, NGO Balkis dan Dapur Ramadhan turut turun padang membantu. Kita berlumba-lumba dengan gembiranya bagaikan ikan lumba-lumba di lautan tanpa memikirkan kredit dari manusia. Bersama-sama berusaha membuat kebaikan untuk masyarakat di negeri Kelantan khasnya. Kita saling melengkapi. Bangga sungguh dengan kalian. You know who you are.
Untuk kakak-kakak asnaf dari DAPUR HATI dan TEAM JAHITAN & KRAF di bawah NGO HATI juga, Zura bangga sungguh dengan kakak-kakak semua. Baru dua bulan kita beroperasi di pusat latihan comel kita, kakak-kakak semua bermula dari kosong tetapi lihatlah hasilnya, tetamu yang hadir puji hasil tangan kalian. Masih teringat gulai kawah dicicah roti, koleh kacang ditabur tahi minyak dan seri muka. Memang meletup. Produk-produk kraf juga amat membanggakan. Beberapa orang potential clients telah memborong sampel produk untuk dibawa kepada pihak pengurusan mereka. Moga ada rezeki kalian.


Dan satu lagi sikap terpuji kalian ialah kalian tidak membantah malah mengalu-alukan apabila kami mencadangkan untuk memberi peluang kepada kakak-kakak asnaf dari DAPUR RAMADHAN (sebuah inisiatif murni dikelolakan oleh aktivis Puan Zarina) untuk sama-sama memasak sebahagian dari juadah utama majlis iaitu roti jala dan mee goreng. InsyaAllah kalian boleh pergi jauh jika terus kekalkan sikap begini.
Selepas ini kami para aktivis perlu bekerja lebih keras lagi untuk mencari dana meneruskan aktiviti projek joran di Pusat Latihan Asnaf ini. Terima kasih para aktivis semua di atas kesungguhan kalian. Senang bekerjasama. Kita ibarat kepingan puzzle. Saling melengkapi tanpa banyak soal. Janji matlamat tercapai dengan cara yang betul. Berpeluang bekerja dengan Pengerusi NGO HATI sendiri, Tuan Nouzor yang mempunyai regional experience dahulunya juga antara perkara yang memudahkan urusan, same wavelength. Berdiskusi dengan beliau terasa macam dok kerja di syarikat multinasional lagi.
Kalian para pembaca saya juga, saya dan rakan-rakan aktivis masih memerlukan sokongan kalian (material dan moral) untuk memastikan kakak-kakak asnaf kita terus mendapat manfaat dari program yang diaturkan.
Terima kasih buat semua. Untuk update dari masa ke semasa tentang aktiviti di Pusat Latihan Asnaf, kalian boleh ikut FB Page: Kelab Himpunan Tenaga Ihsan HATI dan Instagram: ngohati.
Fuh! Dah macam oscar speech 😁.
Terima kasih semua.
Nota:
- Pegawai-pegawai dari PKINK, Encik Syafiq, Encik Hazwan, Encik Shariman - terima kasih di atas peluang dan kerjasama lima bintang dengan kalian. Moga ada rezeki lagi di masa hadapan. InsyaAllah.
-Kredit gambar kepada Tok Wan Balkis dan kawan-kawan. Saya tak dan ambil gambar langsung.

Tuhan Beri Apa Yang Kita Perlu Bukan Apa Yang Kita Mahu


Saya ada terbaca debate bab sekolah berasrama penuh, MRSM dan sekolah harian yang melintas di timeline saya. Saya nak share sedikit pengalaman sendiri bab ni.

Pada Januari 2016 anak saya Irsyad disahkan mengidap Sindrom Nefrotik (kebocoran protein pada buah pinggang). Pada tahun ini juga Irsyad menduduki peperiksaan UPSR. 

Dalam diam saya ada juga meletakkan harapan untuk Irsyad masuk ke sekolah berasrama kerana saya sendiri adalah produk sekolah berasrama. Saya dapat lihat banyak manfaatnya dalam membina sahsiah diri dengan tinggal di asrama sekolah terpilih. Seperkara lagi harapan saya dalam diam itu barangkali kerana anak pertama dan kedua juga tidak bersekolah di sekolah berasrama. Irfan berkeras tidak mahu mohon mana-mana sekolah berasrama selepas mendapat 7A peperiksaan PT3 kerana risaukan saya dengan keadaan kesihatan Abahnya tidak menentu. MekNa memang awal-awal lagi tak mahu ke mana-mana, dok asrama tak boleh lepas gian buat kek katanya. Saya seolah-olah mahukan hasrat saya dipenuhi oleh anak ketiga pula iaitu Irsyad.

Walaubagaimanapun semakin hari harapan saya semakin pudar. Irsyad begitu kerap keluar masuk hospital, sebanyak 6 kali pada tahun 2016 dan minima 2 minggu setiap kalinya. Irsyad banyak terlepas kelas. 2 minggu sebelum peperiksaan UPSR Irsyad masih di wad Hospital USM. Secara automatiknya saya tidak lagi meletakkan harapan. Semuanya sudah berubah. Apa yang penting ketika itu ialah kesihatan dahulu. Saya beritahu Irsyad perkara yang sama juga. Kesihatan dahulu. Saya tidak mahu Irsyad bimbang hingga menjejaskan kesihatannya.

Keputusan peperiksaan UPSR keluar. Irsyad mendapat 5A1B. Tak terkata saya. Terkejut juga. Alhamdulillah. Guru-guru juga teruja kerana Irsyad terlalu banyak ketinggalan kelas.

Irsyad kemudiannya mendapat tawaran ke Sekolah Menengah Sains Machang dan temuduga ke MRSM Besut, kedua-duanya sekolah berasrama penuh. Ianya ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Impian saya bakal menjadi nyata. Kami membuat keputusan untuk menerima tawaran ke SM Sains Machang dan persiapan dibuat. Sekolah pula 10 minit sahaja dari rumah. Saya dah siap plan, setiap hari Jumaat akan bawa bekal makanan dan berjumpa Irsyad waktu Irsyad solat Jumaat di masjid berdekatan.

Perancangan kita adalah baik, tetapi perancangan Tuhan sentiasa yang terbaik.

Beberapa hari sebelum hari melapur diri, Irsyad buat kali keenamnya pada tahun tersebut dimasukkan ke hospital lagi akibat komplikasi pada buah pinggang. Doktor Pakar Nefro menyatakan rasa bimbang jika saya teruskan dengan perancangan saya untuk masukkan Irsyad ke sekolah berasrama penuh. Diet Irsyad sukar dijaga. Antibodi Irsyad yang agak lemah akibat pengambilan steroid membuatkan risiko Irsyad mudah jatuh sakit adalah tinggi. Jadual asrama pula padat.

Saya akhirnya akur dengan nasihat doktor. Saya percaya Allah swt pasti ada aturanNya yang tersendiri yang saya tidak nampak. Redah sajalah. Irsyad saya masukkan ke sekolah pilihan bersesuaian dengan keputusannya iaitu SMK Agama Wataniah Machang yang membenarkan pelajar duduk di rumah. Boleh tahan juga jaraknya dari rumah, 20 minit memandu. Kesihatan Irsyad semakin stabil, alhamdulillah.

Pada tahun berikutnya, Ogos 2017, suami saya diserang strok buat kali kelima dan memerlukan jagaan sepenuhnya dari penjaga. Pada bulan April 2018 pula, anak sulong saya Irfan menerima tawaran belajar di Kolej Universiti Perubatan Antarabangsa Pusrawi dalam jurusan Sains Perubatan.

Fahamlah saya aturanNya.

Kini Irsyadlah antara semangat saya di rumah menggantikan abangnya yang jauh di Kuala Lumpur. Irsyad bergilir dengan kakaknya MekNa dan adiknya Si Kenit menjaga Abah mereka di rumah dan juga bergilir mengambil cuti menemani saya membawa Abah mereka ke hospital untuk temujanji doktor.

Saya tidak dapat melakukannya sendirian kerana suami saya mempunyai impak mental dan penglihatan. Nak parking kereta, nak turunkan suami dan wheelchair dari kereta, nak ambil ubat, nak ke tandas dan sebagainya saya perlukan pembantu. Anak-anaklah yang menjadi kekuatan saya. Ilmu kehidupan yang mereka kutip sekarang di rumah juga tidak kurang mahalnya untuk menjadikan mereka manusia yang menjadi, bukan ukuran akademik semata-mata.

Kadang-kadang kita terlalu merancang dan bimbang hingga lupa untuk live the present moment. InsyaAllah ada manisnya setiap kejadian jika dipandang dengan penuh hikmah. Jika negatif sahaja yang kita cari, negatif jugalah yang kita temui.

Tuhan beri apa yang kita perlu bukan apa yang kita mahu.

MekZurots
www.mekzurots.com
#redahsajaallahada