Sunday, July 24, 2016

Strok ke 3 - Hospital Kuala Krai

24 Julai, 2016

Kelihatan seorang wanita muda lesu di luar wad sambil merenung jauh. Kami berbalas senyuman dan bersalaman. Saya melangkah pergi, kemudiannya bertukar fikiran dan berpatah balik untuk memeluk beliau. Menangis teresak-esak beliau di bahu saya. Saya biarkan sahaja kerana saya tahu sememangnya itu yang amat diperlukan oleh beliau ketika itu.

"Kak, saya tak sanggup nak duduk lama-lama di dalam kak. Suami saya asyik mengamuk sahaja kak. Saya malu. Saya gagahkan sahaja kak mengenangkan saya ini isteri."

"Kak doakan adik ya, InsyaAllah semuanya akan baik-baik sahaja."

Saya, suami dan rakan-rakan lain di dalam wad memang amat kasihankan wanita muda ini, cantik orangnya.  Cukup sabar. Suaminya, Allahurobbi, seumur hidup saya belum pernah berjumpa orang sakit yang tahap kepala anginnya seperti ini. Suka hati dan sedap mulut sahaja dihamburkan kata-kata pedas kepada isteri, nurse dan doktor. Saya ini sampai satu ketika seperti mahu sahaja pura-pura terlanggar tiang yang menggantung air dan ubat beliau. Biar padan muka meraung kesakitan. Berangan saja...hehehe. Gerammm sungguh.

Kasihan suami saya yang baru sedar dan dipindahkan dari ICU ke wad biasa tetapi berjodoh pula dengan manusia api sebegini sebagai rakan satu wad. Siang malam pagi petang marah sahaja kerjanya.
"Tak penat ka dia?"
Hah! Suami saya yang 3 hari 'tidur' di ICU pun boleh bertanya soalan sedemikian.

Ingatan untuk kita, apabila sakit, walau tahap angin kita bersamaan kuasa berapapun, bawalah bersabar, banyak beristighfar. Penjaga juga letih dan sakit tubuh badan berkorban masa serta tenaga dengan makan, tidur juga rehat yang tidak menentu. Mereka memerlukan sokongan emosi sebagaimana juga pesakit.

Saya angkat topi, bagaimanalah nurse dan doktor masih mampu mengukir senyuman dan tetap profesional walau berurusan dengan pesakit tak betul stesen sebegini.

Tahniah buat Hospital Kuala Krai!
Khasnya buat barisan doktor dan nurse wad paediatrik. Dr. Fadhilah dan team - saya sangat kagum dengan cara kalian bekerja di bawah environment yang penuh tekanan. Keadaan wad Nuri yang sesak memang menduga kesabaran sesiapa sahaja. Tetapi kalian tetap cool. Begitu juga para staf ICU dari doktor hingg ke pak guard, anda hebat. Tidak lupa barisan doktor serta nurse wad Rajawali yang sangat friendly, terima kasih.

Saya terkesima, seolah-olah berada dalam sekuel drama tv 'Emergency Room'. Sekejap katil dipusing ke sana ke sini, janji ada ruang untuk pesakit yang rata-ratanya rakyat marhaen. Biar ada sejuta macam kerenah, kalian pejam mata dan pekakkan telinga sahaja. Saya sendiri belum tentu mampu hadapi semua ini. 

Bukan itu sahaja, Dr.Fadhilah bantu uruskan agar anakanda saya Irsyad diberi prioriti berpindah ke wad kelas ke 2 apabila mengetahui suami saya pula dimasukkan ke ICU. Lebih selesa untuk saya menunggu Irsyad katanya. Dapatlah juga menjadi port melepas lelah buat saya kerana wad ICU waris tidak boleh menunggu kecuali waktu melawat. Jika tidak merayaulah saya di sekitar hospital dalam kerisauan menunggu berita suami. Benar cakap Irsyad, "Allah susun semua ni cantik sangat ibu. Kami ada kat sini, dapat juga teman ibu."
Terima kasih anakku!
Benar, ibu memang memerlukannya.

Kalian juga para doktor dan jururawat yang merawat Irsyad menunjukkan sokongan dengan melawat suami saya di wad ICU. Tidak jemu bertanya khabar di wad. Hebatnya kalian. Bekerja dalam adab. 

Terima kasih semua!

Tak lupa pada yang bersusah payah datang menziarah dan mengirimkan doa. Ianya sungguh bermakna buat kami sekeluarga serta membantu proses kesembuhan suami. Doktor juga ada berkata progress suami cepat dan unik memandangkan ini kali ke 3 beliau diserang stroke. Ini semua berkat doa dan keajaiban doa yang dikirim kalian, direstui olehNya.

Alhamdulillah.

Terima kasih Allah, Ya Rahman, Ya Rahim.

Azura Abdullah
Abe Mie Mohd Hadzrami sudah berada di rumah, discharged semalam dari hospital

#telegramdarilangit
#hospitalkualakrai

Do Good, Good Will Come To You


Sorang lagi di hadapan saya. Leganya.
Beratur nak ambil barang di pos laju. Buka beg duit, Allahu! Ke mana pula kad pengenalan? Lesen pun tidak ada.
:'(

2 minggu berulang alik dari Machang ke Hospital Kuala Krai, saya sudah seperti zombi.
Macam robot pun ada. Fikiran melayang.
Syukur mak dan abah yang dikasihi datang dari Kedah sebagai penyelamat bumi, jika tidak entahlah...

Haih! Kena selesaikan juga secepat mungkin. Mak dan abah sudah mahu pulang ke Kulim pada hari Sabtu @ esok malam. Sudah jenuh mencari dan menelefon sana sini kalau-kalau ada yang menjumpai kad pengenalan dan lesen kereta saya.
Kecewa, tiada.

Keesokan harinya saya keluar dari rumah lebih kurang jam 11.00 pagi untuk ke Balai Polis buat laporan kehilangan, ke Jabatan Pendaftaran Negera untuk buat kad pengenalan dan ke Jabatan Pengangkutan Jalan untuk buat lesen kereta yang baru. Jangkaan saya semua ini akan mengambil masa sehari. Mujurlah mak dan abah masih ada di sini. Boleh tunggu suami yang masih dalam proses recovery dari stroke di rumah.

Sukanya saya. Abang polis namanya Adam di Balai Polis Pulai Chondong orang Kedah rupanya, jumpa orang kampung, kerja jadi mudah. Tidak sampai 10 minit selesai repot polis kehilangan kad pengenalan dan lesen saya.

Bergegas pula ke Jabatan Pendaftaran Negara.  Mudahnya. 10 minit selesai. Saya lihat orang ramai, penuh. Tetapi tak tahu kenapa terus giliran saya, tak perlu menunggu pun, tak sempat duduk pun. Selepas sejam saya hanya perlu datang ambil kad pengenalan yang sudah siap.

"Lesen hilang tak Puan? Kalau hilang saya beri kad pengenalan sementara, Puan boleh ke JPN dulu buat lesen sementara tunggu kad pengenalan siap."

Allahu. Sukanya. Mudahnya. Walaupun saya tak tanya, staf JPN Machang sangat friendly dan memudahkan. Saya baru terfikir rugi masa 1 jam kerana perlu tunggu kad pengenalan siap. Risau suami di rumah lagi.

Sampai di Jabatan Pengangkutan Jalan Machang saya hampir putus asa. Ada majlis sambutan hari raya pula. Kaunter hanya dibuka 2 sahaja. Tak apalah...saya cuba pujuk hati.

Lebih kurang 5 orang lagi giliran saya, datang seorang ibu dengan anaknya yang kurang sihat (saya lihat anaknya berhingus tetapi tidak banyak kerenah) duduk di sebelah saya. Orang Kok Lanas. Nombor saya 1178 dan beliau 2022. Memang lamalah lagi giliran beliau.

"Kak, boleh tolong bayar roadtax motor saya kak. Lambat lagi giliran saya."

Allahu Allah.
Apa lagi ini ya Allah?
Saya dengan emosi kusut tidak bersedia sebenarnya untuk membantu, saya sendiri mahu cepat.

Saya anggukkan sahaja, dalam masa yang sama saya mencari akal untuk melepaskan diri
Saya ke bilik air. Baru sahaja melangkah beberapa tapak saya berpatah balik dan menuju ke arah ibu muda tadi.

"Mari sini dokumen moto adik."

Selang beberapa minit nombor saya dipanggil. Mudah sahaja rupanya bayar roadtax motor...hehehe. Saya mana tahu. Dulu adik saya Acik pernah bawa saya naik motor, waktu nak terbalik di tebing Acik lepaskan motor dan lompat. Saya la dapat hadiah menawan jatuh motor. Sejak itu takmo dah naik motor, kononlah.

Sekali lagi saya tidak sempat duduk pun, nama saya dipanggil untuk ambil gambar dan 3 minit kemudian lesen siap. Walhal ramai lagi menunggu sebelum itu. 

Allah swt gerakkan hati semua orang untuk memudahkan urusan saya pada hari itu, 11 pagi - 12.30 tengahari semuanya selesai. Tetapi saya... :'(
Dan saya paling malu pada Allah swt, setelah ditolongNya saya, dipermudahkan urusan saya semenjak pagi lagi, saya masih cuba melarikan diri dari membantu ibu muda tadi atas alasan mahu cepat.

Begitulah manusia khasnya saya, apabila agak selesa, mudah lupa.

Azura Abdullah
"Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, jika ada sedikit kebaikan yang pernah kami suami isteri lakukan, sembuhkanlah suamiku dengan kesembuhan yang tidak berbekas ya Allah."

Solat hajat di rumah saya sebentar lagi @ selepas Isya untuk suami dan anakanda Irsyad, sudah sedia semenjak petang tadi. Moga cuaca baik untuk kami ya Allah.

#telegramdarilangit