Sorang lagi di hadapan saya. Leganya.
Beratur nak ambil barang di pos laju. Buka beg duit, Allahu! Ke mana pula kad pengenalan? Lesen pun tidak ada.
:'(
2 minggu berulang alik dari Machang ke Hospital Kuala Krai, saya sudah seperti zombi.
Macam robot pun ada. Fikiran melayang.
Syukur mak dan abah yang dikasihi datang dari Kedah sebagai penyelamat bumi, jika tidak entahlah...
Haih! Kena selesaikan juga secepat mungkin. Mak dan abah sudah mahu pulang ke Kulim pada hari Sabtu @ esok malam. Sudah jenuh mencari dan menelefon sana sini kalau-kalau ada yang menjumpai kad pengenalan dan lesen kereta saya.
Kecewa, tiada.
Keesokan harinya saya keluar dari rumah lebih kurang jam 11.00 pagi untuk ke Balai Polis buat laporan kehilangan, ke Jabatan Pendaftaran Negera untuk buat kad pengenalan dan ke Jabatan Pengangkutan Jalan untuk buat lesen kereta yang baru. Jangkaan saya semua ini akan mengambil masa sehari. Mujurlah mak dan abah masih ada di sini. Boleh tunggu suami yang masih dalam proses recovery dari stroke di rumah.
Sukanya saya. Abang polis namanya Adam di Balai Polis Pulai Chondong orang Kedah rupanya, jumpa orang kampung, kerja jadi mudah. Tidak sampai 10 minit selesai repot polis kehilangan kad pengenalan dan lesen saya.
Bergegas pula ke Jabatan Pendaftaran Negara. Mudahnya. 10 minit selesai. Saya lihat orang ramai, penuh. Tetapi tak tahu kenapa terus giliran saya, tak perlu menunggu pun, tak sempat duduk pun. Selepas sejam saya hanya perlu datang ambil kad pengenalan yang sudah siap.
"Lesen hilang tak Puan? Kalau hilang saya beri kad pengenalan sementara, Puan boleh ke JPN dulu buat lesen sementara tunggu kad pengenalan siap."
Allahu. Sukanya. Mudahnya. Walaupun saya tak tanya, staf JPN Machang sangat friendly dan memudahkan. Saya baru terfikir rugi masa 1 jam kerana perlu tunggu kad pengenalan siap. Risau suami di rumah lagi.
Sampai di Jabatan Pengangkutan Jalan Machang saya hampir putus asa. Ada majlis sambutan hari raya pula. Kaunter hanya dibuka 2 sahaja. Tak apalah...saya cuba pujuk hati.
Lebih kurang 5 orang lagi giliran saya, datang seorang ibu dengan anaknya yang kurang sihat (saya lihat anaknya berhingus tetapi tidak banyak kerenah) duduk di sebelah saya. Orang Kok Lanas. Nombor saya 1178 dan beliau 2022. Memang lamalah lagi giliran beliau.
"Kak, boleh tolong bayar roadtax motor saya kak. Lambat lagi giliran saya."
Allahu Allah.
Apa lagi ini ya Allah?
Saya dengan emosi kusut tidak bersedia sebenarnya untuk membantu, saya sendiri mahu cepat.
Saya anggukkan sahaja, dalam masa yang sama saya mencari akal untuk melepaskan diri
Saya ke bilik air. Baru sahaja melangkah beberapa tapak saya berpatah balik dan menuju ke arah ibu muda tadi.
"Mari sini dokumen moto adik."
Selang beberapa minit nombor saya dipanggil. Mudah sahaja rupanya bayar roadtax motor...hehehe. Saya mana tahu. Dulu adik saya Acik pernah bawa saya naik motor, waktu nak terbalik di tebing Acik lepaskan motor dan lompat. Saya la dapat hadiah menawan jatuh motor. Sejak itu takmo dah naik motor, kononlah.
Sekali lagi saya tidak sempat duduk pun, nama saya dipanggil untuk ambil gambar dan 3 minit kemudian lesen siap. Walhal ramai lagi menunggu sebelum itu.
Allah swt gerakkan hati semua orang untuk memudahkan urusan saya pada hari itu, 11 pagi - 12.30 tengahari semuanya selesai. Tetapi saya... :'(
Dan saya paling malu pada Allah swt, setelah ditolongNya saya, dipermudahkan urusan saya semenjak pagi lagi, saya masih cuba melarikan diri dari membantu ibu muda tadi atas alasan mahu cepat.
Begitulah manusia khasnya saya, apabila agak selesa, mudah lupa.
Azura Abdullah
"Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, jika ada sedikit kebaikan yang pernah kami suami isteri lakukan, sembuhkanlah suamiku dengan kesembuhan yang tidak berbekas ya Allah."
Solat hajat di rumah saya sebentar lagi @ selepas Isya untuk suami dan anakanda Irsyad, sudah sedia semenjak petang tadi. Moga cuaca baik untuk kami ya Allah.
#telegramdarilangit