Wednesday, January 30, 2019

1204, Saya Boleh Kahwin Empat


Pagi tadi ada temujanji Abe Mie dengan Pakar Mata. Ramai betul orang. Sampai di Hospital Universiti Sains Malaysia jam 8.30am. Pusing 3 kali tak dapat juga parkir. Mujurlah MekNa teman saya hari ni dan Cikgu kelas amat memahami beri pelepasan. Saya turunkan MekNa dan Abahnya dahulu di lobi, kemudiannya saya parkir di luar kawasan hospital. Boleh tahan jauh juga.

Jam 11.00am giliran Abe Mie belum sampai. Abe Mie sudah mula menunjukkan tanda-tanda gelisah. Tak henti-henti bertanya bila akan tiba giliran beliau.

"Azizi Bin Abdullah, sila masuk bilik 14," kedengaran suara jururawat membuat pengumuman di corong pembesar suara.

"Saya Hadzrami Bin Abdullah. Bakpo Azizi Azizi nyo." Abe Mie menyahut dengan kuat. Tantrum manja sudah masuk gear 1. MekZurots dah mula risau.

"1204, bilik 1. 1204, bilik 1. 1204 bilik 1." Nombor giliran seterusnya dipanggil.

"Satu dua kosong empat. Saya boleh kawin empat."

Adui! Kemain kuat pantun 2 kerat Abe Mie lontarkan. Pesakit dan penjaga yang berada berdekatan kami yang majoritinya fokus dengan handphone akhirnya pakat gelak berjemaah.

"Hilang ingatan lagu mana pun ore jate ni...hok 4 tu tok hilang deh," seorang Makcik comel mengusik saya. Sungguh aih Mokcik 😁.

MekNa cuit saya minta saya beritahu jururawat bertugas supaya dahulukan Abe Mie berjumpa doktor. Takut keluar pantun 18 kerat pulak. Haru jadinya. Lega! Kakak Misi benarkan. Alhamdulillah, Allah swt permudahkan urusan hari ni.

One two three
Tak sabaqnya nak cuti

MekZurots
Gambaq tu MekZurots dok train Abe Mie tolak troli di Giant Tunjong. Kemain suka dia.

Monday, January 28, 2019

When It Rain, Look For Rainbows. When Its Dark, Look For Stars.

Anak-anak dah lulllus bubuh angin kereta. Terima kasih ringankan kerja ibu.

Dua minggu lepas sewaktu dalam perjalanan pulang dari membeli barang kiriman sedekah kalian di Rantau Panjang, anak-anak berbual sesama mereka di dalam kereta. Mengimbau tempat-tempat percutian yang menjadi kegemaran Abah mereka. Antaranya Cameron Highland. Sudah hampir 2 tahun kami tidak ke Cameron Highland sejak suami sakit. Sebelum suami sakit, kerap juga kami sampai. Dari Pulai Chondong mengambil masa 3 jam 45 minit memandu. Spot wajib dan makanan kegemaran suami di tanah tinggi tersebut ialah nasi lemak pedas berapi di Medan Selera Tanah Rata, menikmati durian kampung di tepi jalan dan air kelapa laut, nasi beriani buluh, teh tarik strawberry, cendawan goreng dan strawberi coklat. Anak-anak berangan nak ke sana dalam masa terdekat.

Pada sebelah malamnya saya lihat Abe Mie mula mengemas baju beliau dan dimasukkan ke dalam beg. Saya bertanya beliau mahu ke mana mengemas baju. Jawabnya dengan ceria mahu ke Cameron Highland esoknya. Alahai! Rupanya beliau memasang telinga dan fokus kepada perbualan anak-anak tadi. Tidak sampai hati pula saya mahu memberitahu beliau yang kami hanya berbual-bual kosong mengimbau kenangan lama dan bajet pun satu hal juga. Dalam keadaan sekarang saya perlu jaga betul-betul kewangan keluarga. Tidak boleh main belasah saja. Apatah lagi kapasiti masa saya untuk bekerja juga amat terhad. Saya hanya beritahu suami kita akan pergi satu hari nanti tetapi bukan esoknya. Ada riak kecewa di wajah beliau.

Perkarangan Hotel

Lobi hotel yang luas.

Dan hari ini ketika saya menulis catatan ini, kami sudah berada Cameron Highland. Sahabat suami menghadiahkan percutian untuk kami sekeluarga di sini. Beliau mahu buat sesuatu yang menggembirakan sahabatnya dan kata beliau lagi mana tahu ikhtiar ini pemangkin kepada kesembuhan suami. Puas saya menolak tetapi kata sahabat tersebut beliau akan menghantui saya dengan soalan yang sama sampai saya terima hadiah beliau. Beliau hanya mahu sampaikan rezeki suami yang Allah swt kirimkan melaluinya. Sampai begitu sekali prihatinnya kalian sekeluarga pada kami 😢. Hanya Allah swt yang mampu membalas budi baik kalian sekeluarga. Entah apa yang kami lakukan untuk menerima layanan sebegini dari kalian yang kami kenal secara realiti dan juga hanya melalui alam maya sahaja. Moga Allah swt rahmati kalian dan murahkan rezeki kalian sentiasa.

Kami dibenarkan parking di hadapan hotell ruang OKU. Lega sangat.

Bilik yang luas. Muat untuk lalluan kerusi roda.


Kami menginap di Hotel Copthorne, Brinchang. Dulunya Hotel Equatorial. Bilik kami menginap mempunyai 3 single bed dan luas. Boleh hampar sehelai toto lagi di hujungnya serta selesa untuk solat. Kerusi roda pun muat untuk pergi mari di dalam bilik. Parkir - alhamdulillah, pihak hotel sangat prihatin dan benarkan saya parkir di lobi sahaja, tak perlu ke basement. Dan paling penting ada lift yang beroperasi dengan baik. Dengan keadaan suami yang uzur, kemudahan lift amat penting. Saya dapat bilik ini pada harga istimewa untuk pengguna Genius Traveller aplikasi Booking.com. Harga asal bilik RM395.00 dan kami mendapat potongan harga bilik menjadi RM233.00 sahaja untuk satu malam. Hotel ini berdekatan dengan Kea Farm dan Taman Strawberry (walking distance). Terdapat shopping mall kecil di luar hotel. Servis penghataran makanan ke bilik juga disediakan hingga 11.00 malam. Bagi yang membawa pesakit seperti saya, perkhidmatan ini sangat membantu kita melayan kerenah pesakit yang selalu lapar di tengah malam. Mee goreng sepinggan RM24.00 tetapi servingnya besar, boleh makan 3 orang.

Balkoni bilik waktu check-in.


Balkoni bilik selepas subuh.


Nasi Beriani Buluh. Sedap dan harga berbaloi. RM14.90 satu set nasi + kambing l+ telur sebiji + dalca + air.

Kea Farm. Berdebar juga, risau Abe Mie tantrum. Alhamdulillah baikl-baik saja.




Abe Mie dah letih berjalan di pasar malam. berhenti duduk dulu.

Abang stroke survivor berllniaga barang kraf.

Sewaktu berjalan di pasar malam, ada seorang kakak yang menjaga gerai barang karaftangan menegur saya. Teruja melihat saya dan anak-anak sabar menyantuni suami yang berjalan sekejap duduk, berjalan sekejap duduk katanya. Kami bawa kerusi comel yang boleh dilipat untuk kegunaan Abe Mie jika beliau keletihan. Untuk menggunakan wheelchair menyusuri pasar malam memang agak mustahil dengan keadaan tanah yang tidak rata akan menyukarkan pergerakan. Abe Mie sendiri tidak mahu menggunakan wheelchair. Kakak tersebut akhirnya buka cerita bahawa suaminya juga seorang pesakit strok. 2 kali diserang strok, hilang upaya percakapan dan lumpuh sebelah badan. Kini suaminya sudah semakin pulih. Sayu rasa hati melihat kegigihan pasangan suami isteri ini sama-sama berganding bahu mencari rezeki dalam keuzuran. Suami beliau melukis di atas keychain dan lain-lain barang kraf sebagai kaedah terapi pemulihan selain dari mencari rezeki. Inspirasi.


Gayat ler tu...

Suka Abe Mie dapat tunai hajat nak makan durian kampung Cameron.

RM20 sekilo off-peak season

Kami di sini waktu pilihanraya kecil. Meriah.


Abe Mie happy sungguh dapat datang ke sini. Ceria sahaja. Dalam perjalanan pulang kami singgah di Cameron Bharat untuk menikmati teh dan merasai pengalaman menyusuri ladang teh dengan pakej 4x4 Safari Tour - Cameron Bharat Tea Farm. Cuak juga saya pada mulanya. Abe Mie belum pernah saya bawa untuk aktiviti lasak sejak beliau sakit. Tetapi semangat yang beliau tunjukkan sungguh buat saya terharu. Gigih beliau berusaha memanjat tangga kenderaan pacuan 4 roda tersebut kerana tidak mahu kami mengangkat beliau naik. InsyaAllah Abe. You will make it one day.
"Thank you all." Tiba-tiba Abe Mie memecah suasana di dalam kereta. Isyraf cakap comeynya Abah kata lagu tu.
"Thank you jugak dekat Abah sebab kuat semangat," balas MekNa. Abe Mie senyum meleret.


Alhamdulillah. Sebuah percutian pendek yang amat bermakna buat kami sekeluarga. Satu percubaan membawa Abe Mie ke tempat yang tidak begitu 'wheelchair friendly' yang berjaya. Anak-anak juga sangat gembira setelah sekian lama tidak bercuti di tempat yang mempunyai crowd yang besar serta terbuka sebegini kerana saya mengambil kira keadaan Abe Mie yang kerap tantrum sebelum ini. Perlahan-lahan kami anak-beranak dapat belajar memahami beliau dan cara mengawalnya.
Terima kasih sahabat yang menghadiahkan percutian ini. Hanya Tuhan yang menjadi saksi betapa bermanfaatnya hadiah yang dirasakan kecil ini. Juga buat kalian rakan pembaca yang tidak jemu mengirim serum semangat buat saya dan anak-anak. Allah swt jualah yang dapat membalas kemurnian hati kalian.
When it rain, look for rainbows.
When its dark, look for stars.
Mek Zurots