Monday, February 4, 2019

Ferris Wheel & Doa


Si Kenit nak sangat ke ekspo di Kok Lanas. Nak naik 'merry go round' dan 'ferris wheel' macam Abah dok bawa dulu katanya. Ada nada rindu di situ.

Haih! Fikir 10 kali ibu. Nak menyusuri crowd dan laluan antara gerai yang sempit. Oklah, kita pergi lewat sikit, 1 hour sebelum tutup.

Lega, dah tak begitu ramai orang. Tercapai hajat Si Kenit. Abe Mie juga sangat happy, macam-macam cerita lama tentang ekspo, tentang 'eyes on Malaysia' di Melaka keluar dari mulutnya. Cerita yang ada storyline. Selalunya kelam-kabut, sekejap A sekejap C, sekejap Z. Alhamdulillah.

Seperti biasa, kerusi ajaib @ kerusi lipat memancing wajib dibawa untuk Abe Mie yang cepat letih. Wheelchair memang tak boleh diguna untuk menyusuri ekspo ni, jalan berbatu dan tidak rata serta sempit. MekNa belikan selipar baru untuk Abah. Parking kerusi di luar gerai dan bawa selipar keluar untuk Abah cuba. Pemilik gerai juga sangat memahami. Terima kasih bang! Moga murah rezeki berniaga di sini di malam-malam seterusnya.

Bila diingatkan kembali bagaikan mimpi pencapaian dan progress Abe Mie sekarang. 19 Ogos, 2017 (sehari sebelum hari lahir beliau) beliau terlantar dan tersadai teruk. Perlukan bantuan sepenuhnya untuk menguruskan diri. Nak angkat kepala sendiri pun tak mampu. Minum air dan makan bubur guna straw - saya titikkan ke dalam mulut ketika itu.

Tiga bulan selepas itu beliau boleh duduk di atas wheelchair. Antara trip paling gigih saya pernah bawa Abe Mie ialah ke Tasik Kenyir, usung beliau naik bot. Kami sekeluarga pernah bermalam di Tasik Kenyir selama 3 hari 2 malam memancing di atas rumah bot ketika beliau sihat. Sedaya mungkin saya cuba bawa beliau ke tempat favourite beliau dan lakukan aktiviti kegemaran beliau.

Moga dengan sedikit usaha saya, anak-anak serta doa kalian dan dengan izin Allah swt dikembalikan pula kesihatan mental dan ingatan Abe Mie satu hari nanti. InsyaAllah.

Saturday, February 2, 2019

Just Do Good

Wish you understand every little bit

Tugas hakiki kita ialah membuat kebaikan tidak kira apa pun keadaan dan sikap orang sekeliling terhadap kita. Apabila kita mula menghitung dan membandingkan diri kita dan orang lain, di waktu itu jugalah kita mula kehilangan ketenangan dan keikhlasan.

I know you both missing Abah a lot.



Abah must be proud of you both.





Look at your angels Abe, they miss you a lot. Our prayers to Allah swt to have you back with us the soonest.
Isyraf dapat ikan kejap tadi. "Kan best kalau abah faham. Mesti abah bangga dengan kami."
Untuk kalian yang masih ada pasangan, jangan jemu untuk berkarya dalam perkahwinan. Setiap detik jangan dibazir.
Bahagia perlu dicipta, ianya tidak akan datang percuma.
Moga ada rezeki Allah swt kembalikannya kepada saya.

The Greatest Planner

Letih melawan arus kemampuan fizikal manusia (anak di wad, suami di rumah yang sakit, ayah mertua yang uzur) terubat semalam. Si Kenit terima Anugerah Pelajar Cemerlang untuk 2 matapelajaran. Allah swt sentiasa kirim perkara manis di celah ujian. Allah swt kirim di waktu yang tepat, bukan mengikut apa yang kita mahu. The Greatest Planner.


Secara keseluruhan keputusan peperiksaan Si Kenit merosot sedikit. Kenit ada bertanya saya adakah saya kecewa. Saya beritahu Kenit, "DOING your best is more important than BEING the best." Saya beritahu Kenit, awal-awal lagi beliau sudah buat saya bangga kerana tawarkan diri untuk temankan saya ke HUSM setiap kali Abahnya ada temujanji doktor dan tak jemu bantu jaga Abah walau padat dengan jadual sekolah. Sebagaimana saya pernah kongsikan sebelum ini, saya tak dapat uruskan suami saya sendirian setiap kali temujanji doktor kerana suami saya ada masalah mental dan penglihatan selain fizikal yang masih belum pulih sepenuhnya. Saya tak dapat turunkan beliau dahulu di lobi sepertimana orang lain ketika saya cari parkir. Saya tak boleh tinggalkan beliau sendirian ketika saya beratur mengambil ubat dan ke tandas atau membeli makanan. Keadaan beliau tidak mengizinkan.

Makto datang support

Selain itu terpegun juga saya dengan keberanian dan jiwa besar anak kecil Si Kenit ini. Dengan selamba beritahu Cikgu kelasnya yang dia akan ponteng sekolah untuk bantu Ibu ke hospital bawa Abah. Saya dulu pada usia Kenit, apalah yang saya tahu, nak jumpa Cikgu untuk minta izin untuk pergi toilet pun takut. Kata Kenit biarlah dia dan Irsyad berkorban dahulu tahun ini kerana MekNa ada exam penting. Irfan pula jauh di KL. Selalunya Kenit akan jumpa Cikgu untuk ambil tahu hal homework upfront atau bertanya kawan-kawan dalam group whatsapp kelas.


Kenit ada berbisik pada saya sewaktu mengambil gambar, "Kalau Abah sihat dan faham mesti Abah seronokkan Ibu." Takpalah Adik, bersabarlah. InsyaAllah akan tiba harinya jika diizinkan Allah swt. Jika tiada peluang di dunia, moga kita ada peluang bertemu Abah yang sihat di syurga.


Allah swt ganti kesedihan dengan kemanisan Mak saya dapat hadir pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang kali ini. Terubat kesedihan Isyraf apabila melihat saya dan MakToknya ada di barisan tempat duduk ibubapa. Saya tak beritahu Kenit awal. Jelas terpancar kegembiraan, senyum meleret sepanjang majlis.


Tahniah Adik! 

Ibu sentiasa bangga dengan Adik. Keputusan peperiksaan bukan alat pengukur mutlak Ibu buat anak-anak Ibu menjadi manusia yang benar-benar menjadi.

Terima kasih buat semua juga di atas doa kalian buat kami sekeluarga. Di celah ksemputan saya dengan pelbagai rutin, Allah swt kirim banyak sekali perkara-perkara manis sebagai ubatnya. Alhamdulillah.


Friday, February 1, 2019

What You Give Is What You Get


"Ibu, Ibu bagitau kat Irsyad dan Adik nah, setiap kali depa naik motor tu Abah dok naik dengan depa. I know they missed Abah a lot."

Irfan tinggalkan pesanan apabila saya ceritakan yang dua beradik tersebut gigih menarik motor lama Abah mereka dari stor arwah ayah. Motor Honda C70 tersebut yang sudah 20 tahun lebih tersadai berjaya dibaiki oleh anak jiran yang baik hati dan dihidupkan. Melompat Irsyad dan Isyraf suka. Beria-ia menarik tangan Abah mereka dan membantu untuk naik duduk di atas motorsikal. Rindu nak naik motorsikal pusing kampung dengan Abah macam dulu-dulu kata Si Kenit Isyraf. Kalaulah Abah sihat dan faham, Abah pasti akan bangga dengan kalian.

"Ibu, hari ni orang pi tengok wayang. Orang tengok cerita How To Train Your Dragon."

"Teringat yang kita pi tengok ramai-ramai dengan Abah. Cerita tu la last kita tengok sekali."

Antara perbualan dengan anakanda Irfan yang belajar di KL semalam. Ada nada rindu yang mendalam. Ibu pun sama. Apatah lagi insan yang dirindu, Abah kalian ada di depan mata setiap masa, tetapi tidak lagi dapat berkongsi rasa dan tanggungjawab dengan Ibu. Berdua tetapi sendiri.

Tetapi rindu itu sangat positif. Rindu anak-anak Ibu dan Ibu sendiri pada Abah tanda Abah kalian telah berjaya lekat di hati kita dengan segala kebaikan yang ada padanya. Biasanya orang rindu yang mendalam hanya setelah insan itu dijemput ke negara abadi. Abah kalian masih di sini tetapi amat dirindui.

Bukan setakat rasa rindu dan kasih yang Allah swt beri, dijadikan kita sekeluarga juga amat 'protective' dengan Abah kalian. Kita amat terkesan jika ada insan-insan yang kurang sabar dan kurang adab bertindak tidak wajar dengan Abah kalian di atas kekurangan beliau. Indahnya rasa yang Allah swt beri pada kita dan mereka yang banyak beri sokongan ke atas Abah kalian. Pesakit yang mempunyai impak mental biasanya akan berakhir di jalanan atau terkurung di rumah sendiri. Tetapi Abah kalian disantuni dengan kasih dan rindu. Malahan pesakit yang tidak mempunyai impak mental pun kebiasaannya mengundang perbalahan di dalam keluarga, masing-masing mencari hujah siapa yang lebih patut menjaga. Moga Allah swt lindungi kami sekeluarga dan kekalkan rasa yang indah ini buat Abe Mie dan sesama kita, juga buat rakan pembaca saya.

Ibrahnya dari semua ini ialah satu perkataan keramat yang menjadi pegangan Abah kalian wahai anak-anakku iaitu KEBAIKAN. CARI KEBAIKAN dan BUAT KEBAIKAN setiap masa walau dengan sesiapa sahaja, tidak kira umur, bangsa dan pangkat. Juga USAH MERASA DIRI LEBIH BAIK dari orang lain.

Waktu usia anak-anak rebung, manfaatkan sepenuhnya untuk menunaikan tanggungjawab kita mendidik mengikut landasan agama. Bukan masa dikerah sepenuhnya mencari duit atas alasan tanggungjawab hingga masa untuk anak-anak tiada. Masa itulah yang akan memupuk rasa rindu, kasih dan berbagai rasa yang indah dari anak-anak buat kita nanti.

What you give is what you get.

Didoakan ada manfaatnya.

MekZurots
Menekan keyboard ketika menunggu Irsyad dan Irsyraf menunaikan solat Jumaat. Moga ada rezeki untuk anak-anak kembali bersolat Jumaat di masjid bersama Abe Mie.
Gambar: anak-anak sibuk mencuci motorsikal lama Abah mereka. Nak surprisekan Abah katanya.