24 Julai, 2016
Kelihatan seorang wanita muda lesu di luar wad sambil merenung jauh. Kami berbalas senyuman dan bersalaman. Saya melangkah pergi, kemudiannya bertukar fikiran dan berpatah balik untuk memeluk beliau. Menangis teresak-esak beliau di bahu saya. Saya biarkan sahaja kerana saya tahu sememangnya itu yang amat diperlukan oleh beliau ketika itu.
"Kak, saya tak sanggup nak duduk lama-lama di dalam kak. Suami saya asyik mengamuk sahaja kak. Saya malu. Saya gagahkan sahaja kak mengenangkan saya ini isteri."
"Kak doakan adik ya, InsyaAllah semuanya akan baik-baik sahaja."
Saya, suami dan rakan-rakan lain di dalam wad memang amat kasihankan wanita muda ini, cantik orangnya. Cukup sabar. Suaminya, Allahurobbi, seumur hidup saya belum pernah berjumpa orang sakit yang tahap kepala anginnya seperti ini. Suka hati dan sedap mulut sahaja dihamburkan kata-kata pedas kepada isteri, nurse dan doktor. Saya ini sampai satu ketika seperti mahu sahaja pura-pura terlanggar tiang yang menggantung air dan ubat beliau. Biar padan muka meraung kesakitan. Berangan saja...hehehe. Gerammm sungguh.
Kasihan suami saya yang baru sedar dan dipindahkan dari ICU ke wad biasa tetapi berjodoh pula dengan manusia api sebegini sebagai rakan satu wad. Siang malam pagi petang marah sahaja kerjanya.
"Tak penat ka dia?"
Hah! Suami saya yang 3 hari 'tidur' di ICU pun boleh bertanya soalan sedemikian.
Ingatan untuk kita, apabila sakit, walau tahap angin kita bersamaan kuasa berapapun, bawalah bersabar, banyak beristighfar. Penjaga juga letih dan sakit tubuh badan berkorban masa serta tenaga dengan makan, tidur juga rehat yang tidak menentu. Mereka memerlukan sokongan emosi sebagaimana juga pesakit.
Saya angkat topi, bagaimanalah nurse dan doktor masih mampu mengukir senyuman dan tetap profesional walau berurusan dengan pesakit tak betul stesen sebegini.
Tahniah buat Hospital Kuala Krai!
Khasnya buat barisan doktor dan nurse wad paediatrik. Dr. Fadhilah dan team - saya sangat kagum dengan cara kalian bekerja di bawah environment yang penuh tekanan. Keadaan wad Nuri yang sesak memang menduga kesabaran sesiapa sahaja. Tetapi kalian tetap cool. Begitu juga para staf ICU dari doktor hingg ke pak guard, anda hebat. Tidak lupa barisan doktor serta nurse wad Rajawali yang sangat friendly, terima kasih.
Saya terkesima, seolah-olah berada dalam sekuel drama tv 'Emergency Room'. Sekejap katil dipusing ke sana ke sini, janji ada ruang untuk pesakit yang rata-ratanya rakyat marhaen. Biar ada sejuta macam kerenah, kalian pejam mata dan pekakkan telinga sahaja. Saya sendiri belum tentu mampu hadapi semua ini.
Bukan itu sahaja, Dr.Fadhilah bantu uruskan agar anakanda saya Irsyad diberi prioriti berpindah ke wad kelas ke 2 apabila mengetahui suami saya pula dimasukkan ke ICU. Lebih selesa untuk saya menunggu Irsyad katanya. Dapatlah juga menjadi port melepas lelah buat saya kerana wad ICU waris tidak boleh menunggu kecuali waktu melawat. Jika tidak merayaulah saya di sekitar hospital dalam kerisauan menunggu berita suami. Benar cakap Irsyad, "Allah susun semua ni cantik sangat ibu. Kami ada kat sini, dapat juga teman ibu."
Terima kasih anakku!
Benar, ibu memang memerlukannya.
Kalian juga para doktor dan jururawat yang merawat Irsyad menunjukkan sokongan dengan melawat suami saya di wad ICU. Tidak jemu bertanya khabar di wad. Hebatnya kalian. Bekerja dalam adab.
Terima kasih semua!
Tak lupa pada yang bersusah payah datang menziarah dan mengirimkan doa. Ianya sungguh bermakna buat kami sekeluarga serta membantu proses kesembuhan suami. Doktor juga ada berkata progress suami cepat dan unik memandangkan ini kali ke 3 beliau diserang stroke. Ini semua berkat doa dan keajaiban doa yang dikirim kalian, direstui olehNya.
Alhamdulillah.
Terima kasih Allah, Ya Rahman, Ya Rahim.
Azura Abdullah
Abe Mie Mohd Hadzrami sudah berada di rumah, discharged semalam dari hospital
#telegramdarilangit
#hospitalkualakrai
No comments:
Post a Comment