Si Kenit berada di Langkawi sekarang. Bertolak pagi tadi dari Pulai Chondong naik bas dengan rombongan sekolah. Semalam Kenit sibuk mengemas dan buat persiapan sendiri. Duit belanja di Langkawi guna duit tabung beliau sendiri. Ibu poket kuruih. Yuran lawatan Mak Tok Wan sponsor. Terima kasih tak terhingga Mak Tok 💖.
Saya agak sentimental dengan yang bongsu ini kerana beliau 'hands-on' perkataan 'berdikari' secara realiti lebih awal berbanding anak-anak yang lain, even saya sendiri. Saya dan suami memang dedahkan anak-anak untuk membantu dan melakukan kerja rumah termasuk memasak semenjak mereka masih kecil. Tetapi ianya tidak ketara dan saya tidak begitu terasa kerana ketika itu suami masih sihat. Suami saya mula diserang strok pertama pada tahun 2010, Si Kenit baru berusia 3 tahun.
Kadang-kadang jam 2-3 pagi Kenit bangun sendiri kerana terlupa basuh atau keringkan baju sekolah tanpa kejutkan saya. Sharing ini bukan nak puji anak sendiri. Cuma nak share berdasarkan apa yang saya lalui. Tak rugi kita persiapkan anak-anak kita dengan 'survival skills' dari awal kerana perancangan Tuhan untuk kita tidak dapat kita jangka.
Tugas kita membuat persiapan sehabis baik. Manfaatnya bukan sekadar untuk keluarga kita sahaja tetapi jauh ke depan nanti untuk anak-anak kita membina keluarga dan dapat memainkan peranan dengan baik sebagai ahli keluarga serta masyarakat.
Bila diingatkan kembali sejak anak-anak masih kecil saya tegas dengan mereka. Saya masih bekerja ketika itu. Jika menonton tv saya takkan biarkan mereka free macam tu saja. Saya akan longgokkan timbunan kain. Sama-sama melipat kain sambil menonton tv.
Bilik tidur juga masing-masing perlu kemas sendiri. Anak-anak tidur berasingan semenjak kecil lagi. Masing-masing tidur di bilik sendiri. Saya dan suami tak mampu untuk sediakan bilik yang besar dan mewah untuk anak-anak. Apa yang suami saya buat ialah beliau gunakan gysum board untuk jadikan bilik untuk setiap anak. Masing-masing bertanggungjawab terhadap bilik masing-masing.
Memasak pun sama. Sekarang saya boleh menarik nafas lega kerana sekali sekala terutamanya di hujung minggu anak-anak mengambil alih tugas memasak. Dapatlah saya melepaskan lelah sebentar di celah kekalutan menguruskan suami yang tidak sihat.
Mak dan Abah saya sendiri dulunya sentimental melihat ketegasan saya dan suami terhadap cucu-cucu mereka. Mujur saya tak kalah dengan sentimental Mak Tok dan Tok Ayah depa. Rupanya Allah swt aturkan semua ini ada sebabnya. Segala persediaan zaman selesa amat berguna sekali sekarang. Jika tidak, entah bagaimana saya mahu mendayung segalanya sendirian sebagai ketua keluarga dan melaksanakan rutin harian serta perlu menyelenggara anak-anak yang tidak mampu berdikari.
Seperkara lagi, pada saya tak salah kita berkongsi dengan anak-anak cabaran dan perit jerih kita. Saya berkongsi dengan anak-anak perjalanan dan cabaran hidup yang saya perlu harungi. Anak-anak kecil ini mereka putih bersih. Apabila kita membawa mereka bersama-sama kita di dalam 'adventure trip' kita, mereka akan 'memberi' sepenuh jiwa raga dengan tulus ikhlas, mereka akan sangat hargainya kerana kita mengambil kira peranan mereka dalam proses kehidupan keluarga. Mereka sebenarnya gembira, bangga dan amat hargai peluang serta kepercayaan ibu bapa terhadap mereka. Dan inilah dia juga pada pandangan saya antara proses menghasilkan 'manusia yang menjadi'.
Buya Hamka sendiri ada menyebut di dalam naskhah Tafsir Al-Azhar tentang bagaimana bangganya Abang Ipar almarhum yang merupakan guru almarhum dan almarhum yakin, pasti Ayahandanya juga akan bangga jika Ayahandanya masih hidup kerana almarhum telah menjadi 'manusia yang menjadi dan benar-benar menjadi orang'. Ianya merangkumi aspek sahsiah, adab, agama dan duniawi yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Pernah seorang Pakcik tua (ketika suami dimasukkan ke hospital) berkongsi dengan saya tentang betapa kecewanya beliau dengan kesilapan beliau mendidik anak-anaknya. Saya tanya beliau apa yang silapnya kerana anak-anaknya semuanya berkerjaya hebat dan antaranya latar belakang agama yang kuat. Kata beliau kesilapannya ialah beliau tekankan pada anak-anak untuk fokus pada pelajaran semata-mata. Beliau sendiri pula fokus mencari rezeki siang dan malam. Beliau lupa suntik ilmu kehidupan dan kasih sayang, bab ini beliau serahkan pada isterinya semata-mata. Ditakdirkan isteri beliau terlebih dahulu dijemput Tuhan. Tinggallah beliau menghabiskan sisa usia dalam kesunyian. Anak-anak tidak mampu untuk 'make time' untuk beliau sebagaimana mereka 'make time' untuk arwah isterinya. Masa anak-anak untuk beliau hanya apabila ada kelapangan. Latar belakang agama dan keturunan tidak menjamin apa-apa kata beliau jika
tidak dijadikan sebagai 'way of life'. Ilmu yang anak-anaknya ada lebih kepada ilmu mencari makan kata beliau lagi. Saya ternganga mendengar cerita beliau kerana pada awalnya saya begitu kagum dengan kejayaan anak-anak beliau.
Tak dak apa pun, beletiaq ja lebih 😁. Si Kenit share dalam group famili segala macam gambaq. Alhamdulillah cuaca baik di Langkawi.
MekZurots
Children are natural mimics who act like their parents
#melas
#melasjourney
#abe
No comments:
Post a Comment