Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan insiden di mana seorang lelaki kurang upaya mental dipukul oleh beberapa individu di pasar malam akibat salah faham. Awalnya saya tak berhasrat untuk mengulas tentang kes ini, walaupun dalam hati membuak-buak mahu luahkan isi hati. Apabila melihat posting anak-anak saya, saya tahu perkara ini sangat berbekas di hati mereka. Memikul tanggungjawab menjaga insan yang hilang upaya mental tidak semudah mengetuk key-board, 24 jam bersama di bawah satu bumbung menuntut kecekalan fizikal dan emosi.
Kejadian ini bukan sahaja amat menyedihkan, tetapi juga menunjukkan betapa pentingnya kesedaran dan pemahaman masyarakat terhadap orang kurang upaya, sama ada dari segi fizikal atau mental.
Sebagai seorang yang pernah menjaga almarhum suami saya (Abe Mie) yang mempunyai masalah mental setelah beberapa kali di serang strok serta didiagnosis dengan ‘rare disease: Sindrom Melas’ dan anak saya yang dilahirkan dengan kekurangan fizikal pada lengan kirinya, saya amat memahami betapa pentingnya sokongan dan empati daripada masyarakat. Orang kurang upaya dan penjaganya sering kali menghadapi cabaran yang tidak dapat dibayangkan, dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan mereka dilayan dengan penuh hormat dan bermaruah, tanpa prejudis dan skeptikal.
Hospital USM Kubang Kerian (HUSM) bagaikan rumah kedua. Bila diimbas kembali bagaikan mission impossible semua ni. Setiap kali ke HUSM untuk sesi follow-up saya terpaksa cutikan salah seorang anak saya dari sekolah. Saya tak boleh nak drop Abe Mie di lobi dahulu dan kemudiannya parking seperti orang lain, takut nanti jadi apa-apa yang mudorat pada beliau atau orang lain. Sesi follow-up pula bukannya dengan satu doktor sahaja tetapi beberapa doktor pakar mengikut kepakaran masing-masing, Neuro, Psikiatri, Oftal, ENT, Fisio. Jika hati tak kental, penjaga takkan mampu hadap rutin ini. Saya amat bernasib baik kerana staf-staf di HUSM, para doktor & jururawat sangat memahami, Abe Mie diberi prioriti apabila ke temujanji.
Allah swt juga permudahkan urusan saya apabila temukan saya dengan dengan Yayasan OKU Kelantan (YOKUK). Saya tak perlu lagi bawa Abe Mie ke sesi fisio di HUSM, sabaliknya YOKUK hantar terapis mereka ke rumah saya untuk sesi fisio terapi secara percuma. Lega, kurang satu sesi di hospital. Sesi follow-up di hospital ini salah satu mimpi ngeri buat para penjaga, nak siapkan pesakit pun sejam dua, belum lagi cabaran di hospital, nak balik pulak cabaran lain, pesakit nak ke toilet nak makan. Tak terungkap dengan kata-kata cabaran yang perlu diharungi. Boleh koyak mental.
Sebab itu saya sangat galakkan para penjaga jangan ambil mudah sesi bersama Psikiatris, penting bukan sahaja untuk pesakit, tetapi juga untuk diri kita sebagai penjaga. Saya manfaatkan sesi bersama psikiatri untuk kesihatan mental saya sabagai penjaga, setiap kali selepas selesai sesi Abe Mie, saya akan ambil masa10-15 minit berbual dengan Psikiatris dari perspektif saya sebagai penjaga. Amat membantu bagi saya. Jangan malu. Saya tahu ianya taboo bagi orang kita berjumpa Psikiatri. Buang perasaan ini, percayalah ianya sangat membantu, kerana konsultasi mereka kepada kita adalah dari pandangan profesional dan bukannya perspektif Makcik Pakcik Bawang.
Saya masih ingat bagaimana kali pertama saya santuni Abe Mie di bilik air, saya ditolak hingga terhantuk di dinding, luka saya. Menangis saya. Sedih tak terkata, seorang yang penyayang dulunya bertukar karektor. Abe Mie masih keliru ketika itu, dari bedridden ke boleh bangun. Bermacam-macam insiden yang tak dapat kami sekeluarga lupakan. Televisyen rasanya 3 buah juga rosak, kena baling dengan mug. Anak-anak sabar dengan karenah Abah mereka, tengah syiok tengok TV kena siram dengan air kopi panas. Abe Mie juga developed OCD sepanjang sakit, jenuh kami melayan kerenahnya. Suka sangatlah ubah dan susun perabot dalam rumah dengan mata yang tak berapa nampak tu. Ada sekali di tolaknya meja makan, block entrance ke dapur, kita ubah semula kena marah. Yang paling tak boleh lupa, diapers kotor disembunyinya di belakang cermin besar di dinding. Jika difikir tak masuk akal pun ada. Jenuh kami cari berhari-hari, takut busuk.
Itu belum lagi dikira cabaran jika travel jauh, balik kampung dan sebagainya. Beberapa kali saya kena siram dengan air, kena tarik tudung dan anak-anak kena gigit waktu drive. Sampai terpaksa tukar ke MPV. Abe Mie tak boleh duduk bersentuhan, diambilnya seperti ancaman untuk dirinya. Bila pakai MPV, dapat duduk single seat, Abe Mie lebih bertenang. Ada sekali waktu nak pergi hospital, saya lupa set childlock pintu belakang, Abe Mie buka pintu kereta waktu kereta tengah berjalan, mujur anak saya ada sekali di belakang.
Saya dan anak-anak pernah bawa Abe Mie untuk gunting rambut di kedai gunting. Sebelum gunting rambut, saya dengan jelas beritahu tukang gunting yang suami saya sakit, tak sihat dan mungkin akan tantrum, jadi tolong berlembut sewaktu gunting rambut. Tetapi tukang gunting tidak begitu beri perhatian, busy dengan handphone. Gunting rambut sambil bercakap kuat di handphone. Abe Mie tak selesa dan ditepisnya tangan tukang gunting. Tukang gunting tersebut menampar dan menengking Abe Mie. Anak lelaki saya automatik bangun dan hampir menumbuk tukang gunting tersebut. Saya tenangkan mereka dan terus bawa Abe Mie keluar. Sejak dari kejadian tersebut, saya dan anak-anak gunting sendiri rambut Abe Mie di rumah.
Begitulah antara kenangan saya dan anak-anak sebagai penjaga pesakit berimpak mental. Jadi kalian yang bukan penjaga, yang duduk jauh dari adik-beradik yang jaga pesakit, yang hanya pandang dari luar, ‘jangan dok sembang kemaih’ orang Kedah kata. Penjaga yang hidup 24 jam dengan pesakit ni, tak semudah kita susun kata dan mengarah itu ini. Jangan sampai Tuhan uji kita dengan kata-kata kita, belum tentu kita mampu hadapinya. Jadinya, dalam apa pun situasinya, bawaklah diri kita sebagai manusia yang membumi, yang merendah diri, yang pandang sesuatu dengan meletakkan diri kita di kasut orang lain.
Luluh hati saya apabila melihat video Saudara Paijang dipukul, diheret, disepak oleh sekumpulan manusia yang kononnya mahu membawa keadilan, apatah lagi isteri dan anak-anak beliau. Luluh hati saya melihat begitu ramai penonton menyaksikan aksi tidak dapat diterima akal manusia yang waras. Ke mana hilangnya adab sopan kita sebagai masyarakat Malaysia yang terkenal dengan budi bahasa? Apa kita nak jawab sebagai seorang Muslim, begini sekali kelakuan kita.
Mungkin sudah sampai masanya untuk matapelajaran Sivik dikembalikan ke dalam kurikulum sekolah seperti zaman saya sekolah dahulu. Pendidikan sivik dapat membantu kanak-kanak memahami nilai-nilai kemanusiaan, empati, dan kesedaran sosial sejak usia muda.
Kita sebagai ahli masyarakat perlu mengajar anak-anak tentang kasih sayang dan kepedulian tanpa mengira keadaan fizikal atau mental seseorang. Anak sulong saya pernah ditendang di depan saya waktu daftar darjah satu oleh pelajar lain kerana geli melihat anak saya hanya bertangan sebelah. Anak-anak perlu diajar untuk tidak membuat penilaian sendiri dan menghukum orang lain. Pendidikan awal tentang kasih sayang, empati, dan rasa hormat seawal di rumah dapat membentuk masyarakat yang lebih bertimbang rasa dan memahami.
Kenapa semua ini penting?
- Untuk Elak Salah Faham: Salah faham sering kali menjadi punca kepada perlakuan yang tidak wajar terhadap orang kurang upaya. Dengan meningkatkan kesedaran, kita dapat mengurangkan risiko salah faham dan memastikan mereka diperlakukan dengan adil.
- Tingkatkan Empati: Kesedaran tentang cabaran yang dihadapi oleh orang kurang upaya dan penjaga dapat meningkatkan empati dalam masyarakat. Ini akan membantu kita untuk lebih memahami dan menyokong mereka dalam kehidupan seharian.
- Hak Asasi: Setiap individu, tanpa mengira keadaan fizikal atau mental, berhak untuk diperlakukan dengan hormat dan maruah.
Kesedaran ini penting untuk memastikan hak asasi mereka dihormati. OKU juga manusia. Kesedaran terhadap perlakuan terhadap orang kurang upaya adalah tanggungjawab kita bersama untuk mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif dan penyayang.
Wah! Panjang saya bebel. Macam tu lah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Kebetulan saya baru sahaja terbitkan buku ‘Love Without Losing Yourself’, di mana saya kongsikan koleksi cerita kehidupan saya dan anak-anak santuni almarhum Abe Mie. Cerita bagaimana adanya pelangi selepas hujan. Cerita bagaimana kita memberi kasih tanpa hilang diri sendiri. InsyaAllah. Terbitan saya sendiri, moga ada rezeki untuk anak-anak saya, 3 orang yang masih belajar.
Untuk yang ingin memberi sokongan pada saya dan anak-anak, boleh ke link di bawah ini untuk tempahan buku tersebut.
https://zurotsbooks.com/love-without-losing-yourself
https://zurotsbooks.com/love-without-losing-yourself
https://zurotsbooks.com/love-without-losing-yourself
Salam Sayang,
Zurots
Love Without Losing Yourself
No comments:
Post a Comment