Tuesday, October 16, 2018

Think A Little Less, Live A Little More.


Pagi tadi seperti biasa saya hantar Isyraf ke sekolah tetapi Isyraf minta saya tunggu sekejap, ada homework sikit lagi belum habis ditulis. Saya parkir kereta berhampiran gerai menjual ayam. Isyraf leka menulis karangannya yang belum siap, saya pula hanya melayan rasa memandang di luar tingkap.

Penjual ayam bertshirt merah kemas dengan seluar jeans yang bersih sedang memindahkan bungkusan berisi ayam yang belum dipotong keluar dari kereta. Kemudian beliau keluarkan ayam dan membasuh seekor demi seekor ayam dengan teliti sebelum meletakkannya di atas para gerai. Adakalanya beliau mencabut bulu ayam yang masih bersisa di badan ayam. Kagum sungguh saya melihat beliau begitu asyik sekali melangsaikan tugasnya. Saya pula yang rasa letih melihatnya. Bukan ada sesiapa melihat dan tahu pun bagaimana komitednya beliau menjaga kualiti ayam beliau. Beliau sendiri tidak sedar saya memerhati. Tetapi beliau tetap melakukannya dan membuat yang terbaik dengan penuh sabar.

Sekarang baru saya faham kenapa saya suka beli ayam dengan beliau. Terdapat 2 gerai ayam di situ. Saya pernah beli di gerai satu lagi tetapi saya tidak selesa, ayam masih ada banyak bulu, kotor, kadang-kadang ada sisa tahi ayam dan ayam dipotong pun tidak kemas, agak lunyai. Akhirnya saya menjadi pelanggan setia abang penjual ayam yang segak bertshirt merah berseluar jeans tadi.


Tengahari tadi pula saya bawa anak kedua saya 15 tahun, MekNa ke kedai membekal peralatan dan bahan-bahan kek. MekNa mahu mula membuat kek tempahan untuk sedekah bermula hari ini. Sehari 3 biji kek untuk disedekah kata beliau. MekNa sudah mendapat tempahan 10 biji kek buat masa sekarang, bermakna untuk 3 hari slot tempahan sudah diisi. Alhamdulillah. Happy sungguh MekNa. Pasti anak-anak yang bakal menerimanya juga happy sepperti MekNa.


Saya tanya MekNa kenapa nak buat semua ni, beliau masih kecil pada saya untuk bersusah payah begini. Saya tanya juga, tak segan ka dengan kawan-kawan berniaga macam ni. Saya tekankan biarlah saya yang mencari rezeki. Jawab beliau, nak tolong Ibu. "Irsyad (anak ketiga saya) pun berniaga barang pancing dan boleh tolong Ibu. Orang pun nak buat sesuatu jugak. Kesian Ibu." Berkaca sekejap mata saya. Lebih sayu apabila melihat betapa gembiranya MekNa tersenyum sendiri mengangkat barang-barang dibeli ke dalam kereta. Rasa yang bercampur-baur muncul. Sedikit bangga dan rasa macam teruk sangat pun ada. Am I a bad mom sampai anak-anak yang kecik lagi ada feeling macam ni? 😢.

Mungkin ada sebabnya Tuhan hantar cerita ayam di awal pagi disusuli perbualan dengan MekNa tadi. Anak-anak ni simple saja kan. Tak ada nak fikir complicated dan serabut macam orang dewasa. Mereka buat saja apa yang mereka rasa kewajipan mereka, apa yang termampu sehabis baik. Sama seperti penjual ayam tadi. Saya ni nak pi Kok Lanas saja pun, fikirnya sampai ke Marikh, what if itu what if ini.

Think a little less, live a little more. InsyaAllah.

MekZurots
www.zurots.com

#livelifezura

Pastry Fruits Cake by Mekna



Supporting my 15 years old daughter yang baru habis exam PT3 and wanted to generate sedikit income sambil beramal.

Jika ada yang sudi membantu boleh whatsapp MekNa ya. Selain dari 2 center ni ada lagi 3 center sekitar Machang ni yang ada anak-anak comel. Kami pernah hantar cupcakes dan mereka serbu, punya happy.

Terima kasih semua.

@Regran_ed from @irdinahadz._  -  Salam. Saya ada buat Pastry Fruits Cake. Ada tak sesiapa bermurah hati untuk sponsor kek ni untuk anak yatim dan miskin? Ada 2 center dekat rumah saya. 30 orang setiap center. Kiranya satu center 3 biji kek. Kalau ada yang berminat PM atau whatsapp saya di 017-9518005.
Terima kasih banyak-banyak.❤️ - #regrann 

#mekna
#mcnasflavor

Mengumpat

Kenit : "Ibu, masa kat Langkawi ada orang mengumpat kami Ibu."

Ibu: "Aik! Macam mana Adik buleh tau ada orang mengumpat Adik?"

Kenit: "Mula-mula tu kami mandi di kolam apartment. Ada kawan kami pinjam goggles kami. Mula tu kami tak bagi. Lepaih tu kami kesian kami bagi laa. Kami naik bilik dulu. Dok sat ada sorang kawan naik habaq kat kami kawan yang pinjam tu ngumpat kami."

Ibu: "Biaq pi kat dialah. Kita tak rugi apa aih."

Kenit: "Mana buleh biaq orang lagu ni. Depan baik. Belakang lagu lain."

Ibu: "Adik buat apa kat dia?"

Kenit: "Ish! Awat la Ibu ni. Nak buat apanya. Bila dia naik bilik kami tanya la dia...Mu ngupat aku ko? Bakpo mu ngupat aku? Aku wi spek mandi pun ngupat lagi."

Ibu: telan ayaq lioq

Kenit: "Mula tu dia tak mengaku Ibu. Lepaih 10 minit dia mai balik mengaku dengan mintak maaf kat kami."

Ibu: "Cengei noh anak ibu."

Kenit: "Ya ka? Ya kot. Macam Ibu."  Sambil hahahaha...gelakkan ibu.

Sempoi jadi budak. Straight to the point 🕺.

#caf
#kenit

Wednesday, October 10, 2018

Children Are Natural Mimics


Si Kenit berada di Langkawi sekarang. Bertolak pagi tadi dari Pulai Chondong naik bas dengan rombongan sekolah. Semalam Kenit sibuk mengemas dan buat persiapan sendiri. Duit belanja di Langkawi guna duit tabung beliau sendiri. Ibu poket kuruih. Yuran lawatan Mak Tok Wan sponsor. Terima kasih tak terhingga Mak Tok 💖.

Saya agak sentimental dengan yang bongsu ini kerana beliau 'hands-on' perkataan 'berdikari' secara realiti lebih awal berbanding anak-anak yang lain, even saya sendiri. Saya dan suami memang dedahkan anak-anak untuk membantu dan melakukan kerja rumah termasuk memasak semenjak mereka masih kecil. Tetapi ianya tidak ketara dan saya tidak begitu terasa kerana ketika itu suami masih sihat. Suami saya mula diserang strok pertama pada tahun 2010, Si Kenit baru berusia 3 tahun.

Kadang-kadang jam 2-3 pagi Kenit bangun sendiri kerana terlupa basuh atau keringkan baju sekolah tanpa kejutkan saya. Sharing ini bukan nak puji anak sendiri. Cuma nak share berdasarkan apa yang saya lalui. Tak rugi kita persiapkan anak-anak kita dengan 'survival skills' dari awal kerana perancangan Tuhan untuk kita tidak dapat kita jangka. 

Tugas kita membuat persiapan sehabis baik. Manfaatnya bukan sekadar untuk keluarga kita sahaja tetapi jauh ke depan nanti untuk anak-anak kita membina keluarga dan dapat memainkan peranan dengan baik sebagai ahli keluarga serta masyarakat. 

Bila diingatkan kembali sejak anak-anak masih kecil saya tegas dengan mereka. Saya masih bekerja ketika itu. Jika menonton tv saya takkan biarkan mereka free macam tu saja. Saya akan longgokkan timbunan kain. Sama-sama melipat kain sambil menonton tv. 

Bilik tidur juga masing-masing perlu kemas sendiri. Anak-anak tidur berasingan semenjak kecil lagi. Masing-masing tidur di bilik sendiri. Saya dan suami tak mampu untuk sediakan bilik yang besar dan mewah untuk anak-anak. Apa yang suami saya buat ialah beliau gunakan gysum board untuk jadikan bilik untuk setiap anak. Masing-masing bertanggungjawab terhadap bilik masing-masing.

Memasak pun sama. Sekarang saya boleh menarik nafas lega kerana sekali sekala terutamanya di hujung minggu anak-anak mengambil alih tugas memasak. Dapatlah saya melepaskan lelah sebentar di celah kekalutan menguruskan suami yang tidak sihat. 

Mak dan Abah saya sendiri dulunya sentimental melihat ketegasan saya dan suami terhadap cucu-cucu mereka. Mujur saya tak kalah dengan sentimental Mak Tok dan Tok Ayah depa. Rupanya Allah swt aturkan semua ini ada sebabnya. Segala persediaan zaman selesa amat berguna sekali sekarang. Jika tidak, entah bagaimana saya mahu mendayung segalanya sendirian sebagai ketua keluarga dan melaksanakan rutin harian serta perlu menyelenggara anak-anak yang tidak mampu berdikari.

Seperkara lagi, pada saya tak salah kita berkongsi dengan anak-anak cabaran dan perit jerih kita. Saya berkongsi dengan anak-anak perjalanan dan cabaran hidup yang saya perlu harungi. Anak-anak kecil ini mereka putih bersih. Apabila kita membawa mereka bersama-sama kita di dalam 'adventure trip' kita, mereka akan 'memberi' sepenuh jiwa raga dengan tulus ikhlas, mereka akan sangat hargainya kerana kita mengambil kira peranan mereka dalam proses kehidupan keluarga. Mereka sebenarnya gembira, bangga dan amat hargai peluang serta kepercayaan ibu bapa terhadap mereka. Dan inilah dia juga pada pandangan saya antara proses menghasilkan 'manusia yang menjadi'. 

Buya Hamka sendiri ada menyebut di dalam naskhah Tafsir Al-Azhar tentang bagaimana bangganya Abang Ipar almarhum yang merupakan guru almarhum dan almarhum yakin, pasti Ayahandanya juga akan bangga jika Ayahandanya masih hidup kerana almarhum telah menjadi 'manusia yang menjadi dan benar-benar menjadi orang'. Ianya merangkumi aspek sahsiah, adab, agama dan duniawi yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Pernah seorang Pakcik tua (ketika suami dimasukkan ke hospital) berkongsi dengan saya tentang betapa kecewanya beliau dengan kesilapan beliau mendidik anak-anaknya. Saya tanya beliau apa yang silapnya kerana anak-anaknya semuanya berkerjaya hebat dan antaranya latar belakang agama yang kuat. Kata beliau kesilapannya ialah beliau tekankan pada anak-anak untuk fokus pada pelajaran semata-mata. Beliau sendiri pula fokus mencari rezeki siang dan malam. Beliau lupa suntik ilmu kehidupan dan kasih sayang, bab ini beliau serahkan pada isterinya semata-mata. Ditakdirkan isteri beliau terlebih dahulu dijemput Tuhan. Tinggallah beliau menghabiskan sisa usia dalam kesunyian. Anak-anak tidak mampu untuk 'make time' untuk beliau sebagaimana mereka 'make time' untuk arwah isterinya. Masa anak-anak untuk beliau hanya apabila ada kelapangan. Latar belakang agama dan keturunan tidak menjamin apa-apa kata beliau jika 
tidak dijadikan sebagai 'way of life'. Ilmu yang anak-anaknya ada lebih kepada ilmu mencari makan kata beliau lagi. Saya ternganga mendengar cerita beliau kerana pada awalnya saya begitu kagum dengan kejayaan anak-anak beliau. 

Tak dak apa pun, beletiaq ja lebih 😁. Si Kenit share dalam group famili segala macam gambaq. Alhamdulillah cuaca baik di Langkawi.

MekZurots
Children are natural mimics who act like their parents


#melas
#melasjourney
#abe

Monday, October 8, 2018

Children Learn What They Live

"Abang nak pi mana tu?" tanya saya kepada Abe Mie.

"Pi toilet," jawab Abe Mie pendek.

"Ok Bang. Bye. Ailerbiu. Jumpa lagi," balas saya.

"Kalau pi toilet kena babai kena ailerbiu ka?" tanya Abe Mie sambil berjalan menuju ke tandas dengan penuh keliru.

"Ya. Kena. Wajib," jawab saya serius.

"Ok. Abe pi toilet sat. Babai Zura. Ailerbiu Zura," serius Abe Mie mendengar kata.

"Ibu memang tak dak kerja kan ... kerja dok usik Abah ja," Si Kenit menyampuk.

😂

Kami sampai dari Kedah ke Klate semalam. Bertolak jam 2.30pm dari Kulim. Singgah makan di Jeli hampir satu jam di gerai tepi jalan. Sampai di rumah jam 8.30pm. Hujan renyai-renyai on and off sepanjang jalan. Jalan licin. Sepanjang perjalanan ada 4 buah kereta terbabas di dalam longkang. Risau juga setakat skill lady driver. Alhamdulillah, kami sampai dengan selamat.

Paling lega Abe Mie tak tantrum dalam kereta dari Kedah ke Klate. Sewaktu balik dari Klate ke Kedah baru ni beliau tantrum juga sewaktu kami berhenti di Hentian Titiwangsa. Mencabar sungguh ya Tuhan. Beliau mahu ke tandas. Tandas berbayar di sini tiada tandas untuk OKU. Strok survivor seperti beliau ini biasanya jika berada di tempat awam, mereka tak benarkan waris membantu. Sedaya mungkin mereka mahu tunjukkan yang mereka berupaya. Dari satu sudut ianya positif, berdikari. Dalam kes Abe Mie ianya bahaya kerana pandangan beliau kabur teruk. Jalan pun ke kiri dan ke kanan.

Saya dan MekNa menemani suami sehingga di depan pintu tandas lelaki. Anak sulong saya Irfan masuk ke dalam tandas bersama Abahnya. Pakcik penjaga tandas menyapa saya dan MekNa. Beliau menyuruh saya dan MekNa masuk sahaja membantu Irfan. Beliau agak khuatir barangkali apabila melihat Irfan hanya bertangan satu. Mungkin dalam fikiran beliau, 'Bolehkah anak ini menguruskan bapanya.' Tidak tergamak saya dan MekNa nak masuk. Ramai pengguna lelaki dewasa keluar masuk. Seram.

Lega rasanya apabila melihat Abe Mie keluar dari tandas. Tetapi hati ini punyalah risau melihat beliau melangkah tidak kemas dengan lantai licin, getah paip berselirat di atas lantai. Beliau tak benarkan Irfan memimpin pula. Risau sungguh. Tandas tersebut dalam proses renovasi. Saya harap sangat ada beberapa unit di bahagian tepi tandas ini dikhaskan untuk OKU nanti. Lebuhraya Timur Barat bukannya ada Hentian R&R yang banyak dan selesa seperti Lebuhraya Utara Selatan. Ianya amat menyukarkan kami yang membawa pesakit tidak berupaya fizikal dan mental sebegini.

Perjalanan menuju ke kereta terasa bagaikan begitu jauh dengan mood Abe Mie yang tidak begitu baik. Beliau bercakap berbagai topik bercampur-campur dengan nada yang kuat. Beberapa langkah menghampiri kereta, ada 2 orang anak muda sedang membaiki lampu. Tangga disandar ke tiang lampu. Seorang berada di atas tangga dan seorang memegang tangga. Abe Mie berhenti di situ dan masih bercakap dengan kuat. 2 orang pemuda tersebut kelihatan cuak. "Bang, jangan bersilat kat sini sudahlah Bang." Kami bertiga menyambut dengan ketawa. 😂

"Ibu, depa ingat Abah kena masuk hantu apa Ibu," sempat lagi MekNa menambah perisa sambil memujuk Abahnya meneruskan langkah menuju ke kereta. Terasa jauh sungguh aih nak ke kereta. Walhal 5 minit berjalan saja pun. Akhirnya tak ada pilihan lain, Abe Mie tak mahu masuk. Irfan dan MekNa mengangkat Abah mereka masuk ke dalam kereta secara paksa sambil usik-mengusik dan ketawa. Pantas dan cekap betul dua beradik ni. Tak tahulah saya bagaimana saya hendak travel jauh-jauh sebegini tanpa anak-anak.

Di dalam kereta saya ucapkan terima kasih pada anak-anak, "Terima kasih sokmo bantu Ibu jaga Abah. Terima kasih sebab Irfan, Kakak, Irsyad, Adik tak malu pun urus Abah di khalayak ramai walau kadang-kadang Abah buat perangai. Malu dak jadi lagu ni?" saya menduga.

"Kami adalah malu sikit-sikit. Sikit ja bila orang dok tengok. Tapi kami tak kisah. Abah masa dia sihat dia baik dengan kami semua. Kami pun kena baik dengan Abah," pantas Si Kenit menjawab. "Abah baik sangat-sangat. Tak dak sebab kami nak layan Abah koksir," MekNa menambah. Dan Mek Zurots teruih tukaq spek mata biasa ke spek mata hitam. Takut anak-anak nampak kolam mata nak pecah dah. Ibu doakan sikap sebegini kekal walau kalian sudah berumahtangga kelak. Amat menakutkan membaca berbagai drama airmata keluarga apabila datang bab ukhuwah keluarga yang mempunyai ahli yang sakit serta uzur.

Children Learn What They Live
by Dorothy Law Nolte

If children live with criticism,
They learn to condemn.

If children live with hostility,
They learn to fight.

If children live with ridicule,
They learn to be shy.

If children live with shame,
They learn to feel guilty.

If children live with encouragement,
They learn confidence.

If children live with tolerance,
They learn to be patient.

If children live with praise,
They learn to appreciate.

If children live with acceptance,
They learn to love.

If children live with approval,
They learn to like themselves.

If children live with honesty,
They learn truthfulness.

If children live with security,
They learn to have faith in themselves and others.

If children live with friendliness,
They learn the world is a nice place in which to live.

Moga ada manfaatnya.

MekZurots
Children are natural mimics who act like their parents