Sunday, November 10, 2024

Adil Bukan Sama Rata


Alhamdulillah, Mak saya dah discharged out dari hospital. Terima kasih Dr.Amirozi (ENT Specialist KPJ Hospital Perda) dan Puan Afifah (Admin Klinik ENT) serta para petugas Wad Flora (bilik Mak #545) yang sangat membantu. Semoga Mak cepat pulih.


Terima kasih Miss Kua, ejen insurans Mak yang komited santuni urusan berkaitan Mak. Dan pastinya adik-adik yang tak jemu memberi sokongan material dan moral dari jauh. Terima kasih sanak saudara dan kawan-kawan yang datang ziarah Mak.

Sewaktu bawa Mak pulang dari hospital saya sempat berbual panjang dengan Mak. Saya mohon maaf pada Mak kerana tak banyak membantu dari segi wang ringgit.

"Jangan kata lagu tu Akak. Setiap orang ada masa dia. La ni anak-anak hang pakat mengaji belaka. Hang pulak sorang Akak dok kilaih nak cari duit. Bukan kerja senang tu."

Saya hanya diam.

"Hang ada masa untuk Mak pun Mak syukur dah. Dalam hidup ni kita masing-masing sumbang dan buat perkara ikut kemampuan kita. Kita adik-beradik, kita kena saling sokong ikut kemampuan kita, kita faham keadaan adik beradik kita yang lain. Tu la maksud adil sebenaqnya, bukan pukui rata semua."

"Mak yakin masa depan hang cerah. Sabaq sat, tak lama dah Akak. Anak-anak hang alhamdulillah…insyaAllah menjadi belaka. Isyraf pun nak masuk universiti dah tahun depan. 3-4 tahun lagi hang tarik nafas lega dah Akak. Mie pun tinggai pencen kat hang. Takat hang sorang nak hidup nanti tak susah dah. Irfan, Irdina, Irsyad, Isyraf … Mak yakin depa baguih…tengok la lagu mana depa jaga arwah Abah depa dulu. Bukan calang budak-budak yang mampu hadap. Hang jangan risau Akak."

😭Laju ayaq mata turun sambil drive. Tapi Mak tak perasan sebab check-out dari hospital dah malam.

Sayang Mak sangat-sangat. Moga Allah swt panjangkan umur Mak. Tak boleh bayang macam mana satu hari nanti nak hadap kehilangan Mak. Kasih tanpa sempadan dan tiada kasta.

Semoga Tuhan pelihara Bonda kalian juga dan permudahkan urusan kalian juga.

Zurots
Biduan Ayaq Mata Kulim

Friday, September 20, 2024

Turning Point

        Pagi tadi saya diminta berkongsi turning point saya memulakan bisnes kraftangan batik oleh Dr Rai & Puan Husna dalam kelas IDEAS Project Malaysia, joint effort program UMK/UiTM dan Kerajaan Korea.

        Saya letak jawatan sebagai jurutera pada umur 38 tahun. Masa ni  almarhum suami saya dah beberapa kali diserang strok dan pulih. Jadi kami decide untuk settledown di kampung suami. Nak jalani hidup sederhana. Jual rumah, settle hutang, balik Machang buat rumah kecil di tengah bendang. Saya fokus menulis dan almarhum suami jalankan bisnes jualan serunding. Semuanya berjalan lancar selama 2 tahun. Kemudiannya almarhum suami diserang strok lagi, hilang upaya fizikal dan mental, vision tinggal 20% sahaja. Dari zero hutang kembali membuat hutang. Kita hanya merancang, perancangan Tuhan berbeza.

        Saya mula join support group local dan international yang terdiri dari penjaga pesakit kronik serta terlantar (caregiver). Rupanya majoriti caregiver terutamanya para isteri yang anak-anak masih kecil dan masih belajar hadapi perit getir seperti saya juga. Kami diuji dengan ujian kewangan. Mana mahu pastikan ada food atas meja, mana dengan bills, mana dengan anak-anak semuanya belajar dan mana nak cari pitih untuk almarhum suami yang doktor sahkan ada rare disease, ubat kena beli sendiri, bukan murah. Belum masuk keperluan lain lagi, diapers, diabetes strip, kapas dan lain-lain.

        Dari situlah saya nekad. Tak boleh dah dok sedih. Sampai bila? Saya kena terima hakikat. Ini jalan yang Tuhan susun untuk saya. Orang akan ada 1001 justification untuk membantu atau tidak membantu. Yang saya ada ketika itu hanya diri sendiri dan kebergantungan sepenuh hati pada Tuhan.

        Berbekalkan minat saya dalam kraftangan, saya redah saja. Saya buat satu set giant toys pertama untuk anak saya dan kongsi di media sosial. Alhamdulillah, rezeki berpihak pada saya walaupun tidak selesaikan isu kewangan saya sekeluarga tetapi sangat membantu, saya dapat sokongan kawan-kawan dan followers saya. Saya jahit tangan sepenuhnya. Mesin jahit pun tak ada waktu tu. Tidur hanya bila terlalu letih. Anak-anak saya menangis melihat jari jemari saya luka-luka kena jarum. Gambar-gambar ini adalah hasil saya jahit tangan. InsyaAllah selepas ini The Batik Craft - Kelantan, Malaysia akan hasilkan produk soft toys inspirasi dari produk lama saya ini.

        Dari sinilah saya nampak ada jalannya dunia kraftangan dan saya rasa bertanggungjawab untuk berkongsi rezeki dengan para caregiver dan wanita lain yang susah. Saya buat kertas kerja dan alhamdulillah berjaya mendapat kepercayaan dari Yayasan Hasanah melalui konsep home-based dan outsourcing di The Batik Craft. Berbekalkan pengalaman di dunia korporat saya develop training & development dan mentoring module untuk dimanfaatkan 65 orang wanita dari keluarga berpendapatan rendah dari Kelantan. Mereka juga diberi mesin jahit dengan geran Yayasan Hasanah. Melalui outsourcing konsep, saya dapat sama-sama berkongsi rezeki dengan wanita-wanita ini.

        Saya juga ditanya Dr Rai tadi, apa perasaan saya melihat semua ini materialized. Walaupun bisnes saya hanyalah bisnes kecil, team saya semuanya bekerja dari rumah tetapi jauh disudut hati saya, saya sangat terharu melihat ada yang berjaya beli motorsikal, beli mesin jahit yang lebih advance, berjaya set-up ruang kerja sendiri di rumah, dapat gembirakan anak-anak dengan belanja dapur, saya seronok dapat mesej “Zura, terima kasih, Kak guna duit upah untuk daftar anak masuk universiti”.

        Begitulah. Saya ulang sekali lagi, kita hanya ada diri kita dan Tuhan untuk bergantung hidup. Orang akan ada 1001 justification untuk membantu atau tidak membantu. Move on dan bertindak. Jangan compare kehidupan kita dengan orang lain. Setiap orang ada kisah perit jerih masing-masing.

        Semua ini buatkan saya rasa amat bertanggungjawab untuk berkongsi rezeki dengan cara saya, terutamanya dengan para ibu dan isteri yang diuji. 

        Tadi Dr Rai ada berkongsi satu petikan kata-kata pujangga Jepun yang membawa maksud, “Jika kita tersalah naik keretapi, turun di stesen terdekat dan ambil keretapi yang betul”. Sama juga dengan hidup kitakan. Cepat-cepat settledown perasaan kita, move on dan bertindak. Kita kena sayang diri kita, jangan lama-lama dibuai emosi. Kita ada anak-anak yang berpayung bawah kita.

        Saya tak layak untuk beri nasihat kerana saya sendiri masih struggle dengan bisnes kecil saya yang kejap naik kejap turun. Saya sekadar berkongsi secebis kisah bagaimana saya masih survive.

        Semoga ada manfaatnya buat kalian. 

Zurots

#ideasmalaysia #lovewithoutlosingyourself #thebatikcraft





























Tuesday, May 7, 2024

Love Without Losing Yourself - Cover Release

 


Untuk kalian, buku LOVE WITHOUT LOSING YOURSELF.

Kontennya dalam Bahasa Melayu. Saya bukukan pengalaman saya menjaga cinta hati saya selama hampir 10 tahun dan cabaran untuk kita tidak abaikan diri sendiri. 

Saya buka pre-or.der di sini https://toyyibpay.com/LoveWithoutLosingYourself

Pre-or.der akan menerima surprise gift yang special dari saya.

Kalian boleh pilih untuk dapatkan naskhah ini untuk diri sendiri atau hadiah/tajaan kepada ‘caregiver/penjaga pesakit’, saya akan uruskan.

Kalian akan dimaklumkan melalui email apabila naskhah fizikal siap dicetak dan sedia untuk dipos.

Terima kasih di atas sokongan yang tidak berbelah bagi pada saya dan anak-anak.

Zurots
Love Without Losing Yourself

#lovewithoutlosingyourself
#caregivinglovewithoutlosingyourself
#livelifezurots
#zurotswrite

Friday, May 3, 2024

3rd Book Pre-Release Schedule

Di petang Jumaat yang mulia ini, dengan rendah diri saya nak share pre-release schedule buku ketiga saya ‘LOVE WITHOUT LOSING YOURSELF’. Tajuk omputeh, isi Bahasa Melayu. Saya habis idea nak bagi sedap bunyi tajuk kot Bahasa Melayu tak sedap juga. Mungkin ini jalan untuk saya terbitkan versi Bahasa Inggeris pula selepas ini. InsyaAllah.

Masih bermotifkan cerita motivasi kehidupan. Stay tune ok. Doakan saya sihat dan dapat cope dengan jadual yang tertera di sini.

Terima kasih di atas sokongan kalian yang tidak berbelah bagi pada saya dan anak-anak. 

Love Without Losing Yourself

Zurots

Thursday, May 2, 2024

Love You With All My Heart

    Last week datang mood nak melayan K-Drama bertajuk Queen of Tears. Cerita tentang pasangan romantis yang diterajui oleh pelakon Kim Soo Hyun dan Kim Ji Won. Comel pasangan pelakon ni. Ngam. Berkisar kisah konflik percintaan, konflik keluarga dan konflik perniagaan. Isterinya, Hae In perlahan-lahan hilang ingatan akibat tumor otak. Setelah berusaha mencari pakar-pakar di seluruh dunia, suaminya Baek Hyun berjaya mendapat kerjasama sebuah pusat perubatan di Berlin yang membuat kajian tentang penyakit yang dihidapi isterinya. Dengan kapasiti mereka sebagai ahli perniagaan bilionaire, mereka berdua invest dalam kajian yang dijalankan oleh pusat perubatan tersebut. Hae In setuju untuk dibedah selepas dipujuk oleh suaminya. Walaubagaimanapun Baek Hyun tidak berkongsi risiko Hae In akan hilang ingatan sepenuhnya selepas pembedahan. Apa yang ditakuti Baek Hyun benar-benar berlaku, isterinya langsung tidak ingat sebarang memori sebelum pembedahan waima tentang dirinya sendiri.

    Saya sangat beremosi ketika menonton  Queen of Tears. Air mata laju saja turun. Ianya bagaikan refleksi  pengalaman saya sendiri bilamana almarhum suami saya (Abe Mie) sendiri hilang ingatan (short term memory lost) selepas didiagnosis mempunyai penyakit jarang jumpa (rare disease), Sindrom Melas. Apabila suami saya sedar dari koma dan boleh dibawa pulang ke rumah, beliau masih bed-ridden dan blurr. Perlahan-lahan ingatannya kembali. Tetapi malangnya hanya ingatan lama yang kekal (long term memory). Short term memory sudah tiada. Saya dan anak-anak bermula semula dari kosong. Kenalkan diri dan bercerita dengan beliau kisah-kisah lama dan relate dengan perkara terkini.

    Luluh hati bila suami bertanya saya ini siapa. Susuk tubuh yang penyayang, suka mengusik sudah berbeza benar. Leka saya melayan emosi, pecah gelak juga akhirnya kerana Abe Mie dalam keadaan keliru bertanya berulang kali, saya ini siapa? Wife baru ka, wife lama kuruih saja katanya. Hahah! Sabar sajalah.

    Tidak mudah untuk saya lalui semua itu. Putus asa tiada dalam kamus saya dan anak-anak. Walau kami tidak berjaya pulihkan beliau sepenuhnya sebelum beliau menutup mata, kami puas. Kami sudah berikan yang terbaik. Hingga akhir ayatnya beliau masih tidak lupa tarikh-tarikh penting dalam hidup kami dan karekternya yang penyayang dan ambil berat tetap kekal, masih teman saya bekerja hingga lewat malam, tanya khabar saya walau dalam keadaan dirinya yang keliru.   

    Apabila difikir kembali, saya pun macam tak percaya episod tersebut sudah berlalu selama 4 tahun. Yang tinggal hanya rindu. Tiada lagi surprise coklat atas laptop dan di bawah bantal apabila saya muncung. Tiada lagi teman untuk berkongsi kisah suka duka. Terima kasih di atas kenangan manis dan baik-baik sahaja yang Abe tinggalkan. Semoga Allah swt tempatkan almarhum Abe bersama mereka yang beramal soleh. Semoga kita disatukan kembali di syurga firdausi.

    Oklah. Sentimental betul tulis semua ni sambil dengar lagu Love You With All My Heart. Saya stoplah dulu. Nanti saya kongsi lagi.

    Kepada rakan-rakan baru, salam kenal buat semua. Terima kasih sudi singgah rumah saya. Saya Zura. Saya mula menulis melalui blog, dah lama saya tak update blog. Saya banyak berkongsi kisah kehidupan dan pengalaman saya sebagai caregiver/caretaker sepanjang saya menjaga almarhum suami saya yang uzur selama hampir 10 tahun. Kemudiannya saya teruskan dengan karya fizikal, saya menulis 2 buah buku solo dan 2 buah buku antologi bersama Kak Sri Diah. Saya juga menulis untuk portal-portal online dan majalah tempatan. Di samping itu ada juga rakan-rakan saya minta saya buatkan terjemahan artikel dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia. Saya kini dalam proses siapkan buku ketiga saya di bawah geran MyCreative Ventures. InsyaAllah sedikit masa lagi, dalam fasa akhir. Masih dalam niche motivasi kehidupan.

    Di sisi lainnya, saya juga terlibat dengan kerja khidmat sosial dan santuni masyarakat sejak tahun 2003 bersama NGO Wargakilang yang terkenal dengan misi masuk kampung. Misi masuk kampung santuni asnaf ini ibarat booster buat saya. Kalau lama tak masuk kampung dia jadi ketagihan pula. Terima kasih buat kalian yang tak jemu kirim sumbangan melalui saya.

    Saya turut menjalankan perniagaan kecil berteraskan keusahawanan sosial, The Batik Craft di mana kami menghasilkan produk kraftangan dari fabrik batik Malaysia untuk jualan retail dan juga majlis/program persendirian serta korporat. Artisan kami adalah wanita dari keluarga berpendapatan rendah dan semuanya bekerja dari rumah. Studio operasi kami terletak di Pulai Chondong, Kelantan. Inisiatif ini bermula dengan hajat mahu membantu masyarakat setempat menjana pendapatan di rumah tanpa memberi impak pada rutin sebagai ibu dan isteri.

    Sekali lagi, jutaan terima kasih tidak terhingga kerana follow saya. Semoga saya dapat beri sedikit kebaikan kepada kalian melalui perkongsian saya. Saya sebenarnya seorang introvert. Saya susah untuk beramah mesra di alam nyata kecuali mereka yang rapat dan saya benar-benar selesa. Saya susah untuk benarkan orang luar masuk dalam circle saya. Jadi medan media sosial ini sesuai untuk introvert seperti saya – kami boleh menjadi extrovert di sini kerana tidak perlu menonjol secara fizikal.

Terima kasih! Terima kasih! Terima kasih!

Salam ukhuwah.

Zura