Thursday, May 2, 2024

Love You With All My Heart

    Last week datang mood nak melayan K-Drama bertajuk Queen of Tears. Cerita tentang pasangan romantis yang diterajui oleh pelakon Kim Soo Hyun dan Kim Ji Won. Comel pasangan pelakon ni. Ngam. Berkisar kisah konflik percintaan, konflik keluarga dan konflik perniagaan. Isterinya, Hae In perlahan-lahan hilang ingatan akibat tumor otak. Setelah berusaha mencari pakar-pakar di seluruh dunia, suaminya Baek Hyun berjaya mendapat kerjasama sebuah pusat perubatan di Berlin yang membuat kajian tentang penyakit yang dihidapi isterinya. Dengan kapasiti mereka sebagai ahli perniagaan bilionaire, mereka berdua invest dalam kajian yang dijalankan oleh pusat perubatan tersebut. Hae In setuju untuk dibedah selepas dipujuk oleh suaminya. Walaubagaimanapun Baek Hyun tidak berkongsi risiko Hae In akan hilang ingatan sepenuhnya selepas pembedahan. Apa yang ditakuti Baek Hyun benar-benar berlaku, isterinya langsung tidak ingat sebarang memori sebelum pembedahan waima tentang dirinya sendiri.

    Saya sangat beremosi ketika menonton  Queen of Tears. Air mata laju saja turun. Ianya bagaikan refleksi  pengalaman saya sendiri bilamana almarhum suami saya (Abe Mie) sendiri hilang ingatan (short term memory lost) selepas didiagnosis mempunyai penyakit jarang jumpa (rare disease), Sindrom Melas. Apabila suami saya sedar dari koma dan boleh dibawa pulang ke rumah, beliau masih bed-ridden dan blurr. Perlahan-lahan ingatannya kembali. Tetapi malangnya hanya ingatan lama yang kekal (long term memory). Short term memory sudah tiada. Saya dan anak-anak bermula semula dari kosong. Kenalkan diri dan bercerita dengan beliau kisah-kisah lama dan relate dengan perkara terkini.

    Luluh hati bila suami bertanya saya ini siapa. Susuk tubuh yang penyayang, suka mengusik sudah berbeza benar. Leka saya melayan emosi, pecah gelak juga akhirnya kerana Abe Mie dalam keadaan keliru bertanya berulang kali, saya ini siapa? Wife baru ka, wife lama kuruih saja katanya. Hahah! Sabar sajalah.

    Tidak mudah untuk saya lalui semua itu. Putus asa tiada dalam kamus saya dan anak-anak. Walau kami tidak berjaya pulihkan beliau sepenuhnya sebelum beliau menutup mata, kami puas. Kami sudah berikan yang terbaik. Hingga akhir ayatnya beliau masih tidak lupa tarikh-tarikh penting dalam hidup kami dan karekternya yang penyayang dan ambil berat tetap kekal, masih teman saya bekerja hingga lewat malam, tanya khabar saya walau dalam keadaan dirinya yang keliru.   

    Apabila difikir kembali, saya pun macam tak percaya episod tersebut sudah berlalu selama 4 tahun. Yang tinggal hanya rindu. Tiada lagi surprise coklat atas laptop dan di bawah bantal apabila saya muncung. Tiada lagi teman untuk berkongsi kisah suka duka. Terima kasih di atas kenangan manis dan baik-baik sahaja yang Abe tinggalkan. Semoga Allah swt tempatkan almarhum Abe bersama mereka yang beramal soleh. Semoga kita disatukan kembali di syurga firdausi.

    Oklah. Sentimental betul tulis semua ni sambil dengar lagu Love You With All My Heart. Saya stoplah dulu. Nanti saya kongsi lagi.

    Kepada rakan-rakan baru, salam kenal buat semua. Terima kasih sudi singgah rumah saya. Saya Zura. Saya mula menulis melalui blog, dah lama saya tak update blog. Saya banyak berkongsi kisah kehidupan dan pengalaman saya sebagai caregiver/caretaker sepanjang saya menjaga almarhum suami saya yang uzur selama hampir 10 tahun. Kemudiannya saya teruskan dengan karya fizikal, saya menulis 2 buah buku solo dan 2 buah buku antologi bersama Kak Sri Diah. Saya juga menulis untuk portal-portal online dan majalah tempatan. Di samping itu ada juga rakan-rakan saya minta saya buatkan terjemahan artikel dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia. Saya kini dalam proses siapkan buku ketiga saya di bawah geran MyCreative Ventures. InsyaAllah sedikit masa lagi, dalam fasa akhir. Masih dalam niche motivasi kehidupan.

    Di sisi lainnya, saya juga terlibat dengan kerja khidmat sosial dan santuni masyarakat sejak tahun 2003 bersama NGO Wargakilang yang terkenal dengan misi masuk kampung. Misi masuk kampung santuni asnaf ini ibarat booster buat saya. Kalau lama tak masuk kampung dia jadi ketagihan pula. Terima kasih buat kalian yang tak jemu kirim sumbangan melalui saya.

    Saya turut menjalankan perniagaan kecil berteraskan keusahawanan sosial, The Batik Craft di mana kami menghasilkan produk kraftangan dari fabrik batik Malaysia untuk jualan retail dan juga majlis/program persendirian serta korporat. Artisan kami adalah wanita dari keluarga berpendapatan rendah dan semuanya bekerja dari rumah. Studio operasi kami terletak di Pulai Chondong, Kelantan. Inisiatif ini bermula dengan hajat mahu membantu masyarakat setempat menjana pendapatan di rumah tanpa memberi impak pada rutin sebagai ibu dan isteri.

    Sekali lagi, jutaan terima kasih tidak terhingga kerana follow saya. Semoga saya dapat beri sedikit kebaikan kepada kalian melalui perkongsian saya. Saya sebenarnya seorang introvert. Saya susah untuk beramah mesra di alam nyata kecuali mereka yang rapat dan saya benar-benar selesa. Saya susah untuk benarkan orang luar masuk dalam circle saya. Jadi medan media sosial ini sesuai untuk introvert seperti saya – kami boleh menjadi extrovert di sini kerana tidak perlu menonjol secara fizikal.

Terima kasih! Terima kasih! Terima kasih!

Salam ukhuwah.

Zura



No comments:

Post a Comment