Saya siapkan makanan dan minuman di atas meja serta susun seperti biasa. Kopi dan air masak di sebelah kiri, makanan di tengah, biskut di sebelah kanan. Semuanya di dalam bekas berwarna merah antara kaedah untuk facilitate penglihatan beliau yang kabur teruk. Pakaian juga siap saya hamparkan di atas katil kalau-kalau beliau hendak mandi dan tukar pakaian. Semuanya berlabel supaya beliau tahu yang mana luar, dalam, depan dan belakang. Bermula di sebelah kanan saya letak pakaian dalam, tshirt dan seluar panjang. Tuala mandi dan bakul pakaian kotor tersedia di tempat biasa tidak berubah di tepi pintu bilik air. Radio pun saya chargekan, suami suka sekali mendengar radio bacaan ayat Al-Quran, ceramah agama dan lagu-lagu rock kapak. Tak sangka beliau sudah mampu urus diri sendiri dengan rutin yang saya tetapkan dan siapkan sebegini setiap hari. Tidak sangka kerana Ogos tahun lalu beliau terlantar teruk dan kaku sahaja di atas katil. Kencing, berak, makan dan minum hanya di atas katil serta perlu dibantu sepenuhnya. Bertambah mencabar ialah beliau mempunyai impak mental dan mudah lupa (dimensia).
Apa yang penting ialah latihan, latihan dan latihan serta komunikasi berterusan. Buat penjaga di luar sana, saya doakan kalian cekal dan tidak putus asa. Semua ini pada akhirnya manfaatnya bukan sahaja untuk pesakit, tetapi seisi keluarga. Tiada jalan singkat, ianya ibarat melatih anak kecil yang tidak tahu apa-apa. Pembaca yang mengikuti perkembangan kesihatan suami saya dari awal tahu bagaimana terduganya saya. Ada masanya najis bersepah, ada masanya beliau buka diapers ada najis dan sorokkan entah di mana-mana, di celah frame cermin pun pernah diselitnya diapers ada najis, apabila ditanya beliau cakap dah buang. Disumbatnya diapers dan pakaian dalam lubang tandas. Dinding rumah penuh corak, television pula dah masuk yang ketiga, rosak akibat simbahan air kopi. Saya dan anak-anak juga pernah di kasari apabila beliau tantrum. Alhamdulillah semua itu telah berlalu berkat usaha, kesabaran dan redho serta izinNya. Tiada magik.
Bab usaha, kesabaran dan redho ini juga ramai rakan pembaca menghantar mesej kepada saya bertanya tips. Pada saya ini pun tiada magik. Ada yang berkata saya sabar dan bertuah kerana anak-anak saya sangat memahami dan ringan tulang membantu.
Sekejap, terlupa nak share. Apabila saya pulang dari Hopsital USM, saya melihat dan merakam detik suami begitu gigih cuba memasang cadar dalam kepayahan, akhirnya beliau rebah di atas katil, keletihan. Dalam keadaan beliau uzur sebegini sikap beliau yang mengambil berat dan ringan tulang masih jelas. Itulah antara sebabnya anak-anak begitu kasih dan sabar menyantuni Abah mereka di usia masih rebung. Saya sendiri sebagai isteri, tiada apa yang hendak dirungutkan tentang akhlak beliau sebagai seorang suami ketika beliau sihat.
![]() |
Gigih membantu dalam keuzuran 😢 |
Saya menduga anak-anak saya baru-baru ini, saya katakan saya merancang untuk bawa mereka bercuti selama seminggu pada cuti sekolah Disember nanti dan saya mahu memberi peluang kepada 4 orang bapa saudara mereka untuk menjaga adik mereka (suami saya anak bongsu), setiap orang ambil turn 2 hari dah dapat 8 hari. Anak-anak saya menolak mentah-mentah. “Tak buleh Ibu. Orang tak sanggup. Kesian Abah Ibu. Tak dak sapa paham Abah dan buleh jaga Abah macam kita jaga Abah Ibu. Takat jaga sat sat tu takpalah,” pantas Mek Na mencelah. “Takpalah Ibu, kita pi jalan tempat yang sesuai dengan Abah sudahlah, janji bawak Abah,” Kenit pula bersuara. Sebak juga saya, sampai macam tu sekali sayang kalian pada Abah. Entah bagaimana takdir Ibu nanti. Risau juga sebab Ibu ada genetik angin lintang berbanding Abah mereka yang tenang, lembut dan bersopan santun. Ibu doakan semua ini kekal hingga ke syurga.
Jadinya apabila menyentuh tentang akhlak dan adab pasangan serta anak-anak ini sebagaimana saya katakan tadi ianya tiada magik kerana cara didikan ibubapa/penjaga, latar belakang keluarga, persekitaran pembesaran, taraf pendidikan, persekitaran pekerjaan dan pengalaman hidup sebenarnya acuan yang membentuk peribadi individu. Hari ini kita tuai apa yang kita semai, tanam, baja dan siram sewaktu anak-anak rebung. Bagaimana adab kita sebagai isteri/suami terhadap pasangan kita, sebagai ibu dan bapa terhadap anak-anak, begitulah adab yang anak-anak akan balikkan semula kepada kita. Apa prioriti atau nilai yang kita terapkan dalam hidup, itulah yang anak-anak akan bawa sepanjang hidup mereka.
Kita kasar dengan pasangan dan anak-anak, berat tulang untuk membantu rutin di rumah, tidak ambil berat dan tidak jaga hubungan serta kebajikan sesama adik-beradik juga masyarakat, tetapi kita harapkan pasangan/anak-anak kita bagaikan malaikat menyantuni kita di hari tua atau ketika kita uzur. Tidak ada matematik sebegini dalam realiti hidup.
What you give, you get back. You give love, you get love.
Ada. Beri. Dapat.
Tempahan buku REDAH SAJA, ALLAH ADA, hanya tekan link berikut:
www.wasap.my/601125459481/redahsaja_allahada
www.wasap.my/601125459481/redahsaja_allahada
www.wasap.my/601125459481/redahsaja_allahada
Terima kasih semua kerana tak jemu menyokong saya.