Tuesday, July 30, 2019
Pengalaman Membumi
Petang tadi bawa Abe Mie jalan-jalan cari makan di Kuala Krai. Kemudian Abe Mie minta dibawa ke Stesen Keretapi Kuala Krai. Saya turutkan saja walau jam sudah menunjukkan jam 6.30pm.
Beliau terkenangkan waktu beliau sihat. Antara aktiviti hujung minggu kami semenjak anak-anak masih kecil, kami bawa anak-anak untuk short trip menaiki kenderaan awam.
Begitu banyak cerita lama kami anak-beranak keluar dari mulut beliau. Seronok mendengarnya walau letih dan pening pun ada. Berbagai topik bercampur-campur dan melompat ke sana sini dari satu topik ke satu topik. Begitulah antara impak post stroke yang dialami suami saya.
Kami pernah tinggal kereta di Stesen Keretapi Bukit Mertajam. Naik keretapi turun di Butterworth. Kemudian bawa anak-anak naik feri pergi dan balik ke Pulau Pinang. Sampai kembali di Butterworth kami ambil bas pula ke Sungai Petani. Dari Sungai Petani kami balik naik keretapi ke Bukit Mertajam semula untuk pickup kereta.
Apabila menetap di Kelantan kami buat perkara yang sama juga. Tinggal kereta di Stesen Keretapi Tanah Merah dan naik keretapi pergi balik ke Tumpat. Sementara keretapi nak balik semula ke Tanah Merah sampai kami merayau di pekan kecil sekitar stesen sambil mengisi perut.
Momen ringkas dan tidak memerlukan belanja yang tinggi tetapi amat berbekas di hati anak-anak. Antara pelajaran dan pengalaman yang kelihatan remeh tetapi manisnya berpanjangan. Pelajaran tentang hidup membumi @ merendah diri seawal usia rebung.
InsyaAllah.
MekZurots
www.mekzurots.com
#livelifezura
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment