Sunday, August 18, 2019

Penghargaan Tuhan vs Penghargaan Manusia


Pada hari Khamis lepas ada staf Farmasi Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian menegur saya ketika saya mengambil ubat suami dan anak saya Irsyad di kaunter farmasi. Beliau turut bertanya khabar keluarga serta hal penulisan saya, lama saya tak menulis cerita kehidupan katanya. Terima kasih Puan di atas sokongan moral buat saya. Ya, saya agak sibuk kebelakangan ini dengan rutin anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan UPSR dan PT3 pada bulan September 2019 nanti. Tusyen sekolah petang dan malam, berseorangan pusing stereng, tak dapat nak bergilir dengan sesiapa. Dalam masa yang sama perlu terus berusaha dan pantau keadaan suami sepenuhnya juga. Banyak masa habis di jalanan.

Setelah selesai di farmasi saya ke klinik Neurologi dan Oftalmologi pula untuk reschedule temujanji kerana sebelum hari Raya Haji baru-baru ini saya tidak dapat bawa Abe Mie di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Terharu dengan layanan jururawat yang baik dan sabar menukar tarikh temujanji di dalam sistem. Tidak ‘judge’ saya yang tidak bawa suami ke temujanji doktor. Sebaliknya beliau memberi kata-kata semangat pada saya untuk terus berusaha dan bergantung sepenuhnya pada Tuhan. Terima kasih Kak. Kadang-kadang rasa malu sendiri, Tuhan sentiasa hantar orang yang baik-baik untuk saya berurusan, secara tidak langsung urusan saya sentiasa menjadi mudah. Nikmat manakah lagi yang didustakan? Terlalu banyak nikmat berbanding ujian sebenarnya. Kuncinya pandangan mata hati kita fokus pada apa.

Sewaktu Hari Raya Haji di Kedah baru-baru ini, saya temankan Mak saya ke pasar untuk beli groceries, daging dan ayam untuk dibuat rendang. Boleh tahan banyaknya. Saya diam sahaja melihat Mak, Isyraf dan Irsyad memasukkan barang-barang ke dalam bakul. Sampai di rumah kami bantu Mak memasak juadah untuk hari raya. Entah nak jamu siapalah rendang daging dan ayam banyak-banyak ni, detik hati saya.

Waktu Subuh di pagi raya terjawablah soalan saya semalamnya. Mak sudah siap bungkus 3 set rendang dan ketupat untuk keluarga adik-adik iparnya, Abah yang pergi hantarkan. Salah satunya untuk Pakcik Awang sekeluarga yang tinggal berjiran dengan rumah ibubapa saya. Pakcik Awang seorang OKU fizikal, sakit strok, isterinya telah lama meninggal dunia akibat barah otak. Mempunyai 3 orang anak, yang sulong sudah bekerja (bujang) dan 2 orang adiknya masih belajar di pusat pengajian tinggi. 

Betapa konsistennya Mak menjaga ukhuwah sejak kami adik-beradik masih kecil. Walau usaha Mak mungkin nampak remeh, tetapi itulah dia baja dan air yang menyuburkan pokok ukhuwah sekian lama. Mak tak pernah peduli siapa pakcik-pakcik saya itu, miskin, kaya atau melarat. Mak tak pernah peduli ada orang tahu atau tidak apa yang dilakukan. Waima saya sendiri pun hairan sehari sebelumnya Mak masak mengalahkan nak kenduri. Yang Mak tahu dia buat saja apa yang Tuhan suka.

Sewaktu solat sunat hari raya, Tuan Imam membaca khutbah hari raya perihal usaha dan pengorbanan. MasyaAllah. Rupanya Tuhan beri contoh secara kiasan melalui Mak saya sendiri. Bagaimana usaha dan pengorbanan besar yang dilakukan oleh Siti Hajar bersendirian di tengah padang pasir yang kontang. Beliau berusaha mencari sumber air untuk dirinya dan anakandanya Nabi Ismail a.s dengan berlari-lari anak sebanyak 7 kali berulang-alik dari Bukit Safa ke Bukit Marwa.

Tiada seorang manusia pun yang melihat usaha dan pengorbanan beliau. Tetapi beliau tetap berusaha sehinggalah Allah swt kurniakan keajaiban sumber air hasil hentakan kaki Nabi Ismail a.s yang masih bayi. Usaha dan pengorbanan Siti Hajar tidak disaksikan oleh mata manusia, tetapi usaha dan pengorbanan beliau disaksikan oleh Allah swt dan diangkat oleh Allah swt hingga hari kiamat melalui ibadah Saei’ yang umat Islam perlu laksanakan ketika menunaikan ibadah haji atau umrah.

Begitulah juga dalam kehidupan seharian kita, lakukanlah apa sahaja usaha, pengorbanan dan ibadah tanpa  mengharapkan penghargaan manusia. Di sini letaknya kunci ketenangan dan kebahagian. Kita takkan terkesan dengan reaksi dan pandangan manusia kerana usaha, pengorbanan serta ibadah yang kita lakukan hanya kerana Tuhan.

Didoakan ada manfaatnya.

#livelifezura
#kamimestikuat

No comments:

Post a Comment