Esok saya akan masuk kampung santuni 10 keluarga asnaf di utara Kedah dengan kawan-kawan saya. Terima kasih banyak buat yang kirim sumbangan melalui saya dan pilih saya jadi posmen kalian. Saya dah beli serba sikit barang dapur tadi. InsyaAllah kita bagi cash jugak sorang sikit esok.
Sewaktu saya jadi caretaker pada almarhum suami dengan anak-anak masih kecil, hidup kami mencabar tak payah cakap. Bab wang ringgit, bab masa. Tapi, saya tetap paksa diri untuk terus terlibat dalam kerja amal. Setiap senyuman dan harapan yang tercipta daripada usaha kecil yang tak seberapa, sebagai posmen tolong bawa sumbangan kawan-kawan saja pun... semua ni memberikan kekuatan dan inspirasi untuk hadapi hari esok yang penuh cabaran.
Pada saya ini antara salah satu cara saya untuk pastikan diri saya tetap berpijak di bumi nyata—dengan memahami bahawa setiap orang mempunyai perjuangan mereka sendiri. Dengan melibatkan diri dalam kerja amal, saya belajar tentang ketabahan, kekuatan, dan keberanian yang ada pada setiap insan. Ia mengingatkan saya bahawa kesukaran adalah sebahagian daripada kehidupan, namun saya tidak bersendirian dalam menghadapi semua itu. Saya ada keluarga dan rakan-rakan yang banyak beri sokongan untuk saya menongkah arus.
Perkara yang paling penting dari ilmu kerja amal ni adalah sentiasa bersyukur dengan apa yang ada, bukan hanya bersyukur kepada Tuhan ketika kita dapat apa yang kita inginkan. Syukur mengajar kita untuk melihat keindahan dalam setiap detik kehidupan, menerima segala nikmat, kecil atau besar, dengan penuh keikhlasan.
Esok lepas habis program saya share trip amal tersebut. Kena share supaya kawan-kawan yang kirim sumbangan tahu, sumbangan mereka dah sampai ke penerima.
Kalian boleh dapatkan buku terbaru saya di sini https://zurotsbooks.com/love-without-losing-yourself
No comments:
Post a Comment