Semalam saya join misi santuni 10 keluarga asnaf di utara Kedah dengan kawan-kawan charity saya. Perjalanan 2 jam memandu ke destinasi sorang-sorang, tanpa co-driver, nak sembang pun tak dak geng, terasa punyalah lama, campur mengantuk sekali. Sebelum tidur saya masak dulu untuk anak bongsu saya (baru habis SPM) yang tamat kerja part timenya jam 1 pagi. Saya tidur sekejap. Lepas anak saya balik, saya bangun temankan makan. Dah susah nak lelap pulak dah. Jenuh paksa diri sampai jam 4pagi baru terlelap. Mengantuk sakan waktu drive pergi dan balik.
Majoriti asnaf yang disantuni semalam ialah ibu tunggal merangkap ‘caretaker’. Antara keluarga yang kami ziarah ialah ibu tunggal ada anak autism dan jaga parent yang dua-dua amat uzur. Pandai menjahit tapi tak boleh manfaatkan skill menjahitnya untuk jana pendapatan kerana anak autismnya akan tantrum setiap kali dengar bunyi mesin jahit. Saya tanya macam mana Puan survive, berat ni tanggungan. Dia beritahu saya adik beradik sebelah Mak bagus, setiap kali raya akan beri zakat dan rajin jenguk walau jauh di Perak. Alhamdulillah.
MakLong pula pernah menjaga almarhum suaminya yang buta selama 20 tahun. Geng Ladies tak dapat tahan dari kolam air mata pecah apabila sebelum kami bergerak balik, MakLong minta izin untuk bacakan doa selamat buat kami. MakLong panjatkan doa dengan tangisan. Kami pun apa lagi join sekali 

MakLong cerita rumah yang didiami sumbangan zakat. Baru saja siap seminggu. Almarhum suaminya tak sempat merasa, dulu duduk di rumah kayu yang tunggu masa nak menyembah bumi. Rezeki Allah bagi kata MakLong memang tak disangka-sangka, hanya perlu yakin.
“Hari ni pun MakLong tak sangka anak-anak semua mai bawak macam-macam. Tapi belum tentu rezeki MakLong. Mungkin sat lagi ada sesiapa yang lebih susah mari. MakLong akan share dengan dia. Tu rezeki dia.”
Waktu nak balik saya salam dan hadiahkan buku saya pada anak MakLong seorang ibu tunggal yang keluar berniaga kuih. Saya ceritakan dalam buku saya kongsi kisah suka duka saya menjaga almarhum suami selama hampir 13 tahun seperti anak kecil. Apabila kami ready nak gerak keluar dari rumahnya, MakLong pegang tangan saya.
“Sat. MakLong nak bagi sedekah pada Mak adik yang kena strok tu.”
Hebatnya konsep rezeki yang MakLong pegang. Yakin sungguh dia.
“MakLong, bukan Mak saya sakit strok. Arwah suami saya. Dia tak dak dah MakLong. Meninggai lama dah. 5 tahun dah.”
MakLong pegang tangan saya, tenung mata saya. “MakLong doa. MakLong doa.”
Macam tu lah antara suka duka dan pengalaman mahal setiap kali masuk kampung santuni mereka yang memerlukan.
Semoga kiriman kalian membawa keceriaan pada mereka. Juga saya harapkan hadiah buku saya dapat beri semangat pada mereka yang rata-ratanya caretaker. Ada sorang kakak tu cakap pada saya, “Seronoknya dapat buku cantik macam ni. Tak pernah beli buku. Teringin tapi ha lah…kena dulukan yang lain dulu.” 

Terima kasih semua. Hingga ke misi seterusnya.

No comments:
Post a Comment