Thursday, January 23, 2025

Kesedaran Perlakuan Terhadap Orang Kurang Upaya: Tanggungjawab Kita Bersama

            Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan insiden di mana seorang lelaki kurang upaya mental dipukul oleh beberapa individu di pasar malam akibat salah faham. Awalnya saya tak berhasrat untuk mengulas tentang kes ini, walaupun dalam hati membuak-buak mahu luahkan isi hati. Apabila melihat posting anak-anak saya, saya tahu perkara ini sangat berbekas di hati mereka. Memikul tanggungjawab menjaga insan yang hilang upaya mental tidak semudah mengetuk key-board, 24 jam bersama di bawah satu bumbung menuntut kecekalan fizikal dan emosi.


            Kejadian ini bukan sahaja amat menyedihkan, tetapi juga menunjukkan betapa pentingnya kesedaran dan pemahaman masyarakat terhadap orang kurang upaya, sama ada dari segi fizikal atau mental.

            Sebagai seorang yang pernah menjaga almarhum suami saya (Abe Mie) yang mempunyai masalah mental setelah beberapa kali di serang strok serta didiagnosis dengan ‘rare disease: Sindrom Melas’ dan anak saya yang dilahirkan dengan kekurangan fizikal pada lengan kirinya, saya amat memahami betapa pentingnya sokongan dan empati daripada masyarakat. Orang kurang upaya dan penjaganya sering kali menghadapi cabaran yang tidak dapat dibayangkan, dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan mereka dilayan dengan penuh hormat dan bermaruah, tanpa prejudis dan skeptikal.

            Bayangkan dari seorang jurutera di sebuah syarikat multinasional, bertukar karektor bagaikan anak kecil. Perlu dijaga makan, minum, pakaian dan segala urusan hariannya. Belum lagi dikira waktu tantrumnya. Sebut sahaja apa yang tidak pernah kami sekeluarga hadapi. Mereka yang follow saya seawal 2009 melalui akaun fb lama saya yang masih belum berjaya saya dapat kembali (mekzurots), pasti boleh relate apa maksud saya. Dari bedridden, gigih kami berusaha hingga Abe Mie boleh berjalan, memakan masa bertahun-tahun.
            Hospital USM Kubang Kerian (HUSM) bagaikan rumah kedua. Bila diimbas kembali bagaikan mission impossible semua ni. Setiap kali ke HUSM untuk sesi follow-up saya terpaksa cutikan salah seorang anak saya dari sekolah. Saya tak boleh nak drop Abe Mie di lobi dahulu dan kemudiannya parking seperti orang lain, takut nanti jadi apa-apa yang mudorat pada beliau atau orang lain. Sesi follow-up pula bukannya dengan satu doktor sahaja tetapi beberapa doktor pakar mengikut kepakaran masing-masing, Neuro, Psikiatri, Oftal, ENT, Fisio. Jika hati tak kental, penjaga takkan mampu hadap rutin ini. Saya amat bernasib baik kerana staf-staf di HUSM, para doktor & jururawat sangat memahami, Abe Mie diberi prioriti apabila ke temujanji.
            Allah swt juga permudahkan urusan saya apabila temukan saya dengan dengan Yayasan OKU Kelantan (YOKUK). Saya tak perlu lagi bawa Abe Mie ke sesi fisio di HUSM, sabaliknya YOKUK hantar terapis mereka ke rumah saya untuk sesi fisio terapi secara percuma. Lega, kurang satu sesi di hospital. Sesi follow-up di hospital ini salah satu mimpi ngeri buat para penjaga, nak siapkan pesakit pun sejam dua, belum lagi cabaran di hospital, nak balik pulak cabaran lain, pesakit nak ke toilet nak makan. Tak terungkap dengan kata-kata cabaran yang perlu diharungi. Boleh koyak mental.
            Sebab itu saya sangat galakkan para penjaga jangan ambil mudah sesi bersama Psikiatris, penting bukan sahaja untuk pesakit, tetapi juga untuk diri kita sebagai penjaga. Saya manfaatkan sesi bersama psikiatri untuk kesihatan mental saya sabagai penjaga, setiap kali selepas selesai sesi Abe Mie, saya akan ambil masa10-15 minit berbual dengan Psikiatris dari perspektif saya sebagai penjaga. Amat membantu bagi saya. Jangan malu. Saya tahu ianya taboo bagi orang kita berjumpa Psikiatri. Buang perasaan ini, percayalah ianya sangat membantu, kerana konsultasi mereka kepada kita adalah dari pandangan profesional dan bukannya perspektif Makcik Pakcik Bawang.
            Saya masih ingat bagaimana kali pertama saya santuni Abe Mie di bilik air, saya ditolak hingga terhantuk di dinding, luka saya. Menangis saya. Sedih tak terkata, seorang yang penyayang dulunya bertukar karektor. Abe Mie masih keliru ketika itu, dari bedridden ke boleh bangun. Bermacam-macam insiden yang tak dapat kami sekeluarga lupakan. Televisyen rasanya 3 buah juga rosak, kena baling dengan mug. Anak-anak sabar dengan karenah Abah mereka, tengah syiok tengok TV kena siram dengan air kopi panas. Abe Mie juga developed OCD sepanjang sakit, jenuh kami melayan kerenahnya. Suka sangatlah ubah dan susun perabot dalam rumah dengan mata yang tak berapa nampak tu. Ada sekali di tolaknya meja makan, block entrance ke dapur, kita ubah semula kena marah. Yang paling tak boleh lupa, diapers kotor disembunyinya di belakang cermin besar di dinding. Jika difikir tak masuk akal pun ada. Jenuh kami cari berhari-hari, takut busuk.
            Itu belum lagi dikira cabaran jika travel jauh, balik kampung dan sebagainya. Beberapa kali saya kena siram dengan air, kena tarik tudung dan anak-anak kena gigit waktu drive. Sampai terpaksa tukar ke MPV. Abe Mie tak boleh duduk bersentuhan, diambilnya seperti ancaman untuk dirinya. Bila pakai MPV, dapat duduk single seat, Abe Mie lebih bertenang. Ada sekali waktu nak pergi hospital, saya lupa set childlock pintu belakang, Abe Mie buka pintu kereta waktu kereta tengah berjalan, mujur anak saya ada sekali di belakang.
            Saya dan anak-anak pernah bawa Abe Mie untuk gunting rambut di kedai gunting. Sebelum gunting rambut, saya dengan jelas beritahu tukang gunting yang suami saya sakit, tak sihat dan mungkin akan tantrum, jadi tolong berlembut sewaktu gunting rambut. Tetapi tukang gunting tidak begitu beri perhatian, busy dengan handphone. Gunting rambut sambil bercakap kuat di handphone. Abe Mie tak selesa dan ditepisnya tangan tukang gunting. Tukang gunting tersebut menampar dan menengking Abe Mie. Anak lelaki saya automatik bangun dan hampir menumbuk tukang gunting tersebut. Saya tenangkan mereka dan terus bawa Abe Mie keluar. Sejak dari kejadian tersebut, saya dan anak-anak gunting sendiri rambut Abe Mie di rumah.
            Begitulah antara kenangan saya dan anak-anak sebagai penjaga pesakit berimpak mental. Jadi kalian yang bukan penjaga, yang duduk jauh dari adik-beradik yang jaga pesakit, yang hanya pandang dari luar, ‘jangan dok sembang kemaih’ orang Kedah kata. Penjaga yang hidup 24 jam dengan pesakit ni, tak semudah kita susun kata dan mengarah itu ini. Jangan sampai Tuhan uji kita dengan kata-kata kita, belum tentu kita mampu hadapinya. Jadinya, dalam apa pun situasinya, bawaklah diri kita sebagai manusia yang membumi, yang merendah diri, yang pandang sesuatu dengan meletakkan diri kita di kasut orang lain.
            Luluh hati saya apabila melihat video Saudara Paijang dipukul, diheret, disepak oleh sekumpulan manusia yang kononnya mahu membawa keadilan, apatah lagi isteri dan anak-anak beliau. Luluh hati saya melihat begitu ramai penonton menyaksikan aksi tidak dapat diterima akal manusia yang waras. Ke mana hilangnya adab sopan kita sebagai masyarakat Malaysia yang terkenal dengan budi bahasa? Apa kita nak jawab sebagai seorang Muslim, begini sekali kelakuan kita.
            Mungkin sudah sampai masanya untuk matapelajaran Sivik dikembalikan ke dalam kurikulum sekolah seperti zaman saya sekolah dahulu. Pendidikan sivik dapat membantu kanak-kanak memahami nilai-nilai kemanusiaan, empati, dan kesedaran sosial sejak usia muda.
            Kita sebagai ahli masyarakat perlu mengajar anak-anak tentang kasih sayang dan kepedulian tanpa mengira keadaan fizikal atau mental seseorang. Anak sulong saya pernah ditendang di depan saya waktu daftar darjah satu oleh pelajar lain kerana geli melihat anak saya hanya bertangan sebelah. Anak-anak perlu diajar untuk tidak membuat penilaian sendiri dan menghukum orang lain. Pendidikan awal tentang kasih sayang, empati, dan rasa hormat seawal di rumah dapat membentuk masyarakat yang lebih bertimbang rasa dan memahami.
Kenapa semua ini penting?
    • Untuk Elak Salah Faham: Salah faham sering kali menjadi punca kepada perlakuan yang tidak wajar terhadap orang kurang upaya. Dengan meningkatkan kesedaran, kita dapat mengurangkan risiko salah faham dan memastikan mereka diperlakukan dengan adil.
    • Tingkatkan Empati: Kesedaran tentang cabaran yang dihadapi oleh orang kurang upaya dan penjaga dapat meningkatkan empati dalam masyarakat. Ini akan membantu kita untuk lebih memahami dan menyokong mereka dalam kehidupan seharian.
    • Hak Asasi: Setiap individu, tanpa mengira keadaan fizikal atau mental, berhak untuk diperlakukan dengan hormat dan maruah.
            Kesedaran ini penting untuk memastikan hak asasi mereka dihormati. OKU juga manusia. Kesedaran terhadap perlakuan terhadap orang kurang upaya adalah tanggungjawab kita bersama untuk mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif dan penyayang.
            Wah! Panjang saya bebel. Macam tu lah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
            Kebetulan saya baru sahaja terbitkan buku ‘Love Without Losing Yourself’, di mana saya kongsikan koleksi cerita kehidupan saya dan anak-anak santuni almarhum Abe Mie. Cerita bagaimana adanya pelangi selepas hujan. Cerita bagaimana kita memberi kasih tanpa hilang diri sendiri. InsyaAllah. Terbitan saya sendiri, moga ada rezeki untuk anak-anak saya, 3 orang yang masih belajar.
            Untuk yang ingin memberi sokongan pada saya dan anak-anak, boleh ke link di bawah ini untuk tempahan buku tersebut.
https://zurotsbooks.com/love-without-losing-yourself
https://zurotsbooks.com/love-without-losing-yourself
https://zurotsbooks.com/love-without-losing-yourself

Salam Sayang,
Zurots
Love Without Losing Yourself

Thursday, January 9, 2025

Mock Book (Love Without Losing Yurself) Dah Siap!

 





Hari ni syarikat percetakan update saya yang mock book dah siap.
Buku "Love Without Losing Yourself" bersedia untuk ke fasa seterusnya, actual print.
Doakan semoga semuanya berjalan lancar ya untuk saya.

Semoga kompilasi kisah perjuangan saya bergelar caretaker selama hampir 10 tahun, dalam masa yang sama berjuang menjaga amanah Allah swt, anak-anak yang saya kasihi, dapat sampai ke tangan kalian secepat mungkin.

Doakan juga saya dapat kembali akaun Facebook lama saya. Di sinilah medan saya cari rezeki.
InsyaAllah.

Thursday, December 12, 2024

Kipas Batik Malaysia Handmade Untuk YAB Dato' Seri Wan Azizah




Baru-baru ini saya diberi peluang untuk menghasilkan kipas tangan batik untuk YAB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, isteri kepada Perdana Menteri Malaysia sebagai cenderahati sewaktu majlis pelancaran program Batik Lestari pada 5-6 December 2024 yang dianjurkan oleh MyCreativeVentures and Securities Commission Malaysia.


Seronok tengok YAB Dato’ Seri Dr Wan Azizah begitu terujamenggayakan kipas tangan yang disampaikan
oleh CEO MyCreativeVentures, Puan Zainariah Johari.

Full view. Simple dan praktikal. Boleh pakai. Bukan untuk hiasan sahaja.

Saya simpan di sini buat kenangan. Saya ada share versi video dalam posting sebelum ini. Tidak pernah terlintas minat dan hobi saya dalam kraftangan menjadi serius serta kini merupakan sumber rezeki utama kami sekeluarga melalui The Batik Craft - Kelantan, Malaysia. Alhamdulillah.

Terima kasih tidak terhingga di atas peluang dan sokongan buat KakZai dari MyCreativeVentures khasnya 🙏.

Bahan-bahan yang saya gunakan. Fabrik batik yangdigunakan adalah batik premium yang saya beli dari Noor Arfa Batik.

Potong ikut pola kipas size 30cm.Besar kipas ni dari yang biasakalian dapat gift kenduri tu dalam 15cm.


Rangka kipas dari buluh.

Mesin jahit pertama saya, masih elok. Hadiah dari sahabat saya
apabila beliau melihat saya begitu minat dan serious dengan kraftangan fabrik tetapi waktu tu saya hanya jahit tangan dan kewangan saya lebih saya priotize pada arwah suami yang uzur. Terima kasih sahabat, hanya Allah swt yang dapat membalasnya.

Jahit renda dulu selepas buat sarung kipas. 2 sided. Kipas gift kenduri yang biasa kita terima tu hanya dilekat gam dan one sided.

Test dulu sarung kipas ngam tak dengan rangka.

Sebelum tu saya susun dan iron batu kristal di atas fabrik. Boleh tahan harga batu kristal ni ya. Satu pek sederhana RM69.90.

Masukkan rangka ke dalam sarung. Kena adjust elok-elok kain dan batang buluh, nanti tak boleh lipat kalau tak sama.

Saya tempah tag nama acrylic khas untuk YAB Dato’ Seri Dr Wan Azizah untuk digantung sebagai keychain kipas beliau.

Beg jerut untuk simpan kipas. Saya buat simple-simple saja tetapi praktikal.

Dah siap.

Boleh lipat elok.




Monday, November 11, 2024

Akaun Facebook Baru

 Salam & Hi,


Ini akaun baru saya Azura Abdullah (klik nama saya). Masih berusaha untuk dapatkan akaun lama saya yang telah dihacked. Semoga ada rezeki.

Saya Zura aka Zurots. Social Entrepreneur melalui perusahaan kecil saya The Batik Craft - Kelantan, Malaysia yang disokong oleh artisan-artisan berbakat yang bekerja sepenuh masa dari rumah. Kami menghasilkan pelbagai jenis kraftangan menarik dari fabrik Batik Malaysia untuk korporat dan majlis.

Saya juga seorang penulis niche motivasi kehidupan dan telah menulis dua buku solo (Bekerja & Berniaga: Panduan Kejayaan Untuk Suri) dan Redah Saja Allah Ada. Buku ketiga saya (Love Without Losing Yourself) dalam proses suntingan dan insyaAllah jika tiada aral melintang dan isu dengan geran penulisan selesai, ianya akan dicetak pada bulan Disember 2024. Ampun maaf buat yang telah preorder. Saya ada email kalian tentang hal ini. Saya juga ada menulis untuk majalah tempatan dan portal online, sebahagian hasil kerja saya ada di blog saya www.mekzurots.com.

Selain dari itu saya merupakan seorang bekas caretaker kepada almarhum suami saya bermula dengan strok pertamanya pada tahun 2009, kemudiannya didiagnos mempunyai rare disease Sindrom Melas. Akhirnya almarhum dijemput ke negara abadi pada tahun 2020. Saya juga berkongsi pengalaman saya sebagai caretaker di ruang ini.

Semoga saya dapat terus berkongsi manfaat di akaun baru ini dan sekali sekala merepek buat hiburkan hati.

Mohon kawan-kawan share sat nah status ni so that kawan-kawan lain aware. Ada yang text saya tanya khabar 🙏

Terima kasih.

Yes, this is the same Zurots
😑
See insights and ads
All reactions:
Irsyad Hadzrami, Wan Normah Wan Ismail and 5 others

Sunday, November 10, 2024

Adil Bukan Sama Rata


Alhamdulillah, Mak saya dah discharged out dari hospital. Terima kasih Dr.Amirozi (ENT Specialist KPJ Hospital Perda) dan Puan Afifah (Admin Klinik ENT) serta para petugas Wad Flora (bilik Mak #545) yang sangat membantu. Semoga Mak cepat pulih.


Terima kasih Miss Kua, ejen insurans Mak yang komited santuni urusan berkaitan Mak. Dan pastinya adik-adik yang tak jemu memberi sokongan material dan moral dari jauh. Terima kasih sanak saudara dan kawan-kawan yang datang ziarah Mak.

Sewaktu bawa Mak pulang dari hospital saya sempat berbual panjang dengan Mak. Saya mohon maaf pada Mak kerana tak banyak membantu dari segi wang ringgit.

"Jangan kata lagu tu Akak. Setiap orang ada masa dia. La ni anak-anak hang pakat mengaji belaka. Hang pulak sorang Akak dok kilaih nak cari duit. Bukan kerja senang tu."

Saya hanya diam.

"Hang ada masa untuk Mak pun Mak syukur dah. Dalam hidup ni kita masing-masing sumbang dan buat perkara ikut kemampuan kita. Kita adik-beradik, kita kena saling sokong ikut kemampuan kita, kita faham keadaan adik beradik kita yang lain. Tu la maksud adil sebenaqnya, bukan pukui rata semua."

"Mak yakin masa depan hang cerah. Sabaq sat, tak lama dah Akak. Anak-anak hang alhamdulillah…insyaAllah menjadi belaka. Isyraf pun nak masuk universiti dah tahun depan. 3-4 tahun lagi hang tarik nafas lega dah Akak. Mie pun tinggai pencen kat hang. Takat hang sorang nak hidup nanti tak susah dah. Irfan, Irdina, Irsyad, Isyraf … Mak yakin depa baguih…tengok la lagu mana depa jaga arwah Abah depa dulu. Bukan calang budak-budak yang mampu hadap. Hang jangan risau Akak."

😭Laju ayaq mata turun sambil drive. Tapi Mak tak perasan sebab check-out dari hospital dah malam.

Sayang Mak sangat-sangat. Moga Allah swt panjangkan umur Mak. Tak boleh bayang macam mana satu hari nanti nak hadap kehilangan Mak. Kasih tanpa sempadan dan tiada kasta.

Semoga Tuhan pelihara Bonda kalian juga dan permudahkan urusan kalian juga.

Zurots
Biduan Ayaq Mata Kulim