Thursday, August 29, 2019

VLOG#1: Briskwalk with Abe Mie




Saya cuba. Vlog pertama saya. Ewah! Boleh juga layari YouTube Channel saya: Mek Zurots. Rupanya di channel saya yang dah lama saya create ni Si Kenit dah upload beberapa video dia kat situ. Adoi! Saya sendiri tak perasan. Advance sungguh budak-budak la ni.
Hari ni saya bawa Abe Mie briskwalk di sekitar rumah saya. Bila direnung kembali, cantik sungguh aturan Tuhan. Suami saya sakit setelah kami berpindah ke sini (Pulai Chondong). Rumah kami di tengah padang, tidak serabut dan amat sesuai untuk proses pemulihan pesakit strok.
3 tahun lalu, Abe Mie terlantar teruk dengan berat 32kg sahaja. Berat terkini beliau sudah naik ke 44kg. Ketika itu makan, minum, kencing, berak semuanya di pembaringan. Secara teorinya penyakit yang dihidapi Abe Mie iaitu Sindrom Melas (Mitochondrial myopathy, encephalopathy, lactic acidosis, and stroke syndrome), biasanya keadaan pesakit akan makin teruk dan berakhir dengan fataliti.
Sindrom Melas merupakan sejenis penyakit mutasi genetik, penyakit yang amat rare dan belum ada penawarnya. Antara sintomnya yang ketara ialah pendengaran merosot, penglihatan merosot, keletihan yang teruk dan strok berulang. Biasanya kekurangan ini akan berlaku secara perlahan-lahan.
Buat masa sekarang saya baru berjumpa dengan seorang pengidap penyakit ini dari selatan tanah air. Itu pun kami berjumpa di dalam support group antarabangsa. Di HUSM, suami saya satu-satunya pesakit Sindrom Melas. Sewaktu fasa awal suami disahkan dengan penyakit ini, down juga saya. Apatah lagi apabila membaca berbagai jurnal tentang penyakit dan perkongsian dari caregiver pesakit Sindrom Melas ini di platfrom antarabangsa. Kesimpulan dari perkongsian mereka ialah ianya sejenis penyakit yang menjurus kepada ‘progressive illness’.
Sepanjang berada di HUSM menjaga suami di wad neurologi, saya banyak membuat refleksi diri dan akhirnya bertanya kepada diri sendiri, “Sampai bila aku mahu hidup dengan pemikiran sebagai MANGSA keadaan? Sampai bila nak hidup dalam kesedihan dan self pity?” Saya seorang yang aktif dan tak pandai duduk diam. Bila dibelenggu dengan fikiran sebegini waktu itu, letihnya ya Tuhan tubuh badan. Tidak bersemangat jadinya. Betullah mat saleh cakap, healthy mind lead to healthy body kan.
Selepas itu saya mula bangkit. Saya buat research sendiri tentang penyakit ini. Saya cuba faham sejarah penyakit keluarga suami. Saya cuba relate dengan sintom-sintom yang ada pada adik-beradik beliau, cara pemakanan dan lifestyle mereka sebagai panduan untuk pemulihan Abe Mie.
Ada juga beberapa kes dari kumpulan sokongan antarabangsa yang positif walaupun majoritinya agak menakutkan. Mereka dapat kesan penyakit ini awal dan mereka menjaga pemakanan, ubatan dan cara hidup. Saya hubungi mereka ini secara offline dan tanyakan tips. Di negara maju, pendedahan dan sistem sokongan tentang penyakit berkaitan Mitochondria (power cell system of human body) lebih terbuka dan baik berbanding kita di sini. Menyulitkan lagi keadaan, di Malaysia terutamanya masyarakat Melayu menganggap penyakit genetik sebagai taboo dan tidak bersedia untuk berkongsi secara terbuka.
Alhamdulillah. Abe Mie punya progres yang baik berbanding 3 tahun lalu. Dari terlantar dan tidak boleh bertutur, sudah boleh berjalan dan pot-pet siang dan malam. Saya perlu bekerja lebih keras untuk pemulihan mental beliau. Walau dari segi teori perubatan adalah sesuatu yang mustahil untuk beliau pulih mentalnya, semua ini dari Allah. Saya takkan berputus asa. Apa yang berlaku ini bukan satu beban atau kami menjadi mangsa. Apa yang berlaku ini adalah peluang menjadi manusia yang memanfaatkan setiap inci waktu berbaki dengan perkara kebaikan untuk mendapat redho Tuhan.

Sunday, August 18, 2019

Penghargaan Tuhan vs Penghargaan Manusia


Pada hari Khamis lepas ada staf Farmasi Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian menegur saya ketika saya mengambil ubat suami dan anak saya Irsyad di kaunter farmasi. Beliau turut bertanya khabar keluarga serta hal penulisan saya, lama saya tak menulis cerita kehidupan katanya. Terima kasih Puan di atas sokongan moral buat saya. Ya, saya agak sibuk kebelakangan ini dengan rutin anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan UPSR dan PT3 pada bulan September 2019 nanti. Tusyen sekolah petang dan malam, berseorangan pusing stereng, tak dapat nak bergilir dengan sesiapa. Dalam masa yang sama perlu terus berusaha dan pantau keadaan suami sepenuhnya juga. Banyak masa habis di jalanan.

Setelah selesai di farmasi saya ke klinik Neurologi dan Oftalmologi pula untuk reschedule temujanji kerana sebelum hari Raya Haji baru-baru ini saya tidak dapat bawa Abe Mie di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Terharu dengan layanan jururawat yang baik dan sabar menukar tarikh temujanji di dalam sistem. Tidak ‘judge’ saya yang tidak bawa suami ke temujanji doktor. Sebaliknya beliau memberi kata-kata semangat pada saya untuk terus berusaha dan bergantung sepenuhnya pada Tuhan. Terima kasih Kak. Kadang-kadang rasa malu sendiri, Tuhan sentiasa hantar orang yang baik-baik untuk saya berurusan, secara tidak langsung urusan saya sentiasa menjadi mudah. Nikmat manakah lagi yang didustakan? Terlalu banyak nikmat berbanding ujian sebenarnya. Kuncinya pandangan mata hati kita fokus pada apa.

Sewaktu Hari Raya Haji di Kedah baru-baru ini, saya temankan Mak saya ke pasar untuk beli groceries, daging dan ayam untuk dibuat rendang. Boleh tahan banyaknya. Saya diam sahaja melihat Mak, Isyraf dan Irsyad memasukkan barang-barang ke dalam bakul. Sampai di rumah kami bantu Mak memasak juadah untuk hari raya. Entah nak jamu siapalah rendang daging dan ayam banyak-banyak ni, detik hati saya.

Waktu Subuh di pagi raya terjawablah soalan saya semalamnya. Mak sudah siap bungkus 3 set rendang dan ketupat untuk keluarga adik-adik iparnya, Abah yang pergi hantarkan. Salah satunya untuk Pakcik Awang sekeluarga yang tinggal berjiran dengan rumah ibubapa saya. Pakcik Awang seorang OKU fizikal, sakit strok, isterinya telah lama meninggal dunia akibat barah otak. Mempunyai 3 orang anak, yang sulong sudah bekerja (bujang) dan 2 orang adiknya masih belajar di pusat pengajian tinggi. 

Betapa konsistennya Mak menjaga ukhuwah sejak kami adik-beradik masih kecil. Walau usaha Mak mungkin nampak remeh, tetapi itulah dia baja dan air yang menyuburkan pokok ukhuwah sekian lama. Mak tak pernah peduli siapa pakcik-pakcik saya itu, miskin, kaya atau melarat. Mak tak pernah peduli ada orang tahu atau tidak apa yang dilakukan. Waima saya sendiri pun hairan sehari sebelumnya Mak masak mengalahkan nak kenduri. Yang Mak tahu dia buat saja apa yang Tuhan suka.

Sewaktu solat sunat hari raya, Tuan Imam membaca khutbah hari raya perihal usaha dan pengorbanan. MasyaAllah. Rupanya Tuhan beri contoh secara kiasan melalui Mak saya sendiri. Bagaimana usaha dan pengorbanan besar yang dilakukan oleh Siti Hajar bersendirian di tengah padang pasir yang kontang. Beliau berusaha mencari sumber air untuk dirinya dan anakandanya Nabi Ismail a.s dengan berlari-lari anak sebanyak 7 kali berulang-alik dari Bukit Safa ke Bukit Marwa.

Tiada seorang manusia pun yang melihat usaha dan pengorbanan beliau. Tetapi beliau tetap berusaha sehinggalah Allah swt kurniakan keajaiban sumber air hasil hentakan kaki Nabi Ismail a.s yang masih bayi. Usaha dan pengorbanan Siti Hajar tidak disaksikan oleh mata manusia, tetapi usaha dan pengorbanan beliau disaksikan oleh Allah swt dan diangkat oleh Allah swt hingga hari kiamat melalui ibadah Saei’ yang umat Islam perlu laksanakan ketika menunaikan ibadah haji atau umrah.

Begitulah juga dalam kehidupan seharian kita, lakukanlah apa sahaja usaha, pengorbanan dan ibadah tanpa  mengharapkan penghargaan manusia. Di sini letaknya kunci ketenangan dan kebahagian. Kita takkan terkesan dengan reaksi dan pandangan manusia kerana usaha, pengorbanan serta ibadah yang kita lakukan hanya kerana Tuhan.

Didoakan ada manfaatnya.

#livelifezura
#kamimestikuat

Tuesday, July 30, 2019

Pengalaman Membumi


Petang tadi bawa Abe Mie jalan-jalan cari makan di Kuala Krai. Kemudian Abe Mie minta dibawa ke Stesen Keretapi Kuala Krai. Saya turutkan saja walau jam sudah menunjukkan jam 6.30pm.

Beliau terkenangkan waktu beliau sihat. Antara aktiviti hujung minggu kami semenjak anak-anak masih kecil, kami bawa anak-anak untuk short trip menaiki kenderaan awam.

Begitu banyak cerita lama kami anak-beranak keluar dari mulut beliau. Seronok mendengarnya walau letih dan pening pun ada. Berbagai topik bercampur-campur dan melompat ke sana sini dari satu topik ke satu topik. Begitulah antara impak post stroke yang dialami suami saya.

Kami pernah tinggal kereta di Stesen Keretapi Bukit Mertajam. Naik keretapi turun di Butterworth. Kemudian bawa anak-anak naik feri pergi dan balik ke Pulau Pinang. Sampai kembali di Butterworth kami ambil bas pula ke Sungai Petani. Dari Sungai Petani kami balik naik keretapi ke Bukit Mertajam semula untuk pickup kereta.

Apabila menetap di Kelantan kami buat perkara yang sama juga. Tinggal kereta di Stesen Keretapi Tanah Merah dan naik keretapi pergi balik ke Tumpat. Sementara keretapi nak balik semula ke Tanah Merah sampai kami merayau di pekan kecil sekitar stesen sambil mengisi perut.

Momen ringkas dan tidak memerlukan belanja yang tinggi tetapi amat berbekas di hati anak-anak. Antara pelajaran dan pengalaman yang kelihatan remeh tetapi manisnya berpanjangan. Pelajaran tentang hidup membumi @ merendah diri seawal usia rebung.

InsyaAllah.

MekZurots
www.mekzurots.com

#livelifezura

Monday, July 29, 2019

Merafak Sembah dan Setinggi-Tinggi Ucapan Tahniah - Pertabalan Agong ke 16


Merafak Sembah dan Setinggi-Tinggi Ucapan Tahniah

Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah
D.K.P, D.K.M, D.K, D.M.N, S.S.A.P, S.I.M.P, D.K (Terengganu), D.K (Johor)
S.P.M.J, P.A.T

Sempena pertabalan
Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI

Pada
30 Julai 2019 (Selasa)
Bersamaan 27 Zulkaedah 1440H

Mahkota indah ditatah permata
Dipakai oleh Permaisuri jelita
Selamat bersemayam di atas takhta
Semoga Allah swt berkati Tuanku berdua

Daulat Tuanku.

Salam takzim dari kami sekeluarga di mekzurots.com


#mekzurotsdotcom
#agong
#pertabalanagong

Wednesday, July 24, 2019

Panduan Bagi Mereka Yang Baru Menjadi 'Caregiver' atau Diuji



Abe Mie datang berbaring di atas katil bersebelahan meja kerja saya. Terlentang memandang siling putih. Entah apa di dalam fikirannya. Sekali sekala beliau mencuit saya. Rindu sekali dengan keletah nakalnya di rumah yang suka bergurau. Amat jarang sekali sekarang.

"Bakpo buat paip baru kat siling?" Tanya Abe Mie.

"Tok pehey (faham). Paip baru apa?" Saya menyoal balas.

"Bakpo tak bagitau Abe buat paip baru?"

"Zura tak fahamlah Abe. Paip apa?"

"Tu!" Abe Mie menunjukkan jari ke arah siling.

Ya Tuhan. Kayu gantung tirai diingatnya paip. Jenuh saya explain tak berjaya juga. Seharian saya dok jawab soalan paip ni saja tak selesai sampai ke la ni. Letih pun ada, nak marah pun ada diasak soalan sama yang tidak logik berulang-ulang.

Cepat-cepat istighfar. Apa faedahnya dengan marah ya Zurots. Suamimu sudah terang-terang ibadat pada Tuhan pun sudah masuk kategori tidak wajib kerana syarat 'berakal' itu sudah tiada padanya. Tempatnya syurga.

Apabila dikenang zaman sihatnya betapa bertuahnya saya ini. Waktu dalam pantang dialah orangnya yang akan merebus herba mandian untuk saya sebelum beliau ke pejabat. Dialah juga orangnya yang akan bantu cucikan pakaian kotor balik sahaja dari pejabat. Abe Mie cekap melakukan kerja-kerja menjaga orang berpantang dan menjaga bayi kerana beliau anak bongsu. Kakak ipar iaitu isteri kepada abang sulongnya bersalin di rumah mertua saya. Jadinya Abe Mielah yang menjadi orang kanan arwah Mek setiap kali Mek menguruskan kakak ipar bersalin. Jerang air herba menggunakan kayu api dan sebagainya. Bahkan kebanyakan anak-anak saudara juga membesar di tangan beliau kerana mereka tinggal bersama arwah Mek dan arwah Ayah di zaman persekolahan rendah mereka. Pengalaman membina sifat kasih dan empati yang tinggi dalam diri beliau.

Belum dikira lagi segala kejutan-kejutan manis dari beliau. Jambangan bunga dan hadiah setiap kali harijadi serta ulangtahun perkahwinan. Bersalin pun dapat jambangan bunga dari beliau. Jika beliau ke luar negara bukan setakat buah tangan untuk saya dan ibubapa saya dibelikan, arwah nenek yang saya panggil Mak Tok pun dapat juga. Bagaimana untuk tidak merindui insan sebaik ini.

Saya juga seperti orang lain. Ada fasa naik turun sebagai caregiver. Pejam celik sudah 10 tahun rupanya saya bermain dengan perihal strok ini sejak serangan strok pertama pada tahun 2010. Serangan strok terakhir pada Ogos 2017, suami hilang ingatan hingga kini. Pengalaman kelebihan saya.

Akhir-akhir ini ramai yang baru bergelar 'caregiver' @ penjaga pesakit menyertai kumpulan sokongan penjaga pesakit strok yang dikendalikan rakan saya Uda dan juga menjadi lingkaran followers saya di sini. Tak kurang yang menghantar berbagai mesej kepada saya. Saya cuba balas ke semuanya tetapi mengambil sedikit masa ya. Jadi saya cover di sini secara umum ya.

Antara isu sinonim di kalangan caregiver baru ialah:

1) Terkejut dengan dugaan yang merubah hidup dalam sekelip mata. Kenapa aku?
2) Masalah kewangan.
3) Tiada waktu rehat, penat melampau.
4) Kecewa kerana tidak mendapat sokongan ahli keluarga, khasnya keluarga kandung pesakit yang dijaga.

Apa yang boleh saya katakan dari pengalaman sendiri dan rakan-rakan yang saya kutip sepanjang 10 tahun ini untuk kita kekal bersemangat walau beban yang kita pikul bukan sedikit ialah:

1). Jaga Hubungan Dengan Tuhan
• Berbalik kepada agama tidak kira apa pun agama yang dianuti.
•Jaga sembahyang dan baca Quran atau apa sahaja kitab agama anda setiap hari walau hanya satu muka surat.
• Ini kunci ketenangan hati dan minda.

2) Jaga Hubungan Dengan Manusia
• Mulakan pagi dengan kebaikan. Kualiti pagi kita akan mempengaruhi kita sepanjang hari.
• Senyum pada pasangan dan anak-anak, beri bekalan makanan yang lebih pada anak supaya dapat berkongsi dengan kawan di sekolah, beri laluan pada kereta yang sudah lama menunggu untuk melintas di simpang jalan antara perkara mudah kita lakukan.
• Bersedekah dengan konsisten, dalam jumlah kecil pun tak apa. Kalau boleh setiap hari. Feeling sedelkah ikhlas ini sangat best dan buat kita rasa lapang dada.

3) Terima Hakikat dan Move On.
• Pasak perkara ini dalam-dalam di minda dan di dalam doa.
• Selagi kita masih terperangkap dengan masa lalu kita susah untuk bebaskan emosi kita. Ia akan menjadi racun di dalam diam.
• Katakan pada diri, "Ya! Suami aku sakit. So what? Tak boleh bahagia? Nak sedih sepanjang hidup?"
• Move on. Perlu cepat keluar dari 'denial stage'.

4) Bergantung Hanya Pada Tuhan
• Kalian akan lalui fasa mengecewakan di mana orang yang kalian rasakan sepatutnya sama-sama memikul tanggungjawab perihal pesakit dan nafkah anak-anak kalian tidak banyak membantu atau langsung tidak membantu.
• Sedih sekejap sudah. Move on.
• Ingat satu perkara, HIDAYAH ini bukan milik manusia, bukan kita pegang. Itu semua kerja Tuhan waktu mana mahu dijentik hati mereka.
• Mereka tidak mahu bertanggungjawab dan ambil agama itu separuh-separuh mengikut kepala mereka sendiri, itu bukan urusan kita.
• Kita tak payah pening kepala buat kerja Tuhan mahu judge dan label orang lain. Jangan bazir tenaga dan lemahkan emosi dengan benarkan perkara  ini bersarang di dalam kepala kita.
• Kita fokus sahaja pada kerja kita demi kesembuhan pesakit dan mencipta bahagia bersama keluarga kita.
• Tuhan ada 24 jam sehari x 7 hari seminggu x 365 hari setahun untuk kita. Menangis dan merayulah padaNya.

5) Lower Down Expectation
• Jangan letak harapan terlalu tinggi.
• Harapan kesembuhan mahupun rutin harian seperti kemas rumah etc
• Kita follow the flow saja. Takat mana larat kita buat. Patient pula kena ingat tahap sakit semua tak sama jadi tahap kesembuhan pun tak sama.
• Kita tok sah create problem yang belum ada dok risau yang bukan-bukan.
• Fokus pada present moment.

6). Me Time
• Penat macam mana pun kita tak boleh lari dah. Akhirnya kita juga yang kena hadap semuanya.
• Usahakan juga untuk dapatkan ME TIME untuk kita recharge.
• Tak perlu sampai perlu tinggalkan keluarga untuk pergi bercuti sendirian. Tetapi kalau dapat sangat baguslah. Kalau tak dapat setiap hari 15 minit lepak di dalam kereta atau di kedai kopi bersendirian pun dah ok.
• Keyword = recharge.

7). Sumber Kewangan
Selain dari pendapatan sendiri, sumber kewangan dan sokongan alternatif yang boleh dipohon ialah:
• JKM - daftar pesakit sebagai OKU (Orang Kelainan Upaya) dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat jika layak. Berbagai kemudahan elaun bantuan dan alatan sokongan disediakan pihak JKM.
• PERKESO - kemudahan Pencen Ilat dan bantuan alat pemulihan seperti kerusi roda, commode chair, katil pesakit dan lain-lain bagi yang mencarum di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia. Caregiver juga boleh memohon Elaun Layanan Sentiasa sebanyak RM500 sebulan bagi mereka yang menjaga pesakit yang terlantar dan perlukan jagaan sepenuhnya.
• JPA - sama juga dengan kakitangan awam, kemudahan pencen di bawah JPA dan segala alat bantuan berkaitan boleh di'claim' dari JPA.
• Zakat Majlis Agama Negeri - bantuan bulanan bagi yang layak dan juga bantuan perubatan. Boleh dapatkan borang di pejabat zakat negeri masing-masing.
• Zakat Bank - ada sesetengah bank seperti Bank Rakyat memberi bantuan perubatan kepada orang awam berstatus caregiver.

*terms and conditions apply

Didoakan ada manfaatnya buat kalian khasnya insan terpilih 'caregiver'.

Mek Zurots
Tuhan sudah beri jalan, mari kita sudahkan.

P/s: Quota friend saya dah hampir penuh, kalian tekan butang follow deh. Boleh komen juga. Terima kasih.

#caregiver
#isl
#strok
#melasjourney
#abe